Sabtu, Mei 26, 2007

SESEKALI BERTEMU

Malam tadi, setelah beberapa lama tidak bertemu teman-teman penulis, tanpa perlu ke ibu kota, saya menemui dua orang penulis yang menetap tinggal di Segamat. Mereka berdua ialah Sdr Baharuddin Kahar dan Sdr Zharul Nizam Shah Zainal Abidin.

Baharuddin rasanya tidak perlu saya perkenalkan lagi, merupakan novelis Senjakala yang menjadi teks wajib SPM untuk kertas Kesusasteraan Melayu satu masa dahulu. Pertama kali saya bertemu dengannya kira-kira dua tahun lalu dalam sebuah bengkel penulisan pelajar di Segamat. Orangnya sering merendah diri. Cukup low profile. Tetapi sentuhan penanya tetap berbisa.
Kini beliau mengusahakan sebuah kedai buku yang letaknya di penjuru lampu isyarat berhadapan padang Sekolah Tinggi Segamat dan berhampiran dengan Sekolah Agama Bandar Segamat. Meskipun namanya cukup harum di persada sastera negara namun beliau mengakui sempat mengintai karya saya Rona Bosphorus malah memberi beberapa komentar.

Sementara Zharul Nizam atau nama penanya Pujangga Seni adalah novelis merangkap penyair. Pernah bergelar deklamator terbaik daerah segamat. Puisi-puisinya kerap tersiar di Berita Minggu dan Mingguan Malaysia. Kami biasanya bertemu setiap bulan untuk mengetahui perkembangan diri masing-masing selain berbicara seputar sastera.

Cikgu Zharul mengajar di SMK Gemereh dan 3 novelnya - Pelangi Malam, Suhana, dan Nasuha - pernah diterbitkan oleh Karisma Publisher. Novel terkini Cikgu Zharul yang khabarnya sedang hangat di pasaran berjudul Rengsa diterbitkan oleh Tinta Rona, anak syarikat Kumpulan Utusan. Jika kita pernah bersimpati dengan Jibam (oleh Ujang) yang menyorot karekter remaja istimewa, Rengsa juga menawarkan watak yang hampir serupa, malah mungkin lebih unik. Pengalaman Cikgu Zharul yang bertugas sebagai guru pendidikan khas tentunya menjadi sumber kekuatan penceritaannya dalam novel sebegini.

Lantas, bermula jam 11, kami berbicara seputar dunia sastera dan pelbagai lagi. Namun rasanya isu politik, perbezaan mazhab, sejarah Islam dan globalisasi lebih menjaring minat hingga kami tidak sedar, jam sudah pukul 2 suku pagi!

2 komentar:

Ummu Hani binti Abu Hassan 2:57 PTG  

salam ustaz Zaid,
dua gambar nape tak letak caption, nak juga kenal penulis2 bagus ni:)

tak sabaq aih tunggu novel ke 4 hasil tangan seorang guru lepasan Irbid.hehe

zaidakhtar 10:21 PTG  

Perlukah diletakkan keterangan gambar?

Hmm, masakan cik ummu tak kenal nama sebesar Baharuddin Kahar? Tentulah orangnya jauh lebih muda daripada saya. :-)

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP