Jumaat, Disember 02, 2005

MENANDA
Syukur. Buat pertama kali setelah beberapa tahun mengajar dan beberapa kali juga memohon, saya terlantik juga menjadi pemeriksa kertas Bahasa Arab Tinggi SPM. Justeru, pada 24-26 November lalu, terpaksa berulang-alik ke Muar untuk menghadiri taklimat penandaan. Ini pengalaman baru bagi saya.

Kalau diikutkan, musim cuti beginilah waktu paling kondusif untuk menulis. Namun saya memilih untuk menerima lantikan. Bukan soal tuntutan yang bakal diperoleh yang saya fikirkan, tapi saya mahukan ilmu dan kemahirannya yang mungkin boleh membantu melonjakkan prestasi pelajar-pelajar saya pada tahun-tahun mendatang.
Jadi, sekarang saya sibuk menanda dan menyudahkan Salju Sakinah yang sedang menuju ke penghujung ceritanya. 19-21 Disember nanti, saya terpaksa ke Kota Tinggi pula untuk menghantar segala kertas jawapan yang selesai ditanda.

DEMOKRASI TERPIMPIN
Melihat kempen pilihanraya kecil yang tertayang di kaca TV, siapa saja boleh membuat tanggapan mudah - demokrasi belum berjalan sepenuhnya di negara ini. Kalau betul pilihan raya tidak berat sebelah, mengapa calon yang mewakili parti pemerintah saja yang layak berkempen di tv? Mengapa calon lain tidak? Mengapa hanya calon sebelah pihak saja yang mendapat liputan media, yang satu lagi diberi pandangan gatif saja? Kalau betul anak jantan, mengapa guna jentera kerajaan? Banyak lagi persoalan yang mengasak akal. Ada jawapannya terlintas di fikiran, tapi untuk mengharapkan keadilan sedemikian samalah sepeti anjing menyalak bukit.

Justeru, saya tidak menonton berita sejak seminggu ini. Malas dan meluat. Kalau tengok pun, cuma berita sukan. Malah, kalau jam 8 malam, saya lebih enak menonton Sportscenter di ESPN. Berita sukan tak menipu. Kalau penonton yang datang ke stadium tengok bola ada 400, dia akan lapor 400. Bukan 4000, 14 000 atau 40 000 macam sesetengah media tu bila melaporkan tentang ceramah yang tidak mendapat sambutan. Kalau ada pemain kena kad merah, berita sukan akan lapor, pemain itu kena kad merah. Bukan macam sesetengah media tu, bila ada politikus mengamalkan rasuah (ingat! Yang beri rasuah dan menerima rasuah di nerakalah tempatnya), tapi yang dilaporkannya, mengamalkan politik wang.


HUKUM MENJUAL & MEMBELI UNDI
(dipetik daripada tulisan Abdul Ghani Samsuddin)

Ulama sepakat berpendapat haramnya perbuatan menjual atau membeli undi dalam pilihanraya. Sebab ia adalah merupakan rasuah yang diharamkan baik kepada pengambil atau penerima mahupun pemberinya, bahkan penjadi orang tengah dalam kejahatan ini pun dilarang. Ia termasuk dalam kategori penipuan atau pemalsuan serta pembohongan. Justeru ia berbohong dan menipu orang lain. Ia mengaku layak menjadi pemimpin dan menguasai orang ramai akan tetapi ia sebenarnya tidak layak dan berhak dengan martabat tersebut.

Membeli undi adalah suatu pengkhianatan umum yang membawa kepada meratanya kejahatan dan kemusnahan tanggungjawab, serta wasilah untuk memakan duit dan wang haram. Walhal itu semua itu merupakan dosa besar. Ia juga seolah-olah menyembunyikan kesaksian yang benar terhadap yang berhak; padahal perbuatan tersebut dilarang oleh Allah.S.W.T Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 283 yang bermaksud:

Jangan kamu sembunyikan kesaksian (yang benar). Siapa yang berbuat demikian maka dia adalah manusia berdosa.

Perbuatan ini juga termasuk dalam kategori kejahatan kezaliman , sebab ia ”meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya”. Apabila kejahatan ini berleluasa maka akan berkembanglah amalan rasuah yang memungkinkan manusia penyeleneh menduduki tempat-tempat kekuasaan yang penting dalam masyarakat serta manusia terkutuk dapat memperkotakkatikkan kepentingan umat.

Rasuah ialah pengajuan wang, benda, atau khidmat atau sebarang janji untuk memberi sesuatu habuan kepada seseorang untuk menghalang proses kebenaran atau usaha menumpaskan kebatilan. Ia adalah salah satu dosa besar yang paling besar bahananya di dunia dan di akhirat; berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 188, maksudnya:

Jangan kamu makan harta sesama kamu secara yang tidak halal dan kamu menghubungkannya pula dengan kuasa dan wewenang pemerintah untuk dapat melahap harta umum secara yang berdosa pada hal kamu sedar dan tahu.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP