Jumaat, Mei 19, 2006


Bertudung tapi Berjoget?
Satu lagi kejutan Akademi Fantasia(4) apabila menampilkan buat pertama kali peserta bertudung, Nor Salima Habibi. Tetapi inilah ciri-ciri yang perlu dalam menyahut seruan Islam Hadhari. Kesimpulan yang dapat dibuat setakat ini:

1. Salima sengaja melemparkan dirinya ke arah maksiat/bala. Dah tahu dunia hiburan penuh fitnah, siapa suruh masuk tempat yang banyak fitnah?
2. Sengaja membiarkan dirinya disentuh (mungkin dipeluk) peserta laki-laki. Mawi yang dikategorikan alim itu pun tak terlepas, inikan pula anak dara baru lepas SPM. Bila menyanyi lagu 'Menuju Puncak' di puncak rancangan sudah pasti 'terpaksa' berpeluk sana sini, terlompat-lompat, terkinja-kinja seperti kera dapat cili. Aduhai, sangat memalukan bila dilakukan oleh wanita bertudung.
3. Sengaja (mungkin bangga) membiarkan aksi dirinya yang tergedik-gedik tanpa rasa malu di atas pentas dan di dalam akademi ditonton jutaan manusia.

Alahai Salima....Keindahan wajah dan kelunakan suara sewajarnya hanya untuk sang suami. Bukan untuk diAFUNDI!

Buta Budaya.
Penggunaan istilah asing bagi menamakan jalan dan tempat di Putrajaya seolah-olah dicipta oleh golongan yang ‘buta budaya’ yang terlalu mengagungkan budaya asing, kata Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Dato' Hassan Ahmad yang juga bekas Ketua Pengarah DBP.

Holocaust satu pendustaan Yahudi?
Persoalan ini ditimbulkan oleh Presiden Iran, Ahmadinejad baru-baru ini mengenai sejauh mana kebenaran holocaust. Ujar pemimpin itu, jika benar ia wujud maka itu sepatutnya menjadi dosa orang Eropah. Pasti masih ada sesuatu yang telah disembunyikan daripada pengetahuan umum di sebalik Adolf Hitler yang sering diburukkan dengan holocaustnya itu. Benarkah beliau sekejam itu?

Read more...

Khamis, Mei 18, 2006

Karya kreatif medan penulis dakwah
Oleh Nazmi Yaakub

CERITERA Bersama Karyawan Sastera: Zaid Akhtar (Genre Novel) mendedahkan karya kreatif berupaya menjadi medan dakwah di kalangan penggiat sastera khususnya untuk penulis berlatarbelakangkan pendidikan Islam.

Kira-kira 100 khalayak diberitahu penulis Muslim yang menerima tarbiah dan pendidikan berteraskan keagamaan sama ada di institusi pendidikan di dalam atau luar negara, sewajarnya mengangkat Islam lewat karya kreatif seperti novel mahupun cerpen.

Novelis muda, Mohamad Yazid Abdul Majid, berkata dua novelnya, Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus, tidak menampilkan kisah remaja yang tenggelam dalam dunia percintaan melulu lagi mengasyikkan, sebaliknya menekankan peranan serta perjuangan menegakkan Islam.

“Saya memastikan watak dalam novel saya tidak menyeleweng daripada syariat. Hubungan remaja lelaki dan perempuan terkawal serta menepati batas syariat sesuai dengan keperibadian pelajar institusi pendidikan tinggi di Asia Barat,” katanya ketika memperkatakan Dari Nailofar Ke Bosphorus: Proses Kreatif Dalam Berdakwah Untuk Remaja di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Larkin Perdana, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sesegar Nailofar setebal 210 halaman cuba menyaran dan menggariskan model contoh untuk pembaca mengenai batas pergaulan serta perhubungan di kalangan remaja lelaki dan perempuan.“Ini kerana kita sudah terlalu banyak dilambakkan dengan karya pop berbau cinta asyik-maksyuk dan melalaikan sehingga novel saya boleh menjadi alternatif kepada pembaca yang mahukan bahan bacaan berwawasan,” katanya yang lebih dikenali dengan nama pena Zaid Akhtar.

Walaupun penulis Muslim mempunyai latar belakang pendidikan dan sosial berbeza, Zaid Akhtar tetap yakin bahawa mereka tetap ada tanggungjawab sosial mendidik pembaca.“Sewajarnya penulis bertanggungjawab dalam pembentukan keperibadian dan pembangunan rohani pembaca serta tidak menghasilkan karya yang bertujuan memberi hiburan semata-mata.“Penulis perlu menyoal diri masing-masing apakah karya kreatif yang mereka hasilkan menyumbang kepada konsep menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran,” katanya.


Lewat novelnya, Zaid Akhtar turut mengangkat persoalan global yang berlaku dalam dunia Islam termasuk isu politik, ekonomi, sosial dan ilmu seperti isu yang sentiasa menjadi pertikaian antarabangsa, iaitu pencerobohan regim Zionis ke atas bumi Palestin.

“Ini kerana perjuangan rakyat Palestin membebaskan negara mereka daripada penjajahan dan mengembalikan kedaulatan serta kebebasan mereka selalu mengusik hati kami yang menuntut di Asia Barat.“Apatah lagi bumi Palestin hanya terletak kira-kira 40 kilometer dari Irbid, Jordan sehingga saya menghadirkan simpati yang sentiasa membuak-buak dalam diri ke dalam bentuk novel,” katanya yang pernah menuntut di Universiti Yarmouk dalam bidang Bahasa Arab.

Beliau berkata, maklumat mengenai perjuangan rakyat Palestin dan latar belakang negara Arab sentiasa dikumpul dan dikemaskini dari semasa ke semasa sehingga memudahkannya untuk menuangkan bahan bantu itu ke dalam novel.“Watak seperti Aiman, Dr Ali Hamad, Dr Abdul Settar dan Imam Abu Munzir dalam Sesegar Nailofar sebenarnya adalah watak di alam nyata, sekali gus menjadi individu yang saya kagumi prinsip perjuangan serta keperibadian mereka.“Dalam Sesegar Nailofar itu, saya baurkan pengalaman ketika aktif dalam persatuan pelajar di universiti berkenaan dengan isu semasa dan kebencian terhadap pencerobohan Yahudi ke atas Palestin,” katanya.

Zaid Akhtar meneruskan isu global dunia Islam dalam Rona Bosphorus apabila novel itu mengisahkan pelajar sarjana di Universiti Istanbul, Turki mengajar sambilan di madrasah rakyat yang berkemungkinan besar ditutup gara-gara ancaman Yahudi. “Saya turut menyelitkan isu sensasi yang menggemparkan umat Islam seperti pengharaman hijab, anti bahasa Arab dan propaganda Barat yang menuduh orang Islam sebagai pengganas.

“Saya juga menyelitkan klip perjuangan Sultan Muhammad al-Fatih dalam peristiwa pembukaan Constantinople yang kini dikenali sebagai Istanbul dengan menggunakan teknik aliran kesedaran bagi menghidupkan semula detik penting sejarah khalifah agung itu,” katanya.

Bicara yang bertujuan memberi peluang pengarang karya kreatif berkongsi pengalaman kreatif dengan masyarakat itu dipengerusikan Ketua 2, Persatuan Penulis Johor (PPJ), Mohd Khairy Halimi dan hadir sama, Pengarah DBPWS, Abdul Nasir Mohd Razali.

(Sumber: Berita Harian, 18 Mei 2006)

Read more...

Rabu, Mei 17, 2006

Program Ceritera Bersama Karyawan Sastera Siri 4/06:
Affix Zulkarnaen Adam (Genre Teater)

Pengenalan

Program “Ceritera Bersama Karyawan Sastera” merupakan sebuah program berbentuk ‘santai sastera’ yang diilhamkan untuk diadakan oleh Unit Sastera DBP Wilayah Selatan pada setiap hari Sabtu minggu pertama bermula Mac hingga September 2006. Sebanyak 6 siri program ini akan diadakan pada tahun ini yang melibatkan genre puisi, cerpen, novel dan teater.

Untuk program keempat ini, DBP Wilayah Selatan akan mengundang Affix Zulkarnaen Adam yang merupakan seorang karyawan muda Johor yang giat dalam bidang pementasan teater di negeri Johor. Beliau telah tiga kali mementaskan teater berkonsepkan monolog dalam tahun 2005 dan 2006 yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Selatan .

Matlamat

i. Meningkatkan apresiasi sastera melalui pengalaman karyawan sastera.
ii. Mengetengahkan dan mendedahkan hasil kerja dan karya penulis dan penggiat sastera kepada masyarakat.
iii. Melahirkan masyarakat yang dapat menyelami penyampaian mesej dan pemikiran yang tersirat dalam program sastera yang dibicarakan.
iv. Mewujudkan masyarakat yang bijak menilai, menghargai dan memanfaatkan pengalaman karyawan sastera.

Pada siri pertama, kedua dan ketiga yang diadakan pada 4 Mac, 2 April dan 6 Mei 2006 yang lalu telah menampilkan karyawan muda sastera iaitu Azhar Salleh (Genre Puisi), W.B. Rendra (Genre Cerpen) dan Zaid Akhtar (Genre Novel).

Program ini akan diadakan pada tarikh, masa dan di tempat berikut:

Tarikh : 3 Jun 2006 (Sabtu)
Pukul : 9.00 pagi - 10.30 pagi
Tempat :Balai Seminar DBP Wilayah Selatan,
Larkin Perdana, Johor Bahru.

Masyarakat awam dijemput menghadiri program tersebut di atas.

Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi:
Rusdi Abd. Rahman (07-235 8802) / Mohd. Rizal Mohd. Ali (07-236 8282)

Read more...

Selasa, Mei 16, 2006


Sekitar CERITERA BERSAMA KARYAWAN SASTERA di Johor Bahru

Mungkin paparan ini terlambat lebih seminggu. Namun saya sangat berbesar hati untuk
memerihalkan program Ceritera Bersama Karyawan Sastera Siri 3/06 yang saya hadiri pada Sabtu, 6 Mei lalu di blog ini.

Tahniah dan terima kasih kepada pihak DBP Wilayah Selatan yang menganjurkannya dan sudi mengundang saya - terutama sekali kepada Encik Rusdi Abdul Rahman, pegawai Unit Sastera DBPWS yang begitu bertungkus-lumus menjayakannya. Saya difahamkan publisiti@ info@ iklan untuk program 'santai sastera' ini turut disiarkan di beberapa akhbar termasuk Kosmo! dan Bacaria.

Kehadiran saya kira cukup memuaskan. Kerusi penuh. Sewaktu menghadiri program Diskusi Karya di Sudut Penulis DBPKL rasanya tidak seramai ini. Ramai juga rupanya peminat-peminat sastera di Johor Bahru, saya fikir.
Malah ada sekumpulan pelajar yang diundang khas dari Sekolah Tun Fatimah bersama guru-guru pengiringnya. Mereka baru di Tingkatan 2, tetapi dengan publisiti yang cukup, masing-masing datang dan memberi tumpuan penuh ketika program 90 minit itu berlangsung. Kesemua 30 naskhah Sesegar Nailofar+Rona Bosphorus yang saya bawa pagi itu habis disambar adik-adik yang barangkali baru pertama kali mendengar judulnya dan bertaaruf dengan saya. Terima kasih juga kepada Kak Hasrina Baharum, pegawai Unit Bahasa yang sudi membantu kala itu.

Kehadiran penulis lain juga saya kira mengejutkan. Selain WB Rendra, Tok Rimau dan Ria Asmira dari Johor Bahru, Sdr Shapiaai Hj Ramly sanggup datang dari Batu Pahat bersama isterinya, malah Haji Aziz Mohamad yang memimpin persatuan peminat-peminat bahasa di Muar turut hadir untuk mendengar luahan pengalaman kreatif saya yang tidak seberapa. Bercakap di depan teman-teman penulis -terutama yang sudah mapan- tentulah membibitkan rasa sedikit kurang selesa. Apatah lagi ia dipengerusikan oleh penulis mapan Johor, Haji Khairy Haji Halimi yang sudah memiliki enam buah novel dan pastinya jauh lebih berpengalaman.

Sebelum pulang, satu perkataan bermain di kepala saya. PUBLISITI! Sastera memerlukan publisiti!

Memo: Tulisan berkenaan program ini juga boleh dibaca di blog salah seorang staf DBP sendiri.
Gambar kanan: Bersama Bukunota (kiri) dan Tok Rimau

Read more...

Ahad, Mei 14, 2006

DON'T SCORE THREE AGAINST US!
Aksi kapten Liverpool, Steven Gerrard sewaktu menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir yang dianggap paling menakjubkan dalam sejarah 125 tahun final Piala FA semalam. Liverpool yang bangkit menyamakan kedudukan setelah ketinggalan 0-3 kepada AC Milan dalam final Liga Juara-juara musim lalu untuk menang penalti 4-2 di Istanbul pada Mei 2005, sekali lagi bangkit setelah ketinggalan 0-2 dan 2-3 untuk menang penalti 3-1 setelah terikat 3-3.
Rafa dan Gerrard: You'll never walk alone. Don't score three againts us!

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP