Rabu, April 05, 2006

Syafakillah, Aminah Mokhtar!

Pastinya ramai yang pernah membaca novel Iman Markisa dan Dominasi Tebrau. Kedua-duanya tulisan penulis wanita Johor berbakat besar Aminah Mokhtar. Barangkali namanya tidak sepopular Aisya Sofea, Damya Hanna atau Anis Ayuni, namun segala macam anugerah sayembara - baik cerpen, novel, puisi mahupun drama radio - pernah beliau menangi. Sejak 1998, rasanya tidak pernah nama Aminah Mokhtar terkeluar dari senarai pemenang hadiah penulisan.

Saya memang agak rapat dengan Aminah (sebutan mesranya, Kak Min) sejak beliau menjadi fasilitator saya dalam Bengkel Kepezi yang saya sertai pada tahun 2000. Saya sering mengingati saat pertama kali bersua beliau di Rumah Gapena, saat beliau membedah cerpen saya berjudul Nil Masih Mengalir. Silaturrahim kami yang terjalin di bengkel berterusan hingga kini. Kak Min sering memberi komennya terhadap karya saya walau tanpa diminta. Malah Kak Minlah yang kuat mendorong saya agar cuba menulis novel bersiri di Utusan Malaysia tahun lepas.

Di kalangan teman-teman penulis, Kak Min sebenarnya menjadi salah seorang penulis yang saya cemburui. Bukan cemburu dengan kejayaannya, tetapi rasa iri seringnya menjuak pertanyaan bagaimana beliau boleh sebegitu prolifik berkarya. Bagaimanapun, sejak setahun lalu kesihatan Kak Min agak terganggu. Jumlah karyanya merosot. Puncanya, mata Kak Min menghadapi masalah penglihatan. Barangkali faktor terlalu gigih menulis, membaca, mengkaji atau mungkin juga faktor genetik. Saya kurang pasti.

Dan, sebentar tadi saya menerima sms daripada Kak Min. Bunyinya begini: Lusa, mata Kak Min dioperate. Doakan selamat dan dapat terus berkarya.

Mudah-mudahan, kita doakan Kak Min selamat dan lekas sembuh. Sastera Melayu sesungguhnya masih memerlukan penulis wanita yang segagah Kak Min. Ameen!

1 komentar:

Tanpa Nama,  12:27 PTG  

Very nice site!
»

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP