Khamis, September 01, 2005

SEGAMAT-ENDAU-SENGGARANG-JOHOR BAHRU

Cuti seminggu kali ini saya habiskan di pelbagai tempat. Empat hari pertama di daerah Mersing. Banyak aktiviti keluarga yang mesti dilalui. Selain ke bandar Mersing menguruskan tanah, menemui datuk dan nenek sebelah ayah yang masih hidup, ke rumah ibu saudara, sempat juga ke pusara ayah.

Sebelum ke Batu Pahat, saya membelek-belek nota-nota lama yang terkurung dalam almari buku-buku yang lama tidak dijenguk. Terbaca satu catatan silam saya yang berpunca daripada kata-kata seorang sahabat penulis yang bunyinya lebih kurang begini: Dunia sastera adalah dunia dahsyat, berjiwa kecil bukan di sini tempatnya.

Terima kasih, sahabat, atas kata-kata berhikmah itu. Jiwa besar. Jiwa besar. Ya, jiwa besar.Ketara, banyak yang perlu saya muhasabah sepanjang penglibatan saya dalam arena ini.

Petang Rabu saya ke Batu Pahat. Giliran ke rumah mertua pula. Kesempatan yang ada pada tengah hari Khamis, saya gunakan untuk membeli sambil menjenguk sebuah kilang @ perusahaan kerepek di Jalan Parit Botak. Kebetulan saya sedang bergelut dengan industri kerepek dalam Salju Sakinah, justeru kunjungan kali ketiga ini sedikit sebanyak akan membantu 'Sumayyah' menerokai dunia barunya.

Pagi Jumaat, saya bertolak ke JB. Ada Bengkel Penulis Muda Johor VII anjuran Yayasan Warisan Johor di Hotel Naza, Stulang Laut. Bengkel ini adalah lanjutan bengkel kelima (2003) dan keenam (2004) yang menjurus kepada genre novel. Pembimbingnya terdiri daripada penulis-penulis Johor seperti Kak Mawar Shafei, Kak Aminah Mokhtar, Saifullizan Tahir dan saya sendiri. Pesertanya relatif sedikit. Cuma 6 orang walaupun pada asalnya mencecah 30 orang lebih pada bengkel kelima, dan menyusut kepada 12 orang pada bengkel keenam. Namun yang 6 inilah sebenarnya yang berjaya meneruskan perjuangan hingga ke akhir; yang berjaya menghasilkan novelet yang kami syaratkan dan bakal diterbitkan oleh YWJ hujung tahun nanti.

Walaupun cuma 6, kerja membimbingnya bukan enteng. Bagaikan editor, kami berempat terpaksa membaca kesemua manuskripnya sebelum sama-sama berbincang dan membedahnya di hadapan tuannya sendiri perlahan-lahan. Memang ia meletihkan, namun inilah amanah dan tanggungjawab. Malah hasrat untuk melahirkan barisan penulis pelapis Johor rasanya turut menguja. Terima kasih kepada YWJ yang sudi mengundang kami.

Petang Ahad, pulang semula ke Batu Pahat sebelum bertolak balik ke Segamat.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP