Khamis, April 19, 2007

Bicara Pengarang: Latar Islam kuasai karya Zaid Akhtar
Oleh Nazmi Yaakub
(Berita Harian 19 April 2007)

APAKAH yang mendorong Mohamad Yazid Abdul Majid atau Zaid Akhtar untuk berkarya?
Cerpen pertama saya, Juara Yang Tewas, disiarkan dalam Dewan Siswa pada musim cuti sekolah akhir 1993. Kebetulan ibu baru membeli komputer dan saya mengambil kesempatan musim cuti sekolah itu untuk menggunakannya kerana saya menetap di asrama. Cerpen kedua, Mencari Kiblat terpaksa ditulis dengan menggunakan mesin taip kerana komputer rosak, tetapi ia meninggalkan kesan mendalam kerana memenangi hadiah penghargaan Pertandingan Cerpen Sekolah Menengah Malaysia anjuran Minda Pelajar dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1994.

Apakah Zaid Akhtar terus menulis selepas melanjutkan pengajian ke Jordan?
Pada awal ketibaan di Jordan, penulisan saya perlahan kerana suasana kurang sesuai untuk menulis selain ketiadaan komputer. Tahun kedua di Universiti Yarmouk, saya dilantik sebagai editor majalah Badan Kebajikan Pelajar Johor Jordan (BKPJJ), Tanjung Puteri, sekali gus mendorong saya membeli komputer kerana perlu mengisi ruang dengan karya. Apabila dilantik sebagai Editor Reformis, suara rasmi Persatuan Malaysia Universiti Yarmouk, saya semakin bersemangat menulis karya kreatif sehingga saya memberanikan diri menghantar karya ke majalah di tanah air.

Bagaimanakah Zaid Akhtar terdorong untuk menghasilkan novel?
Saya menghasilkan novel pertama, Sesegar Nailofar ketika mengikuti diploma pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2000 untuk menyertai pertandingan novel remaja. Ini diikuti dengan Rona Bosphorus yang digarap hasil pengalaman melawat Turki ketika menuntut di Jordan.

Mengapakah latar Asia Barat menjadi pilihan?
Saya menganggap ia sebagai aset yang tidak ada pada penulis lain kerana ketika mula-mula menulis, novel berlatarbelakangkan Asia Barat kurang di pasaran. Lagipun, ia bersandarkan pengalaman yang pernah saya alami dan tentunya terasa segar.

Bagaimanakah proses kreatif Zaid Akhtar berlangsung?
Setiap novel melalui proses kreatif berbeza, seolah-olah saya baru belajar menulis apabila memulakan penulisan. Bagaimanapun, saya terpaksa menulis pada musim cuti sekolah kerana perlu menulis secara terus-menerus dan tidak boleh berhenti untuk tempoh yang lama. Selalunya, saya mengambil kesempatan cuti sekolah penghujung tahun kerana tempohnya lama berbanding cuti penggal.

Apakah pandangan Zaid Akhtar terhadap label penulis sayembara?
Sebenarnya, novel yang memenangi sayembara lebih cepat diterbitkan dan selalunya mendapat perhatian pengkritik. Apabila menyertai sayembara, ia mendorong kita untuk menghasilkan karya terbaik. Walaupun tema mungkin sudah ditetapkan penganjur dan sempit, ia bergantung kepada kebijaksanaan penulis mengolah idea. Pandangan ini berdasarkan novel Salina karya Sasterawan Negara (SN) Datuk (Dr) A Samad Said dan Saga (Abdul Talib Mohd Hassan) yang memenangi sayembara.

Bagaimanakah Zaid Akhtar melihat sumbangan penulis berpendidikan pengajian agama?
Saya melihat kehadiran penulis yang mendapat pendidikan agama termasuk di Asia Barat sebagai perkembangan baik. Ini kerana karya bernafas Islam ditulis mereka yang menguasai bidang agama. Sumbangan mereka baik untuk perkembangan sastera Islam, sekali gus memberi keyakinan kepada pembaca kerana ia ditulis oleh ustaz dan ustazah. Bagaimanapun, kebanyakan penulis lebih aktif ketika di universiti dan sekembalinya ke tanah air, mereka mula sibuk dengan dunia pekerjaan.

Penulis yang berpendidikan pengajian agama di Asia Barat cenderung meminjam perkataan bahasa Arab secara keterlaluan. Apakah pandangan Zaid Akhtar?
Kita tidak dapat menafikan kecenderungan ini berlaku di kalangan penulis. Ini boleh menimbulkan kesegaran dalam karya selain menghidupkan nuansa Islam, tetapi seelok-eloknya mereka mengehadkan kosa kata bahasa Arab dan tidak terlalu menyeksa pembaca sehingga terpaksa merujuk kamus. Pemilihan diksi sewajarnya disesuaikan dengan karya dan jangan keterlaluan.

Apakah pandangan Zaid Akhtar terhadap tanggapan sastera Islam bersifat ikut-ikutan?
Sebenarnya, penulis yang memilih untuk menghasilkan karya sastera Islam menyedari tanggungjawab sebagai pendakwah. Mereka juga memahami falsafah sastera Islam iaitu menulis kerana Allah untuk manusia. Saya kira tidak salah untuk penulis terikut-ikut dengan penulis lain, asalkan niatnya untuk berdakwah. Tanggungjawab menghasilkan karya bertepatan dengan Islam, bukan hanya terletak atas bahu penulis berlatarbelakangkan pendidikan agama.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP