Ahad, April 01, 2007

GERRARD lebih hebat daripada PELE?


Barangkali Steven Gerrard tidaklah sehebat Pele yang menjaringkan lebih seribu gol sepanjang kariernya, tetapi kapten Liverpool itu ternyata lebih hebat dalam menghasilkan buku autobiografinya.


Baru-baru ini, Gerrard telah menerima anugerah 2007 Galaxy Book Award berdasarkan jualan memberangsangkan buku autobiografinya "Gerrard: My Autobiography" yang dilancarkan sejak September 2006. Jualan buku autobiografi Stevie G itu ternyata jauh mengatasi autobiografi Pele malah menjadi top best-seller dan dicetak berulangkali dalam masa yang amat singkat.


Selain Gerrard, bintang-bintang England yang turut menghasilkan autobiografi masing-masing seperti Wayne Rooney, Ashley Cole, dan Frank Lampard. Namun ketiga-tiganya gagal mengatasi pencapaian Gerrard yang bukunya turut dinobatkan sebagai Buku Sukan Tahun Ini.


Penghasilan buku autobiografi memang menjadi trend bagi bintang-bintang sukan dunia terutama bintang bola sepak. Pelbagai ragam pendedahan 'perkara-perkara di belakang tabir' dan di luar pengetahuan media yang dibuat di dalamnya menjadikan buku-buku sebegini sangat laris di pasaran. Namun kadangkala bintang-bintang sukan gemar berlebih-lebihan, terlalu excited dan kurang bijak dalam membuat pendedahan.


Sebagai contoh, mantan kapten Manchester United, Roy Keane pernah mendedahkan betapa dia pernah berniat mencederakan seorang pemain lawan (dengan sengaja) dalam satu perlawanan yang telah berlangsung beberapa tahun lalu. Terjahan keras Keane dan kecederaan itu memang berlaku. Mendengar pendedahan sebodoh itu (malah pemain lawan itu juga dinyatakan namanya), pihak FA segera menjalankan siasatan dan hampir menghukum Keane yang masih aktif bermain.


Terbaru, sesudah Piala Dunia 2006, pemain Manchester City, Joey Barton yang kecewa tidak terpilih dalam skuad England ke Piala Dunia di Jerman, menyelar Gerrard, Lampard dan beberapa pemain lain dengan kata-kata yang keras dan sukar diterima dalam autobiografinya. Ironinya, pada awal 2007, Barton terpaksa menebalkan muka apabila dia akhirnya dipanggil menyertai skuad England untuk perlawanan kelayakan EURO 2008 dan bermain bersama para pemain yang diselarnya.

2 komentar:

blackpurple 3:23 PTG  

Dulu-dulu, biasanya bila sudah mencapai taraf lagenda sahaja baru berani menulis autobiografi....

zaidakhtar 12:23 PTG  

masa merubah segalanya. manusia makin maju dan bijak namun kadang-kadang terlalu melulu menjadi pengkagum.

kini, pengalaman bercinta dan putus cinta saja sudah mahu dibikin biografi.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP