Sabtu, Mei 21, 2005

KENA BATANG HIDUNG SIAPA?

Baru-baru ni, ada orang tu tak dapat menziarahi Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Kesian sungguh dia. Jahat betul Yahudi Zionis (bangsa pengkhianat, penceroboh, pengganas malaun dsb) yang menghalang ziarahnya ke masjid ketiga teragung bagi umat Islam.

Awal April 1997 - tentu orang tu ingat lagi kalau dia belum nyanyuk. Pasukan kriket Yahudi Zionis datang ke negara ini untuk bertanding, tapi dia tak halang pun. Malah dia marah pula pada orang yang buat demo halang kedatangan bangsa Yahudi Laknatullah. Dia kata, biar mereka datang, tunjukkan keharmonian kita; kita boleh dakwah mereka.

Hmm, sekarang siapa dakwah siapa? Dan siapa halang siapa?

SubhanaLLah.

Read more...

Jumaat, Mei 20, 2005

Kelebihan berjemaah mengikut Teori Fizik
(dipetik dari Ruangan Agama Utusan Malaysia 20 Mei 2005)

SEORANG professor fizik di Amerika Syarikat membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam.

Katanya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.
Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan, menyebabkan kita merasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian.

Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.
Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda beliau, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama. Hasil kajiannya mendapati, bilangan rakaat yang berbeza dalam solat bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita.

Semasa solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai-bagai kelebihan.
Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita, akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan - sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun daripada tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat beberapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan dua rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zuhur didirikan empat rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas di dalam tubuh.
Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zuhur, empat rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.
Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang daripada kerja, kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak tiga rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding dua waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran professor tersebut mengenai solat Isyak yang mengandungi empat rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat di dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam digalakkan tidur awal supaya mampu bangun untuk menunaikan tahajud (sembahyang malam) pada sepertiga malam.

Ringkasnya, solat Isyak sebanyak empat rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun pada waktu malam untuk beribadat (qiamullail).

Dalam kajiannya, beliau mendapati bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.

Read more...

Khamis, Mei 19, 2005

ADA APA DENGAN BUKU?
Kesibukan seringkali membataskan masa saya untuk membaca. Namun seberapa daya saya cuba mencuri waktu untuk membaca. Lantaran saya yakin sungguh-sungguh, hanya dengan membaca saya akan beroleh idea baru, selain minda menjadi segar dan teruja semula. Kebetulan, baru-baru ini di Pesta Buku, saya membeli sebuah buku terbitan Utusan Publications - Ada Apa Dengan Buku? - kumpulan esei Shaharom TM Sulaiman dan Suriati Shamsuddin. Ia belum saya baca seluruhnya, tapi tatkala mebelek-beleknya di rumah, saya menemui beberapa kisah berkaitan kegilaan membaca buku. RM19 cuma. Buku ini ada kembarnya, berjudul "Buku Kekasihku".


SIRNA SEBUTIR BINTANG
Usai membaca Tunas Cipta Mei 2005 yang mengisi pengalaman Siti Hajar Mohd. Zaki sewaktu menghasilkan cerpen-cerpen yg termuat dlm Sinar Sebutir Bintang, saya teruja utk membeli kumpulan cerpennya itu. Selain tanda sokongan untuk penulis seangkatan, saya memang menggemari gaya penulisan (terutama kesegaran diksi dan ayat) penulis berbakat mantan MPR 1996 yang berasal dari Kedah ini. Paling menarik perhatian saya tentunya cerpen "Selebriti". Cerpen ini bertolak daripada kata-kata: "bertudung pun boleh popular". Pembaca bijaksana tentunya dapat menebak siapa ikon tersohor yang dimaksudkan penulis. Saya rasa, Siti Hajar patut menghantar cerpen ini ke URTV, bukannya Tunas Cipta. Cubalah dapatkan SSB!


DUNIA ADALAH SEBUAH APARTMEN
Ini judul kumpulan cerpen Anwar Ridhwan terbitan terbaru DBP. Kulit tebal, agak mahal, tapi saya beli juga. Saya jadi peminat Anwar Ridhwan sejak Naratif Ogonshoto kerana sebelum itu saya sangat kurang atau jarang sekali meneliti karyanya. Seperti Allahyarham Abdullah Tahir (yang saya sangat kagumi setelah memiliki kumpulan cerpen Sang Tahanan), Dato' Dr. Anwar menawarkan kesegaran dan kelainan yang ketara dalam kebanyakan cerpennya. Malah, cerpen-cerpennya yang berlatarkan luar negara juga sangat menarik. Cari-cari juga kumpulan cerpen Cikgu Azizi Hj. Abdullah. Tidak maujud.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP