Jumaat, Oktober 28, 2005

NOSTALGIA RAMADAN di URDUN

Bila datangnya Ramadan saya sering teringat saat-saat manis semasa menikmati bulan penuh barakah ini di Jordan. Ia sangat indah untuk dikenang walaupun sudah lebih lima tahun saya meninggalkan Dataran Syam.

Beberapa ketika yang amat manis bagi saya sepanjang lima kali melalui Ramadan Kareem di Bumi Isra’ itu. Antaranya, ketika Berbuka Puasa. Kami biasanya akan mencari qataif (ada yang menyebutnya qutaiyif) sebelum berbuka puasa. Jangan beli terlalu awal kerana ia akan sejuk tatkala berbuka nanti. Makanan tradisi Arab ini yang tawar tetapi murah ini sangat lazat jika dicecah susu cair atau pekat. Tidak terlupa, Ramadan juga datang dalam musim rontok. Justeru kami berpuasa agak pendek (kurang hampir 2 jam) berbanding di negara sendiri.

Kedua, ketika Bersolat Tarawih. Semua masjid mengadakan solat tarawih sebanyak 8 rakaat namun saya jarang solat di masjid yang sama setiap malam. Saya dan Khazri (sahabat baik saya di SMKA Syeikh Haji Mohd Said) biasanya akan berbasikal sepuluh minit sebelum Isyak. Dalam sebulan biasanya ada lima enam buah masjid yang sempat kami singgah di sana. Jika kami dengar ada pensyarah yang kami hormati menjadi imam di sesebuah masjid, kami akan ke sana walaupun terpaksa membayar tambang teksi kerana tempatnya agak jauh. Lazimnya pensyarah tersebut akan berhenti di rakaat keempat untuk menyampaikan tazkirahnya pula.


Kalau kami ke Masjid Dawwar Nassiem berhampiran rumah kami Darul Ulum, Khazri selalunya meminta Imam Abu Munzir yang buta itu membaca Surah Maryam dan al-Kahfi. Bagaimanapun pada tahun akhir, saya kerap memilih Masjid Universiti Yarmouk. Kemerduan suara imamnya Syeikh Ma’mun As-Syamaliy masih terngiang-ngiang sehingga ke hari ini. Beliau yang hafiz akan menghabiskan satu juzuk setaip malam dalam 8 rakaat.

Dan apabila menjelang Eid, kami akan ternanti-nanti titipan kad raya dari tanah air. Selain itu, pastinya bungkusan berisi kuih raya daripada famili dan orang tersayang.


1 komentar:

Tanpa Nama,  9:27 PG  

I have been looking for sites like this for a long time. Thank you!
»

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP