Jumaat, November 11, 2005

EIDIL FITRI 1426

Saya beraya di Endau tahun ini. Balik hari Selasa 1 November. Sempatlah berjemaah sunat terawih pada malam terakhir Ramadhan. Kena pula jadi imam sebab pak imamnya belum sembuh sepenuhnya dari pembedahan hernia. Mujur juga tak kena baca khutbah kali ini.

Sejurus solat eid, saya terus beraya ke beberapa buah rumah santak jam 12.30 tengah hari. Kalau lekat di rumah, alamat tak sempat berjalanlah jawabnya. Sebab rumah saya memang dikunjungi ramai sanak saudara Tok Mak pada raya pertama.

Pusara arwah ayah saya ziarahi bersama mak, Akak dan Amin pada pagi raya kedua. Jam 7 suku pagi kami sudah ke sana. Kebetulan pagi Jumaat. Dah 23 tahun ayah pergi tanpa kami sedari. Saya tak dapat bayangkan perasaan kami masa kecil-kecil dahulu, beraya tanpa ayah di sisi. Ayah pergi terlalu awal bagi saya. Rokok meragut kesihatannya. Usianya semasa meninggal cuma 37 tahun sedang mak masih muda benar. Baru 30.

Pagi raya ketiga barulah saya ke rumah mentua di Senggarang, Batu Pahat. Sudah takdir, saya juga tidak sempat bermesra dengan bapa mertua. Arwah abah mengadap Ilahi pada akhir 1998. Saya cuma ada umi.

RENCANA di TUNAS CIPTA

Saya tidak pernah menyumbang apa-apa untuk Tunas Cipta sejak majalah sastera generasi baharu itu beroperasi. Cerpen tidak, esei jauh sekali. Entah mengapa, Jun lalu saya tergerak untuk menulis rencana dan profil.

Justeru, untuk TC keluaran Oktober lepas, saya menulis profil Amiza Khusyri Yusof - penulis berpendidikan al-Azhar yang sedang meningkat. Dan untuk TC bulan November ini, saya menulis rencana berjudul "Kebangkitan Penulis Berpendidikan Timur Tengah". Saya harap ini baru permulaan. Moga para penulis dari jurusan agama akan lebih diperhatikan. Moga mereka juga akan memantapkan thaqafah dan melahirkan karya yang lebih bermutu pada masa akan datang.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP