Khamis, Mei 18, 2006

Karya kreatif medan penulis dakwah
Oleh Nazmi Yaakub

CERITERA Bersama Karyawan Sastera: Zaid Akhtar (Genre Novel) mendedahkan karya kreatif berupaya menjadi medan dakwah di kalangan penggiat sastera khususnya untuk penulis berlatarbelakangkan pendidikan Islam.

Kira-kira 100 khalayak diberitahu penulis Muslim yang menerima tarbiah dan pendidikan berteraskan keagamaan sama ada di institusi pendidikan di dalam atau luar negara, sewajarnya mengangkat Islam lewat karya kreatif seperti novel mahupun cerpen.

Novelis muda, Mohamad Yazid Abdul Majid, berkata dua novelnya, Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus, tidak menampilkan kisah remaja yang tenggelam dalam dunia percintaan melulu lagi mengasyikkan, sebaliknya menekankan peranan serta perjuangan menegakkan Islam.

“Saya memastikan watak dalam novel saya tidak menyeleweng daripada syariat. Hubungan remaja lelaki dan perempuan terkawal serta menepati batas syariat sesuai dengan keperibadian pelajar institusi pendidikan tinggi di Asia Barat,” katanya ketika memperkatakan Dari Nailofar Ke Bosphorus: Proses Kreatif Dalam Berdakwah Untuk Remaja di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Larkin Perdana, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sesegar Nailofar setebal 210 halaman cuba menyaran dan menggariskan model contoh untuk pembaca mengenai batas pergaulan serta perhubungan di kalangan remaja lelaki dan perempuan.“Ini kerana kita sudah terlalu banyak dilambakkan dengan karya pop berbau cinta asyik-maksyuk dan melalaikan sehingga novel saya boleh menjadi alternatif kepada pembaca yang mahukan bahan bacaan berwawasan,” katanya yang lebih dikenali dengan nama pena Zaid Akhtar.

Walaupun penulis Muslim mempunyai latar belakang pendidikan dan sosial berbeza, Zaid Akhtar tetap yakin bahawa mereka tetap ada tanggungjawab sosial mendidik pembaca.“Sewajarnya penulis bertanggungjawab dalam pembentukan keperibadian dan pembangunan rohani pembaca serta tidak menghasilkan karya yang bertujuan memberi hiburan semata-mata.“Penulis perlu menyoal diri masing-masing apakah karya kreatif yang mereka hasilkan menyumbang kepada konsep menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran,” katanya.


Lewat novelnya, Zaid Akhtar turut mengangkat persoalan global yang berlaku dalam dunia Islam termasuk isu politik, ekonomi, sosial dan ilmu seperti isu yang sentiasa menjadi pertikaian antarabangsa, iaitu pencerobohan regim Zionis ke atas bumi Palestin.

“Ini kerana perjuangan rakyat Palestin membebaskan negara mereka daripada penjajahan dan mengembalikan kedaulatan serta kebebasan mereka selalu mengusik hati kami yang menuntut di Asia Barat.“Apatah lagi bumi Palestin hanya terletak kira-kira 40 kilometer dari Irbid, Jordan sehingga saya menghadirkan simpati yang sentiasa membuak-buak dalam diri ke dalam bentuk novel,” katanya yang pernah menuntut di Universiti Yarmouk dalam bidang Bahasa Arab.

Beliau berkata, maklumat mengenai perjuangan rakyat Palestin dan latar belakang negara Arab sentiasa dikumpul dan dikemaskini dari semasa ke semasa sehingga memudahkannya untuk menuangkan bahan bantu itu ke dalam novel.“Watak seperti Aiman, Dr Ali Hamad, Dr Abdul Settar dan Imam Abu Munzir dalam Sesegar Nailofar sebenarnya adalah watak di alam nyata, sekali gus menjadi individu yang saya kagumi prinsip perjuangan serta keperibadian mereka.“Dalam Sesegar Nailofar itu, saya baurkan pengalaman ketika aktif dalam persatuan pelajar di universiti berkenaan dengan isu semasa dan kebencian terhadap pencerobohan Yahudi ke atas Palestin,” katanya.

Zaid Akhtar meneruskan isu global dunia Islam dalam Rona Bosphorus apabila novel itu mengisahkan pelajar sarjana di Universiti Istanbul, Turki mengajar sambilan di madrasah rakyat yang berkemungkinan besar ditutup gara-gara ancaman Yahudi. “Saya turut menyelitkan isu sensasi yang menggemparkan umat Islam seperti pengharaman hijab, anti bahasa Arab dan propaganda Barat yang menuduh orang Islam sebagai pengganas.

“Saya juga menyelitkan klip perjuangan Sultan Muhammad al-Fatih dalam peristiwa pembukaan Constantinople yang kini dikenali sebagai Istanbul dengan menggunakan teknik aliran kesedaran bagi menghidupkan semula detik penting sejarah khalifah agung itu,” katanya.

Bicara yang bertujuan memberi peluang pengarang karya kreatif berkongsi pengalaman kreatif dengan masyarakat itu dipengerusikan Ketua 2, Persatuan Penulis Johor (PPJ), Mohd Khairy Halimi dan hadir sama, Pengarah DBPWS, Abdul Nasir Mohd Razali.

(Sumber: Berita Harian, 18 Mei 2006)

5 komentar:

peminat sastera,  12:09 PTG  

berbunga rasa hati membaca artikel dalam BH tu... harap2 novel2 kreatif yang membawa ke arah nilai2 murni yang dituntun dalam Islam diterima masyarakat kita sepenuhnya nanti.

saya sudah jemu membaca kisah2 cinta popular atau picisan yang melambak di pasaran sekarang. rasa ingin berubah mencari sesuatu yang baru dan menyegarkan...

sejujurnya, saya amat menggemari novel rona bosphorus yang saudara ketengahkan. bukan sahaja mendidik, tapi jua ilmu yang saya dapat dalam novel tersebut amat bermakna, dan juga terasa diri bagai melewati tempat2 yang saudara sebutkan dalam novel tersebut. begitu mempersonakan!

hati juga rasa tersentuh dengan perjuangan rakyat palestin yang saban hari rela berkorban demi Islam dan negaranya. Subhanallah!

saya harap sastera yang mendidik spt ini memdpt perhatian yang sewajarnya. insyaAllah!

semoga saudara terus berjaya!

Zaid Akhtar 12:50 PTG  

Terima kasih, saudara!
;-)

nai,  1:54 PTG  

ya!

tahniah pd saudara penulis, kita benar-benar tandus karya sastera begini.Ilmiah dan kritis.Moga-moga makin tegar dan tekal menulis. Kami cintakan karya begini

nai,  1:54 PTG  

ya!

tahniah pd saudara penulis, kita benar-benar tandus karya sastera begini.Ilmiah dan kritis.Moga-moga makin tegar dan tekal menulis. Kami cintakan karya begini

zaidakhtar 5:54 PTG  

syukran.
doakan moga istiamah!

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP