Selasa, April 18, 2006

(Kertas kerja ini dibentangkan di Sudut Penulis DBP pada 4 Disember 2004 sempena Diskusi Karya Mantan MPR 2004)

KEUNIKAN NOVEL SESEGAR NAILOFAR KARYA ZAID AKHTAR
oleh Talib Samat(UPSI)

1.0 Pendahuluan
Novel Sesegar Nailofar karya Zaid Akhtar, seorang penulis muda berbakat besar kelahiran Segamat, Johor, pernah memenangi hadiah ketiga Pertandingan Novel Remaja dalam Siri Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2000.Dalam pertandingan yang sama, novel remaja Bukan Legasi Lalang karya Sri Rahayu Mohd.Yusop memenangi hadiah pertama dan Abu Hassan Morad memenangi hadiah kedua menerusi novelnya Cinta Madinah.Ketiga-tiga novel ini diterbitkan pada tahun 2001 oleh Utusan Publications and Distributors Sdn.Bhd.

2.0 Maksud Nailofar
Pembaca novel remaja ini tentunya tertanya-tanya maksud nailofar yang menjadi judul novel Zaid Akhtar ini yang mengambil sepenuhnya latar tempat,latar masa,latar masyarakat para pelajar Melayu yang menuntut di Universiti Yarmouk, Jordan.Penggunaan sepenuhnya latar bumi negeri Jordan tentunya ditulis berdasarkan pengalaman Zaid Akhtar yang pernah menuntut di Jordan yang digarap sebaiknya untuk menulis novel remaja ini yang membawa kemenangan kepada beliau dalam penilaian dan Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000.

Selepas meneliti beberapa kali novel Sesegar Nailofar karya Zaid Akhtar ini terkesan kepada saya sumber utama pengarang menamakan novel ini sebagai Sesegar Nailofar ada kaitannya dengan deskripsi pengarang tentang sejarah asal usul perkataan nailofar di halaman 104 dan 105.

Didorong perasaan ingin tahu yang menunu itu Iqbal lantas mencapai Lisanul Arab,kamus bahasa Arab yang paling akbar pernah dihasilkan.Dia mencari-cari perkataan Nailofar.Malangnya tiada.Iqbal terdiam sejenak.Berfikir.Bilakah Lisanul Arab dihasilkan? Adakah sebelum atau selepas Andalus? Jikalau Ibn Manzur menyusun kamus ini sebelum Thariq bin Ziad menyeberangi Selat Gibraltar menggempur Kristian Sepanyol bermakna perkataan “Nailofar” pasti tidak ada dalam kamus yang agung ini.Dia lalu mencapai beberapa kamus lain yang lebih mutakhir.Dan tekaannya tidak meleset.Dia menemukan makna perkataan Nailofar.Nailofar memang berasal daripada bahasa Andalus, tetapi telah diarabkan.Ia nama kepada spesies bunga yang habitatnya di dalam air.Spesies yang hampir sama dengan lili dan teratai.Iqbal terkelip-kelip, cuba memikirkan di mana lojiknya seseorang boleh menyukai nailofar.Apakah simboliknya.Bunga spesies ini setahunya tidaklah seharum, tetapi kerana hidupnya hanya di dalam air menjadikannya sentiasa segar dan lambat layu.Barangkali kerana kerana kesegaran itulah gadis itu menyenangi bunga ini.Tidak mawar, dahlia, telukis, kemboja,anggerik, dan sebagainya tetapi nailofar.Lantas dipilih nama Nailofar, Iqbal beranalogi.Tetapi maujudkah gadis Melayu yang menyukai bunga nailofar.
(Sesegar Nailofar, 2001: 104-105)

Petikan di atas menggambarkan asal usul perkataan nailofar yang tentunya mencetuskan rasa ingin tahu,pengalaman baru dan ilmu bahasa kepada para pembaca novel ini.Terkesan juga di fikiran saya,Zaid Akhtar seorang pengarang yang berasal dari Segamat, Johor tentunya terpengaruh juga di mindanya asal usul perkataan Segamat berasal daripada perkataan “segar amat” yang ikut mempengaruhinya menamakan novel ini Sesegar Nailofar sebagai cantuman beberapa perkataan.Pengalaman beliau belajar di Universiti Jordan tentunya mendedahkannya dengan pelbagai ilmu bahasa Arab termasuk perkataan Nailofar untuk dijadikan asas menamakan novel percintaan yang tidak kesampaian ini dengan judul tersebut yang pasti membangkitkan rasa ingin tahu pembaca.

3.0 Isu-isu Menarik Difokuskan Oleh Pengarang Dalam Novel Sesegar Nailofar
Pelbagai isu menarik difokuskan oleh pengarang Zaid Akhtar dalam novel Sesegar Nailofar yang membezakannya dengan novel-novel remaja lain yang bercambah dan berlambak di pasaran buku negara ini dewasa ini.Di antara isu-isu menarik yang difokuskan oleh pengarang dalam novel ini yang menjadikan novel ini unik dan menarik yang berupaya mempertajamkan minda pembaca.Di antaranya termasuklah:

3.l Kisah Percintaan Di antara Iqbal di Jordan dan Salsabila di Segamat, Johor
Novel Sesegar Nailofar menyorot secara halus kisah percintaan di antara Iqbal yang sedang menuntut di tahun akhir di sebuah universiti di Jordan, sebuah negeri di Asia Barat dengan Salsabila di Segamat, Johor.Percintaan di antara sepasang teruna dara yang berjauhan ini menimbulkan rasa curiga di hati masing-masing apakah masih wujud kesetiaan di antara mereka berdua.Dalam suasana kehidupan di kampus universiti di Jordan ramai juga para siswi yang menaruh hati kepada Iqbal termasuk Nur Hazwani yang berselindung di sebalik nama Nailofar yang sering mengirim e-mel kepada Iqbal.Iqbal sering tertanya-tanya siapakah Nailofar yang sebenarnya yang begitu mengambil berat tentang dirinya.
Nur Hazwani adalah rakan siswi yang ikut sama berjuang dalam PERMAI(Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid) di mana Iqbal adalah salah seorang pemimpin persatuan yang komited dan berdedikasi dalam memperjuangkan nasib pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Jordan.

Kelicikan Nur Hazwani adalah kerana kepintarannya menyamar diri sebagai Nailofar yang sering mengirim e-mel kepada Iqbal dan menimbulkan tanda-tanya kepada Iqbal siapakah Nailofar yang sebenarnya yang begitu mengambil berat tentang dirinya.Pergerakan Iqbal sentiasa diikuti oleh Nur Hazwani yang menyamar diri sebagai gadis Nailofar dalam e-mel yang sentiasa dikirimnya.

Dalam pada itu hubungan di antara Iqbal yang sedang menuntut di Jordan dengan gadis Salsabila semakin dingin hari demi hari.Dalam suasana kedua-duanya saling berjauhan dan bertambah kendur apalagi cabaran kehidupan sekitar di negeri masing-masing mendedahkan keretakan hubungan kedua-dua teruna dara ini.Salsabila yang mula dikenali Iqbal sewaktu bertemu dalam satu acara Perkhemahan Pengawas Sekolah-sekolah Daerah Segamat,Johor telah disahabatinya selama lebih lima tahun(hlm.94) ini disampaikan menerusi teknik imbas kembali yang menarik oleh Zaid Akhtar dalam novel ini.Salsabila memasuki maktab perguruan untuk menjadi guru pernah dikunjungi oleh Iqbal sewaktu pulang bercuti pada musim panas tahun kedua pengajian.Iqbal mengunjungi rumah keluarga Salsabila di Gemereh, Segamat, Johor.Pertemuan ke rumah keluarga Salsabila rupanya pertemuan terakhir di antara kedua-dua teruna dara ini.

Kisah percintaan di antara Iqbal yang sedang menuntut di Universiti Yarmouk,Jordan dengan Salsabila yang berada di Segamat, Johor yang sudah berusia lima tahun itu dan dipisahkan oleh lautan dan daratan lebih ribuan kilometer itu berakhir dengan kekecewaan bila menerima sepucuk surat dari Salsabila Shamsuddin di Segamat,Johor yang mengakhiri segala hubungan mereka.Salsabila terpaksa bernikah dengan waris sebelah ibunya pada 12 September sebagai teman hidupnya yang dipilih oleh keluarganya khususnya ibunya.Tarikh 12 September dipilih bukan 11 September untuk tarikh pernikahan Salsabila Shamsuddin dengan jejaka pilihan keluarganya.

Timbul pertanyaan mengapa tarikh 12 September yang dipilih pengarang.Tidak tarikh 11 September kerana tarikh 11 September adalah tarikh kemusnahan dua menara berkembar di kota New York, Amerika Syarikat yang kemudiannya membawa mala petaka kepada umat lslam bila dituduh pengganas yang menyebabkan Afghanistan,Iraq diserang oleh Amerika Syarikat pimpinan George Bush tanpa sebab alasan yang munasabah.

Teknik surat(hlm.174-175) dan teknik imbas kembali(hlm.186)digarap sepenuhnya oleh pengarang dengan berkesan dan semaksimum mungkin untuk menggambarkan putusnya hubungan cinta di antara Salsabila dengan Iqbal yang sudah berusia lebih lima tahun itu yang merupakan suatu tempoh masa yang lama.Itulah yang sering diungkapkan orang percintaan tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan.Seseorang sering tidak akan berkahwin dengan orang yang ditemuinya untuk kali pertama tetapi biasanya akan berkahwin dengan orang lain yang dia sendiri tidak pernah terfikirkannya.

Kegagalan percintaannya dengan Salsabila diterima dengan pasrah dan reda oleh Iqbal dan menerimanya sebagai ujian Allah yang menduga kekuatan imannya.Kemunculan Nur Hazwani yang selama ini sering menyamar sebagai gadis Nailofar menyegarkan kembali harapannya untuk meneruskan perjuangan hidup ini.Nur Hazwani yang selama ini sering berutus-utus e-mel dengannya mencambahkan harapan kepadanya untuk membina hidup baru yang lebih ceria meskipun pengajian Iqbal di bumi Jordan sudah berakhir dan Nur Hazwani masih perlu menunggu beberapa semester sebelum kembali ke tanah air. Gambaran harapan baru di antara Iqbal dengan Nur Hazwani tergambar dalam petikan berikut,

Perlahan-lahan Iqbal mengeluarkan isi hadiah.Hadiah inilah yang telah menyingkap sebuah misteri.Hadiah inilah yang telah memukau garisahnya.Hadiah inilah juga tanda kesungguhan, ketulusan dan keberanian seorang wanita yang beransur-ansur merampas ruang hatinya.
Di dalamnya berisi sekeping kad dan dua kuntum nailofar..Kuntuman dan kad itu memang tidak pernah jemu ditenung dan dibaca:

Sesegar kuntuman nailofar ini
Ingatanku kepadamu kekal begitu.

Iqbal,
Hatimu izinkan kuhuni.
-Nailofar

(Sesegar Nailofar, 2001: 209)

3.2 Kisah Perjuangan Pelajar-pelajar Melayu Belajar di Universiti Yarmouk dan universiti lainnya di Jordan.
Negara-negara Timur Tengah khususnya Mesir, Arab Saudi, Jordan, Syria, Iraq(pada suatu ketika) sering menjadi tumpuan pelajar dan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka sehingga negara merdeka untuk menjadi tempat belajar ilmu-ilmu agama(ukhrawi) dan duniawi.Malah kesan daripada begitu ramainya pelajar Melayu mahupun Indonesia serta negara lain di Asia Tenggara sering menubuhkan persatuan pelajar negara masing-masing untuk menjaga dan membela kebajikan mereka sepanjang mereka menuntut di negara orang.Di samping itu sesudah mereka kembali ke tanah air pun mereka akan menubuhkan beberapa persatuan seperti Persatuan Bekas Pelajar Timur Tengah dan sebagainya yang popular di Malaysia suatu ketika dahulu.Bagaimanapun kegiatan persatuan ini akhir-akhir ini agak malap dan semakin berkurangan.Apakah ini petanda perubahan nilai dalam masyarakat sejajar dengan perubahan masyarakat yang semakin memandang sains dan teknologi atau pertimbangan materialistik.

Kepergian para pelajar Melayu belajar di pelbagai universiti Timur Tengah khususnya Mesir atau Jordan hampir berjumlah ratusan atau ribuan orang pada setiap tahun.Bagaimanapun daripada sekian ramai para pelajar atau mahasiswa ini berapa orangkah dari mereka itu yang berusaha merakamkan perjuangan mereka dalam bentuk buku atau novel kreatif seperti yang dilakukan oleh Zaid Akhtar menerusi novel remajanya,Sesegar Nailofar untuk membolehkan masyarakat pembaca yang tidak pernah belajar atau pergi ke sana menimba pengalaman kreatif mereka belajar di bumi Jordan yang menjadi latar novel ini misalnya.

Sesungguhnya apa yang diusahakan oleh Zaid Akhtar dalam novel Sesegar Nailofar ini adalah percubaan menarik, kreatif dan berkesan untuk menggambarkan hidup pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di bumi Jordan dewasa ini yang terdedah dengan pelbagai cabaran dan masalah hidup yang menarik untuk dibaca.Hal ini menjadi lebh menarik lagi kerana Zaid Akhtar menggambarkan kehidupan para pelajar Melayu di Jordan berasaskan pengalamannya sendiri yang pernah menuntut di sana.Isu-isu semasa dan terkini yang melanda kehidupan mereka termasuk simpati terhadap perjuangan rakyat Palestin yang menuntut sebuah negara merdeka di bumi Palestin yang sudah ditakluk Israel sentiasa menyentuh hati nurani mereka.

Begitu juga gambaran perjuangan Iqbal dan rakan-rakannya dalam Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid(PERMAI) dengan segala macam cabaran dan dugaan digambarkan dengan realistik dan berkesan oleh Zaid Akhtar tentunya menyumbang kepada kefahaman pembaca tentang kehidupan berpersatuan pelajar-pelajar Melayu di Jordan untuk memperjuangkan survival,kebajikan dan masalah mereka sewaktu menuntut di rantau orang.Sehubungan dengan ini tentunya pembaca boleh membuat perbandingan misalnya kehidupan para pelajar yang pernah belajar di Jordan misalnya dengan di London, Amerika Syarikat dan sebagainya. Rasanya dengan membaca novel Sesegar Nailofar kehidupan para pelajar di Jordan misalnya jauh lebih beriman dan beragama berbanding dengan cara hidup pelajar di London atau Amerika Syarikat yang terdedah kepada cara hidup masyarakat Barat yang begitu bebas.

Novel ini secara tidak langsung juga memberi panduan untuk memilih universiti mana di Timur Tengah atau di dunia di mana yang lebih sesuai untuk pergi belajar menyambung ilmu-ilmu tertentu yang mungkin tidak ada di universiti di Malaysia.Inilah yang secara tidak langsung disalurkan oleh pengarang novel ini untuk difikirkan oleh pembaca misalnya untuk memilih universiti mana yang wajar ditujui untuk mendapatkan sesuatu ilmu itu.Zaid Akhtar menampilkan secara kreatif isu ini yang mungkin tidak disedari oleh pembaca.

3.3 Isu Perjuangan Rakyat Palestin dan Simpati Berterusan Terhadap Perjuangan Mereka
Perjuangan rakyat Palestin di bumi Palestin yang ditakluki Israel yang bersempadan negara Jordan yang didatangi oleh Iqbal dan rakan-rakannya dari Malaysia dalam novel Sesegar Nailofar sentiasa mengundang simpati mereka.Malah umat lslam di Malaysia atau di mana-mana jua sememangnya menaruh yang simpati yang berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin yang sentiasa ditindas oleh rejim Israel yang merampas Palestin pada tahun 1948 dan berterusan sehingga ke hari ini.Penindasan kejam dan berterusan rejim Israel ke atas rakyat Palestin memang tiada akhirnya dan mencetuskan pelbagai pergerakan daripada rakyat Palestin untuk memerangi rejim Israel.Ini termasuklah pergerakan seperti PLO,HAMAS, Al-Fatah dan sebagainya yang terus gigih menentang Israel dengan segala kekuatan yang ada.
Penentangan rakyat Palestin terhadap kekejaman rejim Israel memunculkan pelbagai watak pejuang Palestin dalam novel Sesegar Nailofar seperti Aiman dan Amjad yang sentiasa diburu ancaman sama ada dari agen-agen Israel mahupun polis Jordan yang menganggap pejuang atau lelaki Palestin yang singgah di bumi Jordan sebagai pendatang haram.

Tekanan kuasa besar khususnya Amerika Syarikat yang menekan kerajaan Jordan misalnya memaksa kerajaan Jordan menutup cawangan-cawangan HAMAS yang ada di Jordan. Ketakutan kerajaan Jordan kepada Amerika Syarikat yang merupakan pelindung utama rejim Israel mendorong mereka memburu dan menangkap lelaki Palestin atau mereka yang bersimpati dengan perjuangan mereka termasuk watak Iqbal dalam novel ini.

Malah watak utama novel ini,Iqbal sentiasa dicurigai dan diikuti pergerakannya oleh tiga orang anggota polis Jordan apalagi dia sering membeli majalah Falestin Muslimah-satu-satunya majalah yang jelas menyokong perjuangan HAMAS-setiap bulan(hlm.143).Tiga orang anggota polis Jordan menyoal siasat Iqbal yang berakhir dengan penahanan Iqbal beberapa waktu sehingga datang Dr.Abdul Settar,ahli Parlimen kawasan Irbid yang merundingkan pembebasannya.

Pembebasan Iqbal cukup penting dan bermakna kerana dia beberapa hari lagi akan menduduki peperiksaan akhir pengajiannya yang bakal menentukan nasib masa depan pengajiannya di rantau orang ini.Iqbal terus bekerja keras selepas pembebasannya daripada tahanan polis Jordan untuk berusaha menjawab peperiksaan akhir dengan cemerlang khususnya terhadap kertas-kertas peperiksaan yang dianggap sukar dan mencabar.
Berkat kesabaran, kegigihan dan keikhlasan Iqbal, beliau berjaya melepasi halangan dan berjaya dalam peperiksaan akhir yang sangat menguji kekuatan mental dan imannya yang ditanganinya dengan semangat perkasa. Sekiranya watak Iqbal berjiwa lemah dan patah semangat dengan suasana hidup sebegini sudah tentu dia tewas dalam peperiksaan akhir yang tentunya akan mengecewakannya sesudah berjuang beberapa tahun di rantau orang.
Kegigihan dan keperkasaan watak Iqbal menghadapi dan menangani pelbagai cabaran hidup yang mendatang di bumi Jordan seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada kita semua agar gigih,tabah dan nekad dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup sehari-hari.Kita disarankan agar tidak mudah tewas dengan cabaran dan ujian yang mendatang dan mesti gigih menempuhnya.

3.4 Penggunaan Bahasa Arab Dalam Novel Remaja
Penggunaan bahasa Arab dalam novel Sesegar Nailofar karya Zaid Akhtar memantapkan lagi penampilan novel ini sebagai novel remaja berilmu yang memperlihatkan latar belakangnya sendiri sebagai pengarang yang mengetahui bahasa Arab.Hal ini sejajar dengan pengalamannya sendiri yang pernah belajar di Jordan yang tentunya dimanfaatkan sebaiknya dalam penulisan novel ini.Halaman 212 dan 213 novel ini memuatkan glosari dan pengertian bahasa Arab yang digunakan dalam novel ini untuk membantu kefahaman pembaca tentang beberapa ungkapan bahasa Arab yang digunakan dalam novel ini.Penggunaan bahasa Arab dalam sesetengah bahagian novel ini memperkukuhkan lagi latar belakang novel ini yang menggunakan latar negeri Jordan di Timur Tengah dan Arab Saudi sedikit untuk menggambarkan suasana musim haji yang dialami oleh Iqbal, Nur Hazwani dan beberapa watak lain novel ini.

Sekiranya diteliti dan ditelusuri sepanjang sejarah penerbitan novel remaja di negara ini, tidak banyak novel atau hampir tiada langsung novel remaja yang mengambil latar belakang negeri-negeri di Timur Tengah.Kemunculan novel Sesegar Nailofar karya Zaid Akhtar mengisi ruang kosong penghasilan novel remaja berilmu yang berlatarbelakangkan mana-mana negeri di Timur Tengah yang tentunya hanya mampu dihasilkan oleh mereka yang pernah belajar atau punya pengalaman di sana.

4.0 Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas jelaslah novel Sesegar Nailofar karya Zaid Akhtar terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn.Bhd. keluaran tahun 2001 ini memiliki keunikan,keistimewaan dan kekuatan yang tersendiri yang seharusnya disambut secara positif oleh pembaca.Kemenangan tempat ketiga yang dicapai oleh Zaid Akhtar dalam penilaian Hadiah Sastera(Kategori Novel Remaja) anjuran Kumpulan Utusan tahun 2000 secara tidak langsung menyerlahkan bakat besar yang dimiliki oleh pengarang ini yang seharusnya menghasilkan lebih banyak novel remaja berlatarbelakangkan negeri-negeri di Timur Tengah kerana inilah ruang kosong yang seharusnya diteroka dan diperdalamkan penulisannya oleh Zaid Akhtar. Penulis atau pengarang novel remaja lain mungkin tidak memiliki pengalaman belajar atau hidup di Timur Tengah seperti yang dimiliki oleh Zaid Akhtar dan inilah kelebihan beliau yang seharusnya terus dimanfaatkan dan dikongsi bersama pengalaman itu dengan pembaca.

8 komentar:

Serunai Faqir aka SF 8:50 PG  

Terima kasih atas kunjungan.

mahfuz 1:03 PTG  

Assalamualaikum Abg Zaid.

Memang tak dapat dinafikan novel Sesegar Nailofar nie memang best. Mesti baca dua kali baru dapat hayati betul2...pasal byk gak bhs yang tak paham mule2...lepas nie nak bace Rona Bosphorus pule, tapi xde kesempatan nak beli...ok lah, semoge abg Zaid terus menulis...

Mahfuz.

marcopolo,  7:11 PTG  

muhawalah...

Tanpa Nama,  7:20 PTG  

muhawalah

Romantis Selatan 8:59 PTG  

Mendaki dan terus mendaki... untuk mencapai bisikan sastera dalam mengalunkan karya-karya saya suatu hari nanti...

Belum genap satu bulan saya menulis blog... bacaan tulisan teman-teman dan kenalan daripada kalangan penulis blog; lahir satu doa dalam diri saya agar mampu menghasilkan karya-karya sastera intelektual pada masa akan datang.

akirasuri 10:31 PTG  

salam ziarah kembali..emmm akhirnya ketemu juga dgn saudara walaupn di alam maya, selama ni cume bace karya saudara jek..karya saudara menarik dan segar, teruskan berkarya :)

zaidakhtar 11:33 PTG  

romantis selatan,
selamat bersastera!

akirasuri,
terima kasih krn sudi membaca ;-)

Tanpa Nama,  5:58 PTG  

Very nice site!
» » »

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP