Rabu, Januari 24, 2007

HIKAYAT PASUKAN ANGGUK2


Angguk2 vs Hingusan

Setelah air bah melanda beberapa ketika, pertembungan dalam sukan bola sepak antara pasukan Angguk2 dan Geleng2 dijangka berlangsung sekali lagi. Kali ini pertembungan buku dan ruas itu diramalkan berlaku dalam Kejohanan Batu Neka. Secara kebetulan pula seorang penyokong kuat pasukan Angguk2 baru saja menemui ajalnya. Lantas sebagai mengenang jasa-jasa penyokongnya, pasukan Angguk2 berazam mahu menang kejohanan kali ini dengan apa cara sekalipun.

Malang sekali, tanpa disangka-sangka musuh tradisi mereka pasukan Geleng2, disertai pasukan Saksama dan beberapa pasukan lain telah memboikot kejohanan kali ini. Alasan mereka, padang yang digunakan tidak rata. Lebih teruk lagi kata mereka, padang Batu Neka juga masih becak dengan air bah. Ini memberi kelebihan kepada pasukan Angguk2 yang biasa berlatih dalam lecak dan gemar mengamalkan corak permainan "counter- attack" dan "set-piece" yang sangat sesuai dengan keadaan padang sebegitu.

Maka beranglah pasukan Angguk2 kerana tiada yang sudi bertanding menentang mereka. Pasukan Geleng2 dituduhnya bacul dan kehabisan modal untuk bertanding. Pasukan Saksama juga terasa tempiasnya. Maka, ketua pasukan Geleng2 selamba menjawab, bahawa penarikan diri mereka bukan sahaja kerana padang pertandingannya tidak rata, tetapi disebabkan beberapa faktor lain juga.

Antaranya, pengadil pertandingan diambil dari kalangan individu yang jelas menyokong pasukan Angguk2. Malah peraturan penyenaraian pemain juga caca-marba. Tidak berapa telus dan jelas. Bayangkanlah jika senarai para pemain boleh dirahsiakan hingga beberapa jam sebelum perlawanan. Ini, bagi pasukan Geleng2 dan sekutunya sangat berbahaya. Pasukan Angguk2 boleh saja mengimport pemain asing dari Bangladesh, Siam, Monggol, Tibet dan Jawa (yang tidak semena-mena mendapat kerakyatan) tanpa pengetahuan lawan mereka.

Mujurlah ada seorang budak remaja yang baru mengenali dunia bola sepak menawarkan diri untuk menyertai kejohanan tersebut. Remaja yang masih lela itu berharap dengan penyertaannya akan memberi sedikit sumber rezeki kepada penduduk Batu Neka yang menjadi tuan rumah kejohanan. Padanya, jika kejohanan berjaya diadakan, para penduduk boleh berniaga kecil-kecilan di luar stadium. Mulia sungguh hati remaja itu.

Namun, pasukan Angguk2 tetap malu besar kerana kelab-kelab besar dari UK dan USA mentertawakannya lantaran tiada pasukan lain yang sudi bertanding dengannya disebabkan penggunaan padang yang tidak rata. Pasukan Angguk2 juga diperlecehkan kerana cuba mempengaruhi pengadil seperti yang berlaku di Itali sebelum Piala Dunia tahun lalu. Malah jika tidak kerana pertolongan pengadil tempang, budak remaja yang berani itu hampir sahaja mendapat kemenangan percuma kerana wakil pasukan Angguk2 yang tidak habis sekolahnya tersalah mengisi borang pertandingan. Borang yang diisinya rupanya adalah borang kategori wanita.

Kerana terlalu geram sebab telah diaibkan, penolong presiden pasukan Angguk2 telah menuduh budak remaja yang berhati mulia tadi sebagai mentah dan hingusan. Dia barangkali terlupa bahawa semasa dia muda-muda dulu, dia juga hampir sebaya dengan remaja tadi dan turut menyertai kejohanan bola sepak sejurus kematian bapanya. Meskipun dia sebenarnya kaki bangku dan langkahnya sumbang, namun hasil bantuan kawan-kawan arwah bapanya dalam pasukan Angguk2, dia memenangi perlawanan sulungnya itu dengan mudah.

Kini tinggal beberapa hari sahaja lagi kejohanan akan berlangsung. Pasukan Geleng2, Saksama dan sekutu mereka hanya memerhatikan dari jauh. Pasukan Angguk2 kecut perut juga. Jika mereka gagal menang besar ke atas pasukan 'budak hingusan' tadi, satu dunia akan mentertawakan mereka lagi. Maka turunlah segala pimpinan pasukan Angguk2 ke Batu Neka untuk memberi sokongan demi memastikan kemenangan pasukan harapan mereka. Ternyata acahan seorang remaja awal 20-an cukup menggetarkan sebuah pasukan yang selama ini didakwa hanya mampu menang secara betina di padang yang tidak rata.

Namun secara moralnya, pasukan Geleng2, Saksama dan yang sewaktu dengannya telah menang tanpa bertanding. Biarlah pasukan Angguk2 seronok bermain lumpur lecak di atas padang yang tidak rata sambil diadili pengadil tempang merangkap penyokong mereka yang pura-pura berlaku adil. Biarlah mereka terpekik terlolong kegirangan sambil menjulang piala yang tiada prestijnya lagi. Siapa tahu, suatu saat, suatu ketika, tiba masanya mereka akan terjaringkan gol ke gawang sendiri!

2 komentar:

Nissa' Yusof 8:34 PG  

assalamualaikum..
waaa,sebuah penceritaan yang sangat hebat=)

zaidakhtar 3:20 PTG  

:-)
sesekali bersatira, barangkali lain pula kesannya.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP