Isnin, Februari 13, 2006

TRAGEDI TALQIN

Ada yang berpendapat talqin itu bid'ah. Katanya, Nabi tidak pernah buat. Ada pula yang mempertahankannya, malah bersedia berhujah dengan sesiapa jua. Baginya, ia telah diamalkan sejak lama dahulu dan tidak pernah dilarang oleh tok-tok guru. Namun catatan kami ini bukan untuk menyentuh atau menyebelahi mana-mana pihak dalam isu yang kontroversi ini. Bukan untuk memenangkan generasi muda atau tua. Sekadar untuk mengenang 'tragedi talqin' yang barangkali tidak pernah anda lalui.

Cuti tahun baru cina baru-baru ini berlaku kematian. Kami hadir menziarahi memandangkan arwahnya sangat kami hormati semasa hayatnya. Tatkala tiba, jenazah sedang dimandikan. Kemudiannya dikafankan di ruang tamu. Segalanya berjalan licin dan agak pantas.

Namun tatkala mahu disembahyangkan - malah kami sudah berbaris dalam saf yang rapat dan imam sudah hampir benar mengangkat takbir pertama - berlaku sedikit kekecohan. Seorang waris si mati yang berusia lebih 60 tahun dan bukan berasal dari mukim ini dan berada di saf depan tiba-tiba mempertikaikan kedudukan jenazah. "Betul ke letak mayat macam ni?".

Kami terpinga. Anak si mati yang bertugas sebagai bilal di sebuah masjid, pak imam, dan para makmum terdiam.
"Betul ke awak belajar macam ni?" Waris tua itu terus mempersoalkan letak duduk arah kepala jenazah.
"Tak apa, ini sunat aja," celah Pak Imam, mahu meleraikan. Anak si mati tenang. Mungkin sedikit bengang. Di depan, jenazah bapanya yang mesti disempurnakan. Di kirinya, ada pula yang buat kecoh. Sedih tetapi sabar.
"Kitab mana sebut macam ni? Tempat awak memang buat macam ni ke? Betul ke ni? Saya ada kitab boleh tunjuk dia (kitab itu) sebut arah ke mana."

Kami di saf pertengahan panas hati. Geram pula rasanya. Orang tua yang entah datang dari mana ini memang nak kena!

Namun pak imam bijak mengawal suasana. Tidak melayan, sebaliknya terus mengangkat takbiratulihram. Waris tua diam dan turut menunaikan fardu kifayah empat takbir. Usai solat, kami mengiringi jenazah ke pusara. Hampir sejam kemudian, jenazah selamat disemadikan. Bagaimanapun, orang ramai tidak terus pulang. Amalan talqin akan dilaksanakan meskipun kami tahu kadangkala ia tidak diamalkan di sesetengah penduduk kariah di mukim ini. Lalu kami juga menanti.

Sebaik saja tikar dibentang di tepi pusara, kami melihat waris tua yang kecoh tadi mengeluarkan kitab lama dari beg hitamnya. Barangkali dia yang akan membacakan talqin jenazah sebentar lagi. Namun sangkaan kami meleset, sebaliknya anak si mati yang membacakannya. Pak imam sendiri memberi laluan.

Orang muda yang membaca talqin, tentu saja laju, lancar dan jelas bacaannya. Talqinnya bagi kami agak moden dan ringkas susunan ayatnya berbanding talqin yang pernah kami dengar semasa kecil-kecil dulu. Kami lega. Tentu boleh pulang lebih awal sikit. Matahari makin tinggi. Namun sangkaan kami sekali lagi meleset. Sebaik anak lelaki si mati selesai membaca talqin dan bersedia memulakan tahlil, tiba-tiba satu suara garau mencelah dan memulakan bacaan yang hampir sama dengan yang dibacakan oleh anak si mati tadi. Para hadirin terpinga-pinga.

Kami memantau dari jauh. Nampaknya waris tua tadi sedang membaca talqin yang terkandung dalam kitab kuningnya! Sudah....
Habis yang dibaca oleh anak arwah tadi apa? Bukan talqinkah? Atau tak sah agaknya? Orang tua ni, kurang asam dan kurang 'empuk' barangkali, gerutu kami dalam hati. Dahlah matahari panas, hati juga membahang sama. Kami memandang tanah dalam geram. Tiada pula anak batu yang boleh dilontar ke arah waris tua itu. Biar dia tahu adab susila bertandang ke tempat orang!

Kalau tadi, kami tahan bertinggung agak lama, kali ini kami terpaksa meletakkan selipar di bawah punggung untuk dijadikan alas duduk. Lenguh dan geram berbaur. Kami cuba membezakan kedua-dua bacaan talqin yang diperdengarkan hari ini. Ternyata ada bezanya. Yang dibaca mula-mula tadi lebih moden, jelas dan ringkas. Yang dibaca oleh waris tua itu stail lama. Agak berjela-jela bahasanya. Ditambah pula dengan bacaan yang tidak lancar dan kadangkala tersangkut semput bagai traktor buruk menambah kehangatan hati kami dan mungkin hadirin lain juga. Malah kami dapat mendengar waris tua itu beberapa kali menyebut nama si mati yang dibinkan dengan nama bapanya (sesetengah tempat membinkan nama si mati dengan nama ibunya), sebaliknya anak si mati tadi hanya menyebut nama arwah sebagai Muhammad bin Hawa.

Bacaan talqin kedua yang menyeksakan itu akhirnya berakhir. Dengan pantas, anak si mati terus memulakan tahlil ringkas. Ketara dia agak resah kerana kelewatan dan 'gangguan' yang tidak disangka-sangka dari waris tua tadi. Sebagai tuan rumah tentu saja tidak mahu menyusahkan para hadirin yang terpaksa menunggu. Kami turut simpati dengan situasi yang dihadapinya.

Tahlil ringkas selesai pantas. Seterusnya anak si mati membaca doa tahlil dan arwah. Sederhana saja panjangnya. Semakin jelas dia tidak mahu melewat-lewatkannya lagi. Malah doa penutup juga diselitkan sekali di hujung doa arwah, demi menjimatkan masa. Dalam hati, kami memuji anak si mati yang berhikmah dalam perbuatannya.

"Taqabbalallahu minkum," lafaz anak si mati sebaik selesai doanya. Belum sempat kami menjawab "minna wa minkum taqabbal ya karim", waris tua tadi sekali lagi mencelah agak kuat. "Al-Fatihah!"

Lantas sekali lagilah para hadirin terpinga-pinga. Rupanya, waris tua tidak berpuas hati kerana anak si mati tadi tidak membaca Ummul Kitab sesudah doa dan tidak mengasingkan doa tahlil arwah dengan doa penutup.

Subhanallah! Ada juga orang macam ni. Kami terus bingkas dan tidak mahu menunggu lagi.





Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP