Ahad, Januari 28, 2007

Hikayat Pasukan Angguk2

Siri 2 : Pasukan Angguk2 guna pemain import


Tiba juga akhirnya hari kejohanan bola sepak Batu Neka yang dinanti-nantikan oleh peminat-peminat dan para pemerhati sukan. Seperti yang dimaklumi, hanya pasukan Angguk2 dan 'remaja hingusan berhati mulia' yang akan bertanding. Pasukan-pasukan lain, seperti Geleng2 dan Saksama kekal memboikot kejohanan dan menonton dari jauh. Manalah tahu, pasukan budak mentah berusia 21 tahun yang dilatih oleh bapanya mampu mencipta kejutan dan mengaibkan pasukan Angguk2 yang pasti dibantu pengadil tempang.

Kejohanan bermula sebelah pagi. Namun sejak sejurus Subuh lagi pekarangan stadium Batu Neka sudah dipenuhi manusia. Para penyokong Angguk2 yang datang dari segenap pelosok tanah air mula bersorak dan menyanyi lagu-lagu untuk menaikkan semangat pasukan mereka yang dijangka menang besar dengan bantuan pengadil seperti selalunya. Sesetengahnya lengkap bersampin dan di pinggang mereka tersisip keris yang akan dihunus ke langit sewaktu bersorak di dalam stadium nanti.

Tetapi tidak pula kelihatan para penyokong budak 21 tahun yang tiba-tiba muncul memberanikan diri meletakkan deposit untuk mencabar pasukan Angguk2 dalam pertandingan dua penjuru ini. Hanya segelintir penduduk asal Batu Neka yang tidak menyertai gerombolan Angguk2. Mereka lebih gemar memerhatikan aksi lucu dan gila-gila badut para penyokong Angguk2 yang datang dari dalam dan luar Batu Neka. Selain itu, beberapa peniaga kecil-kecilan yang sangat terhutang budi dengan anak muda awal 20-an yang sudi bertanding itu mula menyiapkan gerai-gerai menjual makanan dan minuman. Beberapa wartawan tempatan dan asing yang datang membuat liputan bersembang sambil makan di gerai yang menjual teh tarik dan roti canai.

Tidak jauh dari stadium beratur berbelas-belas bas yang membawa para penyokong Angguk2. Khabarnya, ada lima bas yang entah dari mana datangnya tiba sebelum subuh tadi dan berhenti di hadapan sebuah tanah perkuburan di Batu Neka. Apabila dijengah melalui tingkap oleh beberapa penduduk tempatan, tidak pula kelihatan pemandu bas dan para penumpangnya. Pelik campur ajaib! Ke mana perginya pemandu dan penumpang bas-bas itu? Takkanlah bas bergerak sendiri tanpa pemandu?

"Agaknya bas ini berhantu kot?" cetus seorang penduduk.
"Bas ini datang nak ziarah kubur barangkali." Seorang lagi menambah.
"Bas ini aku rasa dah ditempah untuk jemput orang-orang mati pergi tengok bola."
Seorang remaja kaki rempit membuat andaian nakal sebelum disambut oleh dekahan ketawa kawan-kawannya.

Perlawanan hampir benar bermula. Pintu stadium pun dibuka. Lantas berpusu-pusulah penyokong pasukan Angguk2 merempuh masuk ke stadium Batu Neka. Para wartawan yang bersedia dengan kamera mereka di sebelah kiri pintu stadium sibuk merakamkan situasi menarik itu. Melihat kepada sepanduk, poster, dan jumlah kehadiran penyokong pasukan Angguk2 sudah pasti budak 21 tahun itu akan terkencing dalam padang yang sudah becak. Sorakan mereka mampu menggegarkan Batu Neka dan mukim-mukim sekitarnya walaupun persembahan permainan pasukan mereka tidaklah bagus dan menarik sangat pun.

Namun suatu insiden di luar jangkaan telah berlaku di pintu masuk stadium. Beberapa orang penduduk tempatan sekitar 30 orang yang meminati bola telah mengoyakkan tiket masuk mereka di hadapan pintu masuk stadium. Sesudah dikoyak-koyakkan, tiket-tiket itu mereka pijak dengan tapak kasut. Para wartawan yang masih berdiri di situ segera merakamkan insiden yang tidak diduga itu. Apabila ditanya, mengapa mereka bertindak demikian? Tidak teringinkah mereka menyaksikan perlawanan yang dijangka menarik sebentar lagi?

Lalu salah seorang penduduk tempatan itu menjawab, "Menarik awak kata? Lebih baik kami tengok budak sekolah main bola daripada masuk stadium. Sudahlah pengadil berat sebelah, kami yang nak menyokong budak muda berhati mulia itu pun tak dibenarkan bersuara dan bersorak apalagi membawa bendera mahupun sepanduk. Kami hanya boleh tengok dan diam saja. Bercakap pun tidak boleh. Hanya penyokong Angguk2 saja yang diizinkan pengadil tempang itu berbuat demikian!"

Jam 9 tepat, perlawanan itu bermula. Dengan formasi 4-5-1 yang biasa diamalkan sebelum ini, sudah pasti Angguk2 akan bermain pasif dan banyak bertahan. Walaupun pasukan budak remaja berani itu sangat mentah dan tidak pernah bermain bola, pasukan Angguk2 tampak gugup dan gementar berdepan lawan mereka. Para penyokong puas bertempik dan bersorak, namun permainan Angguk seperti biasa dalam kejohanan-kejohanan terdahulu tetap kaku dan membosankan. Langsung tiada yang menarik. Hanya aksi pengadil tempang yang seringkali tercicir wisel di tengah lecak padang membuatkan penonton tertawa geli hati.

Lantaran terlalu hambar, pengurus Angguk2 yang berkelulusan UK memasukkan tiga pemain gantian sekaligus. Para penyokong tercengang-cengang. Para pengulas media kelam-kabut kerana mereka tidak pernah melihat pemain-pemain itu sebelum ini. Identiti mereka langsung tidak diketahui. Malah para pemain Angguk2 juga belum kenal tiga kawan sepasukan mereka yang baru masuk tadi. Bahasa pertuturan ketiga-tiganya juga tidak difahami. Namun kerana kemenangan semata-mata yang mereka impikan, semua itu diketepikan. Hanya pengadil dan pengurusan atasan Angguk2 yang tahu.

Setelah dibantu pemain-pemain import yang entah dari mana datangnya, Angguk2 mulai mengasak pasukan lawan. Itupun sekali-sekala. Gol mereka biasanya hasil "counter-attack" dan "set-piece" atau jika buntu juga penyerang mereka akan cuba mendapatkan tendangan penalti pada masa kecederaan perlawanan. Selalunya mereka akan buat-buat jatuh di atas padang yang tidak rata di kawasan penalti lawan. Justeru pengadil tempang yang jelas memihak tidak akan teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada Angguk2.

Itulah yang sering terjadi. Itulah yang menjadi bahan kejian para peminat bola sepak dalam dan luar negara. Tidak hairanlah jika hasil tinjauan yang dibuat oleh satu badan bebas mendapati pasukan Angguk2 adalah pasukan yang paling membosankan, paling banyak mempengaruhi pengadil dan paling kerap memberi habuan wang ringgit untuk memancing peminat agar menyokongnya. Malah ada juga pemain amatur yang berpaling tadah dari pasukan lawan dan melompat menyertai Angguk2 secara tercela.

Namun, walaupun apa pun tuduhan dan celaan dilemparkan kepada mereka, pasukan Angguk2 yang berpresidenkan seorang duda terus-terusan memekakkan telinga mereka. Biarlah. Biarlah apa orang nak kata. Yang penting mereka terus menang, menang, dan menang. Dengan kemenangan itu nanti, dapatlah mereka 'mengayakan' kaum kerabat mereka sendiri. Orang lain peculi apa!

Bagi mereka, kata-kata orang tua zaman dulu iaitu, "Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati" sangatlah tepat dan sesuai benar dengan perjuangan bola sepak mereka.

3 komentar:

Saharil 11:39 PG  

semua dah penat bertanjak.
perlawanan dah tamat.
keputusan dah dilaung.
tak ada yang ubah berganjak.
deposit dah lumat.
kembali ke tempurung.

Zaid Akhtar 3:26 PTG  

perlawanan memang dah tamat. kejohanan kecil-kecilan berpengadil taraf kampungan juga usai. tapi ada kejohanan lebih besar bakal menyusul.

tak sabar mahu melihat gol sendiri. dan tak tahan hati bila melihat rasuah keji berlegar mencemari.

zf_zamir 1:46 PG  

pasukan bola malaysia kena belajar banyak dari pasukan angguk2, baru boleh pergi jauh..

lepas tu boleh sebarkan fahaman angguk2 ni kat semua, biar makin ramai mengangguk kat seluruh negara..

angguk2..

emm bagus sangatlah tu..

daripada sekolah, masuk universiti, kerja..

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP