Rabu, Julai 12, 2006

FIKAH MEMANG BEST!

Lebih dua minggu yang lalu, Al-Fadhil Ustaz Arieff Salleh Rosman dan isterinya Ustazah Wardah Mokhtar datang berkunjung ke rumah kami. Ini ziarah kali pertama mereka sekeluarga setelah lebih enam atau tujuh kali gagal singgah di rumah kami kerana tuan rumahnya tiada di rumah. Dan ini juga kunjungan balas mereka setelah kami terlebih dahulu singgah ke teratak ustaz dan keluarganya di lereng bukit di Sri Gombak pada Februari lalu.

Ustaz Arieff memang sahabat lama (senior) saya sejak kami bersekolah di SMKA Segamat lagi sehinggalah sama-sama menjelajahi Bumi Isra'. Tidak dinafikan semasa di Tingkatan 5, saya teruja kuliah Maghrib ustaz yang ketika itu pulang bercuti (tatkala ustaz datang menziarahi kami di SMKAS) untuk menurut jejaknya mengutip ilmu Allah di Jordan.

Sedang menyiapkan Ph.D di UIAM, Ustaz Arieff selaku Penasihat Agama PTS juga penulis yang prolifik. Tidak menulis dalam genre kreatif seperti saya sebaliknya lebih menumpukan dalam bidang motivasi remaja. Saya kira ustaz antara penulis motivasi remaja (Islamik!) yang menjanjikan dan sedang meningkat naik. Ditambah pula disuntik dengan semangat oleh isterinya yang turut sama 'berduet' dengan ustaz dalam beberapa buah buku terbitan PTS.

Terima kasih di atas hadiah buku-buku terbaru ustaz untuk kami sefamili dan SMKAS. Justeru, besarlah hati saya untuk memaparkan petikan buku terbarunya (serasanya yang ketujuh) di sini.

Sebuah dunia baru akan terbuka di hadapan mata seseorang, jika dia selesai membaca buku yang mengandungi ilmu yang amat berguna. - Malcolm X

Selamat datang ke Fikah Itu Memang Best!
Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum! Tahniah kerana anda mendapatkan buku ini. Jangan hanya tonton, marilah kita membaca. Belajar fikah? Alamak, boringnya! Nanti mengantuk kalau baca buku fikah. Itu tidak lagi. Kami sajikan kepada anda suatu yang baru. Suatu yang mungkin anda belum berjumpa dengannya sebelum ini. Izinkan kami mengubah persepsi anda pada ilmu fikah. Kami ingin bawakan kepada anda, fikah is fun!

Jangan lagi terikat dengan nostalgia lama tentang belajar fikah. Lupakan sejenak fobia kita apabila belajar fikah. Mari kita cuba keseronokan fikah! Tetapi, dalam buku ini, kami tidak mengubah asas-asas yang terdapat dalam ilmu fikah. Kami bukan membawa perkara baru dalam fikah. Tetapi kami hidangkan kepada anda penampilan yang berbeza.

Kami mengharapkan anda berasa seronok membaca buku ini, di samping mendalamkan ilmu kita tentang fikah. Fikah is the way of life. And life is fun. So, fikah also fun! Akhirnya, diharapkan kita dapat merasa keseronokan dan kenikmatan beribadah kepada Tuhan. Marilah kita menjadi hamba Tuhan yang seronok melakukan ibadah.

Untuk melihat cover bukunya, sila klik Fikah Itu Memang Best!

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP