Isnin, Oktober 17, 2005

AMEEN

Saya hanya meminati dua kumpulan nasyid - Raihan dan Hijjaz. Sejak beberapa tahun mutakhir, saya hanya membeli album dua kumpulan nasyid ini. Termasuk album terbaru Raihan yang berjudul Ameen yang sedang hangat di pasaran sejak 27 September lalu. Baru seminggu dipasarkan, saya sudah memilikinya.

Ia album ketujuh Raihan sejak mereka muncul pada 1996. Pada saya album ini OK meskipun tidak 'semesra' album Puji-pujian. Syukur, dan Senyum. Lagu 'Puasa Dulu Baru Raya' memang berupaya memikat hati pendengar tanpa mengira usia. Begitu juga beberapa lagu lain. OK.

Namun, saya rasa ada dua lagu yang sewajarnya tidak dimuatkan dalam album ini. Pertama, lagu "Do You Know Him?" (feat Mecca2Medina). Lagu ini tak sesuai langsung dan bagi saya yang jahil ini, agak mencacatkan Ameen. Paduan selawat Raihan yang sangat lembut dan menusuk sangat tidak molek jika diselang-selikan dengan lirik Bahasa Inggeris yang didendangkan oleh undangan khas itu dalam rentak rap. Memang tak sesuailah. Mungkin Raihan mahu lebih 'world' dan mensasarkan pasaran yang lebih global, tetapi 'telinga' pendengar di tanah air perlu dijaga juga.

Kedua, lagu "Wahai Kawan" yang diberi nafas baru. Sebagai pendengar yang mengharapkan sesuatu yang 'menyentuh' daripada Raihan tentunya berasa kecewa dengan 'ulangan' semula lagu-lagu di zaman kegemilangan Nada Murni dan The Zikr dulu. Biarlah grup nasyid lain buat begitu. Raihan yang sudah mantap dan bertaraf dunia, sepatutnya menawarkan lagu yang lebih segar dan baru.

Apapun, tak tahulah bagaimana‘pendengaran’ pendengar yang lain. "Telinga' saya ‘mendengar’nya begitu. Bukankah sedap atau tidaknya sebuah lagu bergantung kepada ‘telinga’ yang mendengar?

CINTA MADINAH

Tengok tak drama bersiri Islamik Cinta Madinah (CM) di TV1 jam 10 malam pada malam Ahad dan Isnin? Saya menontonnya memandangkan CM diadaptasi daripada novel Abu Hassan Morad yang memenangi tempat kedua Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 (juga dengan judul yang sama). Saya kenal penulisnya kerana saya menang hadiah ketiganya menerusi Sesegar Nailofar tahun itu.

CM memang menarik. Saya masih ingat ceritanya. Berlatarkan Madinah. Terjaga akhlak pergaulan watak-wataknya. Sangat menepati ciri-ciri sebuah novel Islamik yang menekankan nilai murni bertunjangkan agama. Saya suka dengan watak Safuan (lakonan Zul Yahya) dan Sayidah (Wardina) dalam novel itu. Walaupun agak payah untuk menerima Zul sebagai pemegang watak Safuan, tapi saya tidak dapat memikirkan siapa lagi yang sesuai. Kita memang tiada pelakon yang boleh pegang watak ustaz muda dengan baik seperti mana watak Ustaz Jaka dalam drama bersiri Jalan Lain Ke Syurga (tersiar di Astro Prima) yang popular di Indonesia.

Apapun, syabas buat Cikgu Abu (dia bekas guru SMKA Maahad Hamidiah, Kajang kalau tak silap saya) yang berusaha menghidangkan drama Islamik sebagai alternatif kepada rakyat Malaysia.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP