Selasa, November 29, 2005

BEBERAPA CATATAN SEPANJANG SYAWAL

Setelah seminggu di Senggarang, kami sekeluarga kembali ke Segamat. 18 November, kami bikin rumah terbuka untuk calon-calon SPM dan STPM SMKA Segamat seramai 100 orang. Hampir semua datang. Fuh! Penat juga melayan budak-budak, tapi seronok dan gembira melihat mereka melepaskan tekanan musim peperiksaan.

20 November, saya ke ibu kota untuk beraya. Rumah pertama yang dituju adalah rumah Abang Shamsudin Othman di Bandar Seri Permaisuri, Cheras. Dah lama berhajat hendak ke rumahnya, tetapi tidak sampai-sampai. Kali ini, sebelum Abang Dean pergi menunaikan haji bulan depan, saya sempat menjengah Madrasah Sham al-Johori bersama keluarga. Kebetulan isteri saya sudah mengenali isterinya semasa HSDT4 2003 di Johor Bahru dulu. Moga beroleh haji yang mabrur, Abang Dean!

Sebelum maghrib, kami singgah ke rumah Nazmi Yaakub. Hmmm, rumah pengantin baru ini terletak berhampiran stesen komuter UKM. Dekat juga dengan rumah kakak ipar saya tempat kami bermalam. Dah lama tak jumpa Nazmi Reporter Berita Harian ni sejak dia bergelar suami. Saya masih ingat, semasa saya mengambil Diploma Pendidikan di UIA pada tahun 2000 dulu, Nazmi pernah menumpang transit bermalam di rumah sewa saya beberapa kali. Khabarnya, Nazmi dan Huda sedang menanti kelahiran penyeri mawaddah mereka Mac nanti. Mabruk!

Esoknya, kami ke rumah Ustaz Zawadi Che Seman, pensyarah MPI. Dia senior saya semasa di Yarmouk dulu. Kini, satu-satunya pakar khat bertaraf nasional di MPI Bangi. Pada tahun 2000, hanya beberapa bulan setelah di'posting'kan ke Sabah, Ustaz dipanggil balik untuk menjadi tenaga pengajar di situ. Ustaz orang Kelantan. Justeru, sengaja bercakap loghat Kelantan. Namun itu tidak menjadi masalah bagi saya. Saya orang Endau, Mersing - mukim yang dipenuhi orang-orang yang merantau dari Pantai Timur. Loghat Terengganu-Kelantan sudah sebati dalam diri saya sejak kecil lagi. Malah sudah ramai orang Kelantan sendiri yang menyangka saya asal Serambi Mekah.

Sejurus itu, kami menyimpang pula ke simpang berdekatan Restoran Nelayan di depan MPI. Bukan untuk ke Restoran Nelayan, tetapi ke Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha. Pemiliknya, Ustaz Mohd. Khairuddin Aman Razali (alah, yang selalu keluar di TV dan radio IKIM), juga senior yang agak rapat dengan saya di Jordan dulu. Anaknya, Amir yang keletah semasa di Irbid dulu, sudah di Darjah 4. (Ingat lagi Ustaz Abu Amir dan Ustazah Ummu Amirah yang digambarkan dalam Sesegar Nailofar?)

Maahad tahfiz ini membuat saya melopong kagum. Hanya orang yang ikhlas dan bercita-cita tinggi dan murni saja yang akan berjaya merealisasikannya. Selepas lima tahun tidak bertemu Ustaz, kali ini kami bertemu di sebuah institusi yang cukup tenang dan mendamaikan sesiapa yang datang berziarah. Maahad tahfiz ini baru beroperasi tahun lepas. Hanya untuk pelajar lelaki yang yatim sahaja. Ada 8 tenaga pengajar dan lebih kurang 30 orang murid. Sesiapa yang ingin menyumbangkan infak boleh saja dikreditkan ke akaun Bank Islam atas nama Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha. Nombor akaunnya - 12029010045695. Moga Allah berkati usaha suci Ustaz!

Malam itu, saya dan Nazmi berpakat untuk membawa keluarga masing-masing ke rumah Kak Mawar Shafei di Bandar Teknologi Kajang. Sudah lebih setahun saya tidak ke rumah Kak Mawar. Seronok sungguh kami berenam bersembang santak ke jam 11. Banyak pula yang mahu dibualkan, tapi segalanya terbantut apabila melihat pasangan pengantin baru sudah mulai menguap mahu pulang. :-))

Tengah hari esoknya, kami tiba di destinasi terakhir sebelum pulang ke Segamat. Rumah Kak Nisah Haron di Kg. Jiboi, Asahan. Inilah kali pertama saya ke Ujana Ilmu. Saya tidak tersesat seperti Nazmi, namun lebih malang apabila disaman polis trafik tatkala menyambut panggilan telefon Kak Nisah di hadapan A&W Seremban. Saya turun merayu dan syukur terselamat. Cuma dikenakan saman tak pakai tali pinggang saja. Argh!

Tahniah buat Kak Nisah yang merangkul 4 hadiah dalam Anugerah Sastera NS baru-baru ni. Melihat Maisarah, Suhaila, dan Insyirah, saya tidak dapat mengagak, bila agaknya pelajar sarjana undang-undang itu berkarya?

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP