Isnin, September 18, 2006

BENGKEL MASTERA 2006 :
SEJARAH YANG TIDAK HARUS BERULANG


(Artikel di bawah ini adalah tulisan asal saya yang belum disentuh editor dan tersiar dalam Mingguan Malaysia 17 September 2006)

BENGKEL Penulisan MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) hadir sekali lagi sebagaimana lazim pada tahun-tahun sebelumnya bagi mempertemukan penulis-penulis muda di nusantara. Tarikhnya mulai 31 Julai hingga 7 Ogos 2006. Lokasinya buat kali yang kesepuluh ini di Wisma Arga, Mulya, Bogor, Indonesia.

Selain saya, lima penulis muda lain yang bukan calang-calang terdiri daripada Alias Ismail, Jaya Ramba, Salina Ibrahim, Amaruszati Noor Rahim dan Marwati Wahab (Aleya Aneesa) telah dipilih untuk mewakili Malaysia ke program penataran tersebut. Memandangkan tahun ini genre novel mengambil gilirannya, justeru yang terpilih setelah disaring oleh urus setia adalah barisan penulis novel yang diyakini berpotensi dan sedang mencipta nama di persada sastera tanah air.

Memang diri terasa kerdil betapa melihatkan senarai novelis yang mewakili negara. Masing-masing sudah menulis sekurang-kurangnya lima buah novel dan pastinya lebih berpengalaman berbanding saya. Namun keinginan untuk menambah ilmu, menokok pengalaman dan berguru dengan tokoh-tokoh sasterawan negara tetangga mengatasi segalanya. Peluang yang hadir sesekali begini tidak wajar dilepaskan. Jutaan terima kasih kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang telah menghantar kami ke sana.

Program penulisan MASTERA kali ini saya kira agak padat tetapi menarik. Dimulakan dengan Seminar Pengajaran Sastera Indonesia/Melayu di Universiti Pakuan selama sehari yang sendat dengan pembentangan kertas kerja oleh sarjana-sarjana sastera negara peserta MASTERA iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. Namun kami sangat bertuah dan teruja menonton persembahan baca cerpen dan puisi yang begitu bertenaga dan mengesankan oleh Putu Wijaya dan Sutardji Calzoum Bachri di awal dan akhir seminar.

Kemudian pada malamnya, diadakan sesi taaruf antara peserta dan pembimbing. Setiap negara peserta MASTERA menghantar enam peserta dan dua pembimbing kecuali Singapura sebagai negara pemerhati yang menghantar dua peserta dan seorang pembimbing. Seperti biasa, Indonesia sebagai tuan rumah meletakkan nama-nama besar sebagai pembimbing demi meraikan tetangganya yang datang bertandang. Bagi kami yang sering mengikuti sastera Indonesia, terasa bagaikan bermimpi apabila barisan sasterawan Indonesia bangkit seorang demi seorang memperkenalkan diri.

Siapa yang tidak teruja gembira melihat Prof. Budi Darma, novelis Olenka dan Rafilus merangkap pakar rujuk sastera Indonesia yang cukup dikenali di pelosok Nusantara penuh bersahaja tetapi mesra memulakan sesi taaruf. Hati mana yang tidak melonjak girang melihat Putu Wijaya pengarang versatile yang begitu terkenal dengan novel Telegram tersenyum intim ketika mencapai mikrofon. Dan perasaan mana yang tidak tersentuh mendengar betapa luhur dan tawaduknya ucapan pertama Ahmad Tohari sasterawan berlatarbelakang pesantren tetapi sangat berpengaruh menerusi trilogi Ronggeng Dukuh Paruk yang sudah diterjemah ke beberapa bahasa?

Bagaimanapun, Singapura tidak mahu mengalah dengan menghantar Suratman Markasan dari ASAS ’50 sebagai pembimbing, manakala Brunei menitipkan Pengiran Haji Metusin Pengiran Md Daud dan Ampuan Dr. Hj Ibrahim. Sedang Malaysia pula menghantar Siti Aisah Murad dan Ahadiat Akashah untuk sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman penulisan dengan para peserta.

Seterusnya program berlangsung lancar dengan para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan demi menjanjikan bengkel yang lebih intensif. Malah para pembimbing juga dibahagikan kepada tiga kelompok. Justeru selama tiga hari mereka diminta beredar dari satu kumpulan ke satu kumpulan peserta agar setiap peserta berpeluang berdamping dan meraih pengalaman daripada setiap pembimbing.

Selain berbengkel, para peserta juga dihidangkan dengan ceramah oleh Prof Fuad Hassan yang didatangkan khas dari Universiti Indonesia untuk berbicara tentang Manifestasi Budaya. Terpengaruh dengan cadangan Ahmad Tohari dalam Sidang Pleno yang melihat betapa pentingnya hubungan penulis dengan editor atau media, urusetia MASTERA sempat mengundang Kennedy Norhan, pengarang akhbar KOMPAS untuk berdialog dengan para peserta. Sebelum majlis penutup, para peserta dibiarkan menyuburkan idea masing-masing sambil bersantai separuh hari di Gunung Mas, Puncak Bogor sebelum ke Taman Bunga Nusantara di Cianjur.

Namun tiada acara yang sempurna sebenarnya termasuk program bertaraf antarabangsa sebegini. Secara peribadi - malah pandangan ini turut disokong oleh teman-teman penulis seangkatan - saya melihat penghantaran novelis popular terkenal Ahadiat Akashah sebagai pembimbing ke bengkel novel MASTERA adalah satu kesilapan yang tidak harus diulangi. Pandangan yang kontra ini bukanlah langsung berkaitan dengan peribadi Ahadiat (yang saya kira cukup bersopan dan penyantun orangnya) tetapi menjurus kepada prestij yang ada pada program itu sendiri.

Bengkel MASTERA adalah program berprestij dan tidak sewajarnya direndahkan martabatnya dengan menghantar pembimbing yang karyanya belum benar-benar teruji dan diperakukan oleh cerdik pandai sastera. Tanpa menafikan kemampuan stamina Ahadiat yang menurutnya sudah menghasilkan lebih 70 buah novel popular, saya berasa adalah lebih wajar jika pihak Dewan Bahasa dan Pustaka selaku urusetia MASTERA Malaysia memilih pembimbing yang lebih berkredibiliti seperti SN A. Samad Said, SN Arena Wati, Anwar Ridhwan, Siti Zainon Ismail dan Zaharah Nawawi. Malahan menurut peserta Bengkel Novel MASTERA pada tahun 2001, SN S. Othman Kelantan dan A. Wahab Ali pernah dihantar sebagai pembimbing.

Kita seharusnya berasa malu dengan tuan rumah Indonesia yang tekal mengangkat prestij MASTERA, justeru berusaha meletakkan tiga tokoh sasterawan mereka yang pernah meraih anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai pembimbing. Kepuasan tetamu dan penghormatan kepada tetangganya sangat diutamakan. Pembimbing yang dipilih ketara bukan sembarangan penulis malah sangat kuat jati diri dalam karyanya dan peribadinya teguh berprinsip!

Malangnya kesedaran semacam itu tidak timbul di sini. Sebaliknya kita lebih terpesona melihat kuantiti karya dan populariti seseorang penulis sebagai kayu ukur kejayaannya. Aspek nilai atau kualiti, apalagi estetika bentuk mahupun makna semuanya dihumban ke tepi. Lantas tanpa disedari sebenarnya, kita telah menjatuhkan maruah sastera Malaysia sendiri. Kita telah ‘menzalimi’ malah mengkhianati perjuangan menobatkan bahasa dan sastera kita sendiri apabila meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Bahkan saya yakin betapa para peserta mahupun pembimbing dari Brunei dan Singapura yang sentiasa tekun mengikuti perkembangan sastera Melayu selama ini tertanya-tanya dengan pemilihan pembimbing kita. Usah terkejut jika ada peserta dari negara jiran yang awal-awal lagi sudah mengetahui nama-nama dalam senarai awal pembimbing Malaysia. Namun pastinya mereka buat-buat tidak mengerti dan persoalan itu langsung tidak ditimbulkan demi menjaga air muka delegasi kita.

Memang pahit untuk menelan realiti yang tidak seharusnya berlaku. Tetapi, sejarah ‘hitam’ yang sudah tercatat itu tidak wajar diulangi dan harus dilihat dengan penuh iktibar : Betapa masih ramai birokrat sastera yang kadangkala semacam hanyut dalam arus liberalisme dan jauh terpesong hala tujunya.

Sepadan dengan usianya yang sudah menjangkau setengah kurun, DBP sewajarnya lebih bijaksana dan matang. Segala tindakan hendaknya dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan berwawasan demi kepentingan bahasa dan sastera Melayu yang semakin terpinggir di negaranya sendiri - sesuai dengan sambutan Jubli Emas DBP yang dirayakan secara gilang-gemilang baru-baru ini.

Memo: Kebenaran itu kadangkala pahit! Justeru firman-Nya: berpesan-pesanlah kepada kebenaran, dan berpesan-pesanlah kepada kesabaran. Namun berapa sangatlah orang yang sentiasa terbuka menerima kebenaran?

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP