Selasa, Oktober 17, 2006

Antara kualiti dan kuantiti karya
Oleh Nazmi Yaakub

(Berita Harian 17 Oktober 2006)

ISU kualiti karya dan kepentingan komersial dalam pemasaran novel tanah air yang tidak pernah reda, sekali lagi diperkatakan secara rinci pada Forum Sembang-sembang dengan Penulis Melayu, Hala Tuju Pembaca Melayu.

Ternyata kelompok penulis sastera tetap mempertahankan aspek kualiti sastera berbanding penulis karya popular yang mementingkan jumlah naskhah jualan dalam penentuan kejayaan sesebuah karya.Kelompok penulis sastera meletakkan nilai estetika dan kualiti pada paras tinggi sehingga tidak boleh ditolak ansur dalam penghasilan karya selain menjadikan karya garapan Sasterawan Negara (SN) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) sebagai ukuran.

Ini berbeza dengan kelompok penulis karya popular yang berterusan menghasilkan novel bertema cinta dan meskipun mendapat sambutan hangat tetapi mengabaikan dua nilai yang dijadikan kayu ukur penulis sastera.

Penulis sastera remaja, Nisah Haron, berkata penulis perlu mementingkan kualiti karya mereka dan menjadikannya sebagai prinsip serta tidak sekali-kali menggadaikan prinsip berkenaan, semata-mata bagi mendapatkan lebih ramai khalayak.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan menulis cerita popular untuk mendapat peminat pada peringkat awal kerana ramai penulis dalam kelompok ini kehilangan pembaca dan peminat apabila mereka mengubah corak penulisan,” katanya pada forum di di Kedai Buku MPH, pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nisah berharap penulis memberi penekanan kepada estetika bentuk dan makna, sekali gus menepati istilah sastera yang sinonim dengan susastera, iaitu seni yang halus dalam penulisan.“Estetika bentuk membabitkan penggunaan bahasa, teknik dan gaya dalam karya, manakala estetika makna pula dapat dilihat pada sejauh mana penulisannya mendorong pembaca untuk berfikir selepas membaca sesebuah karya.

“Penulis mempunyai keistimewaan dan kepakaran dalam disiplin ilmu tertentu, sekali gus menjadi fardu kifayah kepada mereka untuk membolehkan orang awam mendekati disiplin berkenaan melalui karya masing-masing,” katanya. Nisah turut menegur sebahagian kedai buku yang tidak memberi keutamaan kepada buku yang menerima pengiktirafan khususnya HSPM dengan meletakkan di rak sepatutnya.

Pandangan Nisah dipersetujui penulis, Razali Endun yang berpendapat penulis mempunyai tanggungjawab sebagai pendidik dan penyampai ilmu kepada masyarakat serta bukan semata-mata mencari keuntungan dari segi kewangan.

“Sekiranya golongan penulis berbuat demikian, hanya untuk mendapatkan pasaran yang lebih luas tanpa mengambil kira kualiti dan estetika, maka tanggungjawab itu tidak akan tercapai.“Penulis berperanan mendidik pembaca ke arah hala tuju yang betul kerana senario pembacaan masyarakat umum pada masa ini, bertumpu pada pembacaan bahan bacaan ringan,” katanya.

Mohd Adzam Khozim atau lebih dikenali sebagai Najwa Aiman yang mewakili penulis novel popular, berkata pengalamannya menunjukkan novel dengan kisah masyarakat, kurang mendapat sambutan pembaca.“Novel pertama saya mengenai cerita haruan makan anak dan novel ketiga berhubung perjuangan graduan dari England yang pulang ke tanah air, kurang mendapat sambutan pembaca,” katanya.

Bagaimanapun, novel keduanya, Kau Dan Aku, dengan sinopsis yang memperlihatkan seolah-olah ia adalah sebuah kisah cinta, mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca. Justeru, Mohd Adzam, yakin bahawa penulis tidak berkuasa menukar minda pembaca kerana ada di kalangan masyarakat yang tidak boleh memahami karya sastera sama ada sasterawan luar mahupun tanah air. “Selain itu, buku yang ditulis dengan menggunakan nama lelaki juga kurang digemari pembaca sehingga memaksa saya menggunakan nama pena, Najwa Aiman, dan ternyata mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Forum yang dipengerusikan Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah itu dihadiri kira-kira 20 penulis termasuk SN, Datuk (Dr) A Samad Said dan Azizi Ali selain penulis muda seperti Ahmad Fadzli Yusuf dan Irfan Khairi.

p/s: Untuk membaca komen Nisah dan melihat gambar-gambar sekitar program ini, sila klik di sini!

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP