Rabu, Ogos 30, 2006

Al-Fatihah

Sama-samalah kita hadiahkan Ummul Kitab buat Pemenang Hadiah Nobel 1988 (sastera) Naguib Mahfouz yang telah berangkat ke alam barzakh hari ini. Beliau yang merupakan penulis Arab pertama menerima pengiktirafan tersebut meninggal ketika berusia 94 tahun setelah kritikal sejak dua minggu yang lalu.

Saya masih ingat, ketika mengambil subjek Prosa Moden 2 dengan Prof. Dr. Ibrahim al-Fayyoumiy di tahun tiga dulu, saya memaksa diri 'menelan' sebuah novel beliau berjudul Sarsarah fawq an-Nil (Small Talk on the Nile (1966)) - kalau tidak silap. Itu bacaan wajib kami. Dan saya masih ingat, pensyarah itu cukup meminatinya dan pernah menyebut, novel Al-Liss wal Kilab sebagai antara novel Arab moden terbaik.

Namun, saya akui kurang meminati beliau berbanding Naguib yang seorang lagi iaitu Naguib al-Kilani. Gambaran negatif yang diberikan oleh orang-orang Arab sendiri terhadap Naguib membuatkan saya kurang 'bermesra' dengan karya-karyanya. Ditambah pula, beliau memang cukup kontroversi dan dikecam oleh para ulama dan pencinta Islam terutama menerusi novelnya seperti Awlad Haaratina (The Children of Gebelawi (1959)) dan beberapa lagi.

Selain itu, saiz/bentuk dan tulisan pada novel-novel beliau juga tidak menarik menurut pandangan saya. Dengan kertas nipis (yang lekas pula bertukar menjadi kekuningan) dan ilustrasi yang entah apa-apa, novel-novelnya memang agak murah dan mudah didapati di mana-mana.

Namun saya tetap memiliki beberapa karyanya untuk dibawa pulang ke tanahair seperti Zuqaq ul-Midaq (Midaq Alley), Khan el-Khalili, Miramar, Al-Liss wal Kilab (The Thief and the Dogs (1961). Malah DBP sendiri pernah menerbitkan dua novel terjemahan karya Naguib Mahfouz yang cukup terkenal iaitu Bidayah wa Nihayah (Bermula dan Berakhir) dan Zuqaq al-Midaq (Lorong Midaq)

4 komentar:

kingbinjai 10:31 PTG  

semoga rohnya dicucuri rahmat.

hakim dirani 12:03 PG  

inna lillahi wa inna ilaihi raajiunn

mohamadkholid 7:38 PTG  

aku hanya baca lorong mindaq, sangat menarik. al fatihah

Syikin 10:30 PG  

Al Fatihah.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP