Sabtu, Oktober 21, 2006


SALAM EIDIL FITRI
Maaf zahir batin
Moga kita menjadi Minal A'idin wal Fa'izin.
Kullu 'aam wa antum bikhayr.
Ikhlas daripada:
Zaid Akhtar, Siti Hadijah,
Nailofar & Irfan

Read more...

Khamis, Oktober 19, 2006

SEPETANG bersama SASTERAWAN NEGARA

Sore semalam, saya telah diundang sekaligus ditugaskan oleh pihak sekolah untuk mengiringi empat pelajar ke Bicara Tokoh Sastera bersama Sasterawan Negara A. Samad Said yang dianjurkan oleh Kelab Penulisan Kreatif UiTM Johor, UPENA UiTM Johor & Shah Alam.

Saya sebenarnya hanya pernah beberapa kali bertemu beliau. Paling akhir rasanya di Johor Bahru tiga tahun lalu. Itupun tanpa ada kesempatan untuk saya menegur beliau seorang tokoh yang sudah semestinya sentiasa diiringi atau dikerumuni. Jadi kesempatan untuk mendengar Pak Samad berbicara tentang "Halatuju Kesusasteraan Melayu dalam Dunia Akademia" tidak wajar saya lepaskan. Ditambah pula inilah masanya saya memberi pendedahan kepada anak-anak murid saya dari kelab penulisan kreatif agar lebih mengenali sasterawan tanah air mereka.


Bicara Pak Samad ceria dan tidak melenakan meskipun waktu itu sudah jam lima belas. Sesekali terselit jenaka melucukan. Dan khalayak tentunya terpukau mendengar selingan puisi-puisi cintanya yang menurutnya melalui tiga fasa : Cinta Insani, Cinta Watani, dan Cinta Ilahi. Paling menarik, Pak Samad sempat menjemput isterinya Puan Rashidah untuk menerangkan bagaimana hayatnya seorang Sasterawan Negara ketika di rumah.

Majlis yang menarik selalunya memang terasa cepat berakhir. Pak Samad memohon untuk pulang segera ke Kuala Lumpur tanpa menghadiri program Iftar yang akan menyusul maghrib nanti. Sebelum beliau hampir beredar - setelah para pelajar UiTM yang mahu bersalam dan bergambar dengannya semakin menyusut - saya mendekatinya lalu memperkenalkan diri. Dia menatap tampang saya sebelum menguntumkan senyum. Dan kala itu, saya terasa sungguh kerdil di mata seorang Sasterawan Negara.

Namun pagi tadi, tanpa diduga, saya terkesima apabila menatap bingkisan emel sulung daripada beliau yang cukup bermakna:

Maaf bapak jika tidak begitu terperasan tentang dirimu di uitm semalam. Orang tua memang begitu.betapapun, bapak sangat gembira kerana keghairahanmu menulis. Teruskan.Terima kasih menghadiahkan "sesegar" dan "rona".--A. Samad Said.

Terima kasih, Pak!

Read more...

Rabu, Oktober 18, 2006

Memang ada KASTAnya?

"... .Sastera memang ada kelasnya. Malah sasterawan pun khabarnya ada kelas dan kastanya. Di DBP, kita menganggap semua sasterawan dan karyawan itu sama sahaja. Tentulah penghormatan kita berikan kepada mereka yang dinobatkan. Tetapi kita menganggap bahawa saudara semua ialah sebagai penulis sebagai pencetus minda sebagai penggerak bangsa dan juga sebagai pencatat dan penegur..."

(Ucapan Penutup Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional, Port Dickson, 6 Ogos 2006)
Nak baca lanjut tulisan penulis ternama ini tentang kasta? Klik sini!

Read more...

Selasa, Oktober 17, 2006

Antara kualiti dan kuantiti karya
Oleh Nazmi Yaakub

(Berita Harian 17 Oktober 2006)

ISU kualiti karya dan kepentingan komersial dalam pemasaran novel tanah air yang tidak pernah reda, sekali lagi diperkatakan secara rinci pada Forum Sembang-sembang dengan Penulis Melayu, Hala Tuju Pembaca Melayu.

Ternyata kelompok penulis sastera tetap mempertahankan aspek kualiti sastera berbanding penulis karya popular yang mementingkan jumlah naskhah jualan dalam penentuan kejayaan sesebuah karya.Kelompok penulis sastera meletakkan nilai estetika dan kualiti pada paras tinggi sehingga tidak boleh ditolak ansur dalam penghasilan karya selain menjadikan karya garapan Sasterawan Negara (SN) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) sebagai ukuran.

Ini berbeza dengan kelompok penulis karya popular yang berterusan menghasilkan novel bertema cinta dan meskipun mendapat sambutan hangat tetapi mengabaikan dua nilai yang dijadikan kayu ukur penulis sastera.

Penulis sastera remaja, Nisah Haron, berkata penulis perlu mementingkan kualiti karya mereka dan menjadikannya sebagai prinsip serta tidak sekali-kali menggadaikan prinsip berkenaan, semata-mata bagi mendapatkan lebih ramai khalayak.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan menulis cerita popular untuk mendapat peminat pada peringkat awal kerana ramai penulis dalam kelompok ini kehilangan pembaca dan peminat apabila mereka mengubah corak penulisan,” katanya pada forum di di Kedai Buku MPH, pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nisah berharap penulis memberi penekanan kepada estetika bentuk dan makna, sekali gus menepati istilah sastera yang sinonim dengan susastera, iaitu seni yang halus dalam penulisan.“Estetika bentuk membabitkan penggunaan bahasa, teknik dan gaya dalam karya, manakala estetika makna pula dapat dilihat pada sejauh mana penulisannya mendorong pembaca untuk berfikir selepas membaca sesebuah karya.

“Penulis mempunyai keistimewaan dan kepakaran dalam disiplin ilmu tertentu, sekali gus menjadi fardu kifayah kepada mereka untuk membolehkan orang awam mendekati disiplin berkenaan melalui karya masing-masing,” katanya. Nisah turut menegur sebahagian kedai buku yang tidak memberi keutamaan kepada buku yang menerima pengiktirafan khususnya HSPM dengan meletakkan di rak sepatutnya.

Pandangan Nisah dipersetujui penulis, Razali Endun yang berpendapat penulis mempunyai tanggungjawab sebagai pendidik dan penyampai ilmu kepada masyarakat serta bukan semata-mata mencari keuntungan dari segi kewangan.

“Sekiranya golongan penulis berbuat demikian, hanya untuk mendapatkan pasaran yang lebih luas tanpa mengambil kira kualiti dan estetika, maka tanggungjawab itu tidak akan tercapai.“Penulis berperanan mendidik pembaca ke arah hala tuju yang betul kerana senario pembacaan masyarakat umum pada masa ini, bertumpu pada pembacaan bahan bacaan ringan,” katanya.

Mohd Adzam Khozim atau lebih dikenali sebagai Najwa Aiman yang mewakili penulis novel popular, berkata pengalamannya menunjukkan novel dengan kisah masyarakat, kurang mendapat sambutan pembaca.“Novel pertama saya mengenai cerita haruan makan anak dan novel ketiga berhubung perjuangan graduan dari England yang pulang ke tanah air, kurang mendapat sambutan pembaca,” katanya.

Bagaimanapun, novel keduanya, Kau Dan Aku, dengan sinopsis yang memperlihatkan seolah-olah ia adalah sebuah kisah cinta, mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca. Justeru, Mohd Adzam, yakin bahawa penulis tidak berkuasa menukar minda pembaca kerana ada di kalangan masyarakat yang tidak boleh memahami karya sastera sama ada sasterawan luar mahupun tanah air. “Selain itu, buku yang ditulis dengan menggunakan nama lelaki juga kurang digemari pembaca sehingga memaksa saya menggunakan nama pena, Najwa Aiman, dan ternyata mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Forum yang dipengerusikan Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah itu dihadiri kira-kira 20 penulis termasuk SN, Datuk (Dr) A Samad Said dan Azizi Ali selain penulis muda seperti Ahmad Fadzli Yusuf dan Irfan Khairi.

p/s: Untuk membaca komen Nisah dan melihat gambar-gambar sekitar program ini, sila klik di sini!

Read more...

Ahad, Oktober 15, 2006

MERAK JADI SAKSI
Saya bersama Saifur Rohman.
Lokasinya di Taman Bunga Nusantara, Cianjur.
Saya lupa tangan siapa yang kurang mahir mengambil gambar sehingga kami kelihatan kecil dalam panorama seindah ini. Terima kasih, Fur, kerna sudi berkenalan dan beraksi di depan kamera denganku. Merak di belakang kita itu saksinya.

Read more...

TERIMA KASIH, TUHAN!

Ya Allah, aku berterima kasih kepada-Mu kerana menghantarku ke sana! Kini kuakui, betapa tanggungjawabku berdakwah lewat penulisan ini juga berat. Amat berat. Dugaannya luar jangka. Amar makruf nahi mungkarnya juga banyak yang mesti dilaksana.
Peliharalah aku daripada golongan yang jahil dan zalim. Golongan yang tidak dapat membezakan antara kaca dan permata. Antara bunga api dan lilin. Antara anak dara, janda, dan isteri orang.
(Hmmm. Apa agaknya ya? Apa agaknya reaksi Pak Lah dan Tun Mahathir jika tiba-tiba sahaja Susilo Bambang Yudhoyono sibuk mencelah merapik meraban mengulas 'krisis' mereka berdua? Tidakkah itu menjaga tepi kain orang namanya?)

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP