Khamis, April 13, 2006

Layang-layang Tak Bertali

Saya baru sahaja memiliki kumpulan cerpen Pendoa yang Ikhlas oleh Azizi Hj Abdullah terbitan DBP lewat Pesta Buku KL yang lalu. Sehari selepas membeli buku itu, esoknya tersiar cerpen beliau berjudul Layang-layang Tak Bertali di Mingguan Malaysia.

Buah tangannya yang terbaru itu memang menarik. Fasal layang-layang yang tiba-tiba sahaja tersesat masuk ke sebuah kampung. Ia bukan cerpen biasa apatah lagi ia datangnya daripada seorang penulis sepeka beliau. Sebaliknya ia menyentuh secara halus isu semasa yang sedang hangat di selatan tanah air.

Cikgu Azizi menulis: "Mana boleh berbahaya! Dia bukan apa-apa. Dia cuma melayah melayang, turun naik, melilau macam layang-layang putus ekor. Dia tak bawa apa-apa dan tak pun gugur apa-apa. Lagipun lantaklah, dia melayah melayang di kawasan udaranya, bukan di atas ruang tanah sawah kita. Dia punya fasallah!"

Jika kita membaca keseluruhan cerpen tersebut, kita akan merasai kegeresahan hati beliau dengan isu pencerobohan jet-jet pejuang negara jiran ke wilayah kita. Cikgu Azizi menganggap kita langsung tidak risau atau buat-buat tidak endah dengan ancaman sebegini yang boleh membahayakan negara. Dan tanggapannya itu betul memandangkan memang ramai yang kurang prihatin dengan isu ini. Mungkin kerana kita tidak berada di selatan Johor. Mungkin juga kerana kita tidak merasai kebisingan yang dihadapi oleh penduduk Tanjung Langsat dan Tanjung Kupang. Mungkin kerana kita memang kurang semangat atau tiada langsung perasaan cintakan tanah air dan asyik menjaga periuk nasi kita.

Lebih merisaukan apabila kita mengingatkan isu yang sinonim dengan isu pencerobohan ini iaitu isu "jambatan bengkok" atau Gerbang Selatan yang jelas memaparkan betapa kita dipermain-mainkan oleh Singapura dengan tuntutan ruang udara dan pembekalan pasir. Kalau mahu bina jambatan indah, boleh. Tapi berilah ruang angkasa dan pasir! Kita terkedu bila diajukan permintaan berat sebelah itu. Tetapi nak buat macam mana? Silapnya kita yang dulu beria-ia dan terkinja-kinja galak mahu membina jambatan menggantikan Tambak Johor (malah sudah dua tiga tahun memulakan projek) sedangkan Singapura belum apa-apa dan sentiasa berdolak-dalih dalam rundingan.

Namun semalam, kita sama-sama merafakkan syukur apabila projek fantasialagiterburuburudanmahumenguntungkankroni yang hampir-hampir mencemarkan kedaulatan negara itu akhirnya dihentikan oleh PM setelah kerajaan tiba-tiba baru tersedar dan terperasan sentimen dan perasaan rakyat.

Bagaimanapun, agak malang juga kerana kesedaran itu lewat sangat datangnya. Rakyat terpaksa menanggung beban kos sebanyak RM100juta sebagai bayaran pampasan kepada kontraktor projek fantasialagiterburuburudanmahumenguntungkankroni itu. Aduhai, begitulah nasibnya. Kerana kebodohan, kegopohan dan kehalobaan segelintir manusia, berjuta manusia lain menanggung akibatnya!

Alangkah bagusnya jika berfikir dulu baik buruknya sebelum memulakan sesuatu kerja!

2 komentar:

Faisal Tehrani 10:45 PG  

Zaid,
Negara ini diperintah oleh mereka yang tidak peduli!
Thaksin jatuh kerana Singapura, tapi Malaysia...

Tanpa Nama,  1:16 PTG  

Cool guestbook, interesting information... Keep it UP
» » »

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP