Khamis, Oktober 19, 2006

SEPETANG bersama SASTERAWAN NEGARA

Sore semalam, saya telah diundang sekaligus ditugaskan oleh pihak sekolah untuk mengiringi empat pelajar ke Bicara Tokoh Sastera bersama Sasterawan Negara A. Samad Said yang dianjurkan oleh Kelab Penulisan Kreatif UiTM Johor, UPENA UiTM Johor & Shah Alam.

Saya sebenarnya hanya pernah beberapa kali bertemu beliau. Paling akhir rasanya di Johor Bahru tiga tahun lalu. Itupun tanpa ada kesempatan untuk saya menegur beliau seorang tokoh yang sudah semestinya sentiasa diiringi atau dikerumuni. Jadi kesempatan untuk mendengar Pak Samad berbicara tentang "Halatuju Kesusasteraan Melayu dalam Dunia Akademia" tidak wajar saya lepaskan. Ditambah pula inilah masanya saya memberi pendedahan kepada anak-anak murid saya dari kelab penulisan kreatif agar lebih mengenali sasterawan tanah air mereka.


Bicara Pak Samad ceria dan tidak melenakan meskipun waktu itu sudah jam lima belas. Sesekali terselit jenaka melucukan. Dan khalayak tentunya terpukau mendengar selingan puisi-puisi cintanya yang menurutnya melalui tiga fasa : Cinta Insani, Cinta Watani, dan Cinta Ilahi. Paling menarik, Pak Samad sempat menjemput isterinya Puan Rashidah untuk menerangkan bagaimana hayatnya seorang Sasterawan Negara ketika di rumah.

Majlis yang menarik selalunya memang terasa cepat berakhir. Pak Samad memohon untuk pulang segera ke Kuala Lumpur tanpa menghadiri program Iftar yang akan menyusul maghrib nanti. Sebelum beliau hampir beredar - setelah para pelajar UiTM yang mahu bersalam dan bergambar dengannya semakin menyusut - saya mendekatinya lalu memperkenalkan diri. Dia menatap tampang saya sebelum menguntumkan senyum. Dan kala itu, saya terasa sungguh kerdil di mata seorang Sasterawan Negara.

Namun pagi tadi, tanpa diduga, saya terkesima apabila menatap bingkisan emel sulung daripada beliau yang cukup bermakna:

Maaf bapak jika tidak begitu terperasan tentang dirimu di uitm semalam. Orang tua memang begitu.betapapun, bapak sangat gembira kerana keghairahanmu menulis. Teruskan.Terima kasih menghadiahkan "sesegar" dan "rona".--A. Samad Said.

Terima kasih, Pak!

1 komentar:

Tanpa Nama,  1:29 PG  

tidak mengapalah kamu kerdil dimata manusia, bukan satu dunia atau satu Malaysia kenal kamu pun..entah wajah siapa disebalik nama zaidakhtar..yang penting niat dan usaha kamu menulis itu buat kamu terkenal disisiNya.

selamat hari raya

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP