Khamis, Mei 26, 2005

LIVERPOOL 3 AC MILAN 3
(Liverpool menang penalti 3-2)

Setelah 21 tahun menanti, Liverpool akhirnya kembali berkuasa di Eropah. Bukan Manchester United yang sudah terbayang-bayang era kejatuhannya, bukan Arsenal yang bermain cantik mahupun Chelsea yang berbelanja besar. Tetapi barisan pemain yang kerap dilanda masalah kecederaan sepanjang musim diketuai Steven Gerrard di bawah kendalian pakar strategi berbangsa Sepanyol, Rafa Benitez.

Tiada siapa yang menyangka, Liverpool akan bangkit dan bergelar juara Eropah buat kali kelima setelah ketinggalan 0-3 pada separuh masa. Dengan inspirasi daripada gol Gerrard, Smicer dan Alonso, serta strategi yang betul oleh Rafa Benitez, Liverpool menyamakan kedudukan dalam masa 7 minit. Lalu The Reds menjadi pasukan pertama yang bangkit daripada ketinggalan defisit 3 gol dalam sejarah final kejohanan.

Tiada yang lebih menarik dalam final selain kepintaran Benitez dan kekuatan mental pemain-pemain Reds untuk kembali bangkit dan gelek Jerzy Dudek. Tindakan Benitez menurunkan Hamman untuk menyekat Kaka ternyata berbaloi apabila perancang utama Milan itu langsung tidak bermaya pada separuh masa kedua. Dengan mempertaruhkan sistem 3-4-3 (asalnya 4-4-1-1), Milan akhirnya mengalah setelah Shevchenko sendiri gagal menjaringkan sepakan penalti pasukannya. Sementara gelek Dudek yang memberi tekanan psikologi semasa penentuan sepakan penalti cukup untuk mengulangi nostalgia Bruce Grobbelaar pada final 1984 di Rome semasa mengalahkan AS Roma.

Kemenangan ini pastinya menjadi faktor utama untuk kapten Gerrard kekal di Anfield bersama pengurus sepintar Benitez beberapa musim lagi. Namun, ia menjadi penampilan terakhir bagi Smicer, juga mungkin Dudek, Baros dan Hamann yang khabarnya akan berhijrah.

Walaupun menduduki tempat kelima dalam liga di belakang Everton yang menggagalkannya untuk layak ke Liga Juara-juara Eropah 2006, namun Presiden UEFA dan FIFA sendiri menyatakan sokongan agar The Reds diberikan tempat untuk mempertahankan kejuaraannya. Malah, Reds diberi penghormatan untuk menyimpan terus trofi kerana memenanginya buat kali kelima.

Paling ralat sesudah final ini, tentunya Michael Owen yang berpindah ke Real Madrid pada awal musim dan mungkin juga Fernando Morientes yang datang dari Real Madrid tetapi tidak dibenarkan bermain. Owen tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama di Madrid sementara Morientes tidak dapat bermain untuk Liverpool dalam kempen Liga Juara-juara kerana sudah bermain untuk kelab lamanya.

Tidak mustahil untuk Owen kembali semula ke Liverpool (sebagaimana Ian Rush yang cuma bertahan semusim di Juventus) dalam pada Benitez membeli beberapa pemain berkualiti seperti Pablo Aimar lalu mereka akan menggugat Chelsea setelah 15 tahun kempunan kejuaraan liga.

Read more...

Rabu, Mei 25, 2005

LIVERPOOL vs AC MILAN

Malam ini, Liverpool akan bertemu AC Milan di Istanbul bagi merebut Piala Eropah yang pernah mereka menangi 21 tahun yang lalu. Kedua-dua kelab yang terkenal dengan sejarah dan tradisi masing-masing rupanya tidak pernah bertemu dalam apa jua pertandingan peringkat Eropah selama ini.

Liverpool -juara Eropah empat kali - yang telah mengejutkan Bayer Leverkusen, Juventus, dan Chelsea dilihat sekali lagi akan membuat kejutan ke atas Milan -juara Eropah enam kali - yang menewaskan Manchester United, Inter Milan dan PSV Eindhoven di peringkat kalah mati. Prestasi Liverpool pada 3 peringkat sebelum ini dilihat lebih meyakinkan walaupun langsung tidak diberikan peluang pada awalnya.

Sejak dikendalikan oleh Rafael Benitez yang begitu pakar dan mahir dengan selok-belok permainan bola sepak Eropah, The Reds ternyata sebuah pasukan berbeza berbanding penampilan mereka dalam Liga Perdana Inggeris. Biarpun Milan diletakkan sebagai pilihan, namun status underdog bukanlah asing bagi The Reds yang akan membariskan Steven Gerrard dan Xabi Alonso untuk berhadapan dengan Clarence Seedorf dan Kaka di bahagian tengah.

Di atas kertas Milan jelas mengatasi Liverpool dari segi persembahan,jaringan dan pengalaman kesebelasan utamanya. Namun hasil poll yang dibuat setakat ini, Pool jauh mengatasi Milan untuk mencatat kemenangan bersejarah. Memandangkan keberkesanan taktik dan teknik yang diterapkan oleh Benitez, kubu Pool (dibarisi Hyypia, Carragher, Traore, dan Finnan) agak sukar digugat berbanding benteng pertahanan Milan yang dibarisi pemain-pemain berpengalaman dan sudah berusia (Cafu, Maldini, Stam dan Nesta). Dan berita baik buat Pool tentunya kepulangan striker Cisse yang baru pulih daripada patah kaki.

Ramai meramalkan keputusan mungkin berakhir dengan natijah 1-0 atau 2-1 memandangkan kedua-dua pasukan akan bermain penuh hati-hati. Atau terikat seri lalu ditentukan dengan tendangan penalti.

Read more...

Selasa, Mei 24, 2005

Ku cari
Mana dia Al-Ghazali
Ku cari
mana dia Al-Shafie
Kita bongkar rahsia kitab suci

Tapi
yang kutemui
Inul goyang gerudi

(petikan ceramah Ustaz Abdullah Hussin)

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP