Selasa, Mei 29, 2007

FATH ISTANBUL (1453 - 2007)
(SEMPENA 554 TAHUN KEJATUHAN CONSTANTINOPLE)

“Yang di sana tu pula dibina pada 1988,” Afham menuding ke arah jihat utara. “Namanya Jambatan Sultan Muhammad al-Fatih, diambil sempena nama sultan Daulah Uthmaniyyah yang telah menawan Kota Constantinople daripada tangan Kerajaan Kristian Byzantine. Sejak itu Constantinople ditukar namanya kepada Islam Bol, ertinya ‘Bandar Islam’ dan kemudiannya dipanggil Istanbul.”


“Bukan Isketambola dalam Tiga Abdul itu ke?” sampuk Haji Abu bersahaja.
Afham menggeleng. Mereka sama-sama tertawa. Siapa yang boleh melupakan nama negara yang disebut dalam filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu?

“Bila Istanbul ni ditawan oleh umat Islam, bang?” Pertama kali pertanyaan meletus dari bibir Rumaizah.
Afham meraba beg sandang kulit yang sentiasa dibawanya ke mana-mana. Sebagai pelajar sarjana yang mendalami sejarah ketamadunan Turki, soalan begitu tidak menjadi masalah baginya.

“Pada 29 Mei 1453 Masihi. Setelah beberapa percubaan oleh pemimpin-pemimpin Islam sebelumnya gagal, akhirnya Sultan Muhammad Al-Fatih berjaya merealisasikan sabda Rasulullah SAW yang berbunyi: Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya. Ia telah membuktikan kesahihan Hadis Nabi.”
Mereka sama-sama berselawat apabila perkataan Rasulullah disebut.

“Tapi usaha mahu menawan kota ini bukan mudah. Makan masa bertahun-tahun. Ia dikepung berbulan-bulan oleh tentera Islam. Dengan kebijaksanaan dan keimanan yang luar biasa dan kukuh sahaja pihak Islam dapat mencipta kejayaan.”

Suasana dibiarkan khali seketika. Pandangan masing-masing terus melesat ke tengah selat.
Rumeli Hisari yang berdiri teguh berhampiran Jambatan Sultan Muhammad Al-Fatih kelihatan dipenuhi meriam-meriam yang beratus-ratus tan beratnya.

Daammm!

Sebutir peluru meriam mengenai sasaran. Dia nampak sebuah kapal musuh yang cuba mudik ke Laut Marmara bergoncang dan mulai berasap setelah layarnya terbakar.

Daammm!
Daammm! Daaammm!

Ledakan demi ledakan bertalu-talu memecah keheningan Selat Bosphorus. Bersilih ganti. Sekejap bedilan datangnya dari tebing tinggi kubu Rumeli Hisari di sebelah Eropah. Sebentar kemudian meletus pula bedilan yang datangnya dari benteng Anadolu Hisari binaan Sultan Beyazid di sebelah Asia.

“Allahu Akbar! Allahu Akbar!”
Sayup-sayup kedengaran laungan keramat dari kedua-dua tebing yang mengawal laluan tersempit di Selat Bosphorus.

Anak kapal musuh ketakutan. Layar mereka patah dan hangus, dinding kapal pecah dan tidak dapat diselamatkan lagi. Bantuan untuk Kerajaan Byzantine yang sedang dikepung tiga penjuru dipatahkan sekali lagi di tengah perairan. Tentera musuh tiada pilihan selain berebut-rebut menaiki sampan-sampan kecil bagi menyelamatkan diri. Yang tidak sempat terpaksa mengambil risiko terjun ke laut dan berenang ke tebing meski jerung dan yu sudah siap menunggu.

Daammm!

Bedilan terakhir dari Rumeli Hisari yang dibina oleh tentera Al-Fatih menenggelamkan terus kapal musuh ke dasar selat.
Dia dapat melihat tentera muslimin bertakbir dan berpelukan sesama mereka. Sultan Muhammad Al-Fatih yang masih muda dan amat segak itu sujud di bumi tanda syukur dengan kejayaan itu. Alangkah gembiranya!
(Fragmen novel Rona Bosphorus, UPND, 2003)

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP