Sabtu, Mac 12, 2005

i
Keletihan. Baru selesai menjadi pembimbing dalam Perkampungan Penulis Muda Sek Men Daerah Segamat mulai 10 Mac dan berakhir tengah hari tadi.

Walaupun letih berbengkel tapi keseronokannya tetap ada. Selain dapat berkongsi ilmu dengan calon-calon penulis, saya juga dapat bertemu dengan Baharuddin Kahar novelis Senjakala, Sdr. Mohd Raub Ahmad (penulis novel kanak-kanak dan remaja yang bertugas sebagai pengurus Bank Muamalat Caw. Segamat), penulis muda Negeri Sembilan Sdr.Faizal Said, Sdr. Lim Tian Hion (adik Lim Swie Tin) dan tentunya Kak Mawar Shafei.

ii
Saya tiba-tiba terkenangkan Hizairi Othman yang genap empat tahun kehilangannya (10 Mac 2001 - 10 Mac 2005). Dia antara penulis muda yang sangat saya minati. Hingga kini, ayat muluknya dalam sebuah cerpennya yang terkenal, masih kekal dalam ingatan:

"Kukenalimu baru sekejap, dalam sekejap itu aku mengenalimu."

(Tidak Semanis Mimpi oleh Hizairi Othman)
Pemenang Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1988)

Read more...

Ahad, Mac 06, 2005

Saya tidak pernah menyangka tahun 2005 akan menjadi tahun yang sangat mencabar bagi saya. Terlalu banyak kerja yang wajib diselesaikan setiap hari. Lantas memendekkan purata waktu tidur saya bagi tahun ini.

Segala-galanya bermula saya kira apabila diberi tanggungjawab menyumbang novel bersiri di Ruangan Agama Utusan Malaysia. Siang sudah bertukar menjadi malam dan begitulah sebaliknya. Saya terpaksa mengarang novel bertuah ini tanpa mengira masa dan tempat. Yang penting, ia dapat dihantar melalui emel pada setiap pertengahan minggu ke Meja Agama.

Sesungguhnya mengarang bukan kerja main-main, tetapi renyah dan menjerakan. Ia kerja yang menagih komitmen dan konsentrasi, selain imaginasi, kreativiti dan ketajaman sensitiviti. Banyak masa santai dan ziarah terpaksa saya korbankan. Masa bersukan, minum-minum di warung, menziarahi teman-teman, menonton perlawanan bola sepak menjadi terhad. Hatta untuk mengemaskini blog pun menjadi kesukaran. Malah, kepada seorang teman saya katakana, Salju Sakinah sewajarnya ditukar judulnya kepada Derita Sakinah.

Saya juga sangat berterima kasih kepada Kak Faridah Mohamed Sani, selaku editor Meja Agama (bukan lagi Astora Jabat ya, dia sudah berpindah ke majalah Al Islam) yang memahami kesukaran saya. Terasa ingin bertemu dengannya memohon maaf di atas kelewatan penghantaran siri-siri novel saya. Rasanya kami pernah bertemu sebelum ini dalam majlis-majlis anjuran Kumpulan Utusan tetapi belum mengenali orangnya.

Namun syukurlah, saya masih sihat dan dapat bertugas di sekolah seperti biasa. Dan hasil pengalaman yang lepas-lepas, saya tahu apa yang saya perlukan untuk memudahkan karier saya. Justeru kali ini saya bersedia dengan sebuah komputer riba untuk menangani tugas menulis sepanjang tahun ini. Kemajuan teknologi wajar dimanfaatkan sepenuhnya.

Minggu ini minggu saya kurang berada di sekolah. Rabu, saya akan bertugas di Kejohanan Olahraga MSSD Segamat di SMK DBD. Sementara pada Khamis, Jumaat dan (terlajak) Sabtu, saya diminta menjadi pembimbing calon-calon penulis muda dari sekolah-sekolah menengah daerah Segamat dalam Perkampungan Penulis Muda Segamat di Perpustakaan Awam. Khabarnya, Baharuddin Kahar, Abdul Talib Hasan dan Zharul Nizam Shah Zainal Abidin akan terlibat sama.

Lebih istimewa, Kak Mawar Shafei diberitakan akan turun dari Singapura untuk menghadiri slot khas Bersama Mawar Shafei pada Jumaat malam Sabtu di sini. Beruntungnya para penulis remaja zaman sekarang!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP