Rabu, Mei 30, 2007

ZIKRA FATH ISTANBUL (1453-2007)

Rukyahnya terlempar jauh ke tengah selat seraya hinggap pada sebuah kruiser yang sedang melintas. Perlahan-lahan ia menyusur, berderu dan meninggalkan busa-busanya di belakang sebelum singgah di sisi dermaga yang sarat dengan bot-bot kecil.
“Muhammad al-Fatih dan tenteranya dikatakan berkubu di sana.”
Dia masih dapat melihat Erfan berdiri di situ sambil menuding ke arah dua buah
kapal kargo yang berlabuh di tengah laut yang
membiru. “Laut di depan kita ini adalah laluan maut untuk sampai ke Halic. Bayangkan, Byzantine meletakkan meriam di sepanjang tebing untuk menggempur kapal-kapal Uthmaniyah,” sambungnya lagi.

Afham memejam sejenak - cuba membayangkan saat itu – kemudian memandang semula ke tengah laut.
“Palta Oglu!”
“Tuanku!” Lelaki itu terperanjat melihat sultan memecut kudanya hingga ke gigi air dan berteriak meniupkan semangat kepada mereka yang berada di atas kapal.

“Panji daulah ini di tangan kamu. Laut terbentang luas di hadapanmu. Kamulah yang akan menentukannya, sama ada menang berjuang atau laut itu akan menjadi saksi kesyahidanmu.”
Panglima perang itu tunduk mendengar arahan. Muhammad al-Fatih menghunus pedangnya ke langit.

Afham mendengar sultan muda itu menjerit.
“Dengar sini semua! Sampaikan pesanku ini kepada semua tentera kita! Kita sekarang berada di medan jihad. Lihatlah kapal-kapal musuh di depan sana. Kamu ada dua pilihan. Sama ada kamu tawan kapal-kapal Byzantine itu atau pun kamu tenggelamkan sahaja kesemuanya. Sekiranya kamu gagal, maka jangan pulang kepada kami sedangkan kamu semua hidup!”
Dia bersuara lantang kepada tentera-tenteranya. Masing-masing akur dan patuh.

“Takbir!”
“Allahu Akbar!”

Lantas berlakulah peperangan yang sangat hebat. Tetapi kesukaran merempuh rantai raksasa yang diletakkan di pintu masuk ke perairan Halic memberi kelebihan kepada tentera Kristian Byzantine. Beratus-ratus bedilan meriam ditujukan ke kapal-kapal Uthmaniyyah menyebabkan ramai yang gugur dan mereka terpaksa berundur.

Sultan kelihatan sangat murka. Palta Oglu dipecat serta-merta dan digantikan oleh Hamzah Pasya. Dia dan Khalil Pasya cuba memujuk sultan supaya menurut sahaja kehendak penduduk Constantinople yang mahu tunduk kepada Empayar Uthmaniyyah tanpa menakluknya. Tetapi semuanya ditolak mentah-mentah.

“Kamu semua dah lupa sabda Rasulullah? Constantinople akan ditawan oleh tentera yang terbaik. Kitalah tentera yang terbaik itu!” Ketegasan Muhammad al-Fatih menggerunkan mereka berdua.

Malam itu, sultan mempunyai helahnya yang tersendiri. Helah luar biasa yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. Beliau telah mengarahkan tenteranya supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Halic melalui jalan darat!

Masing-masing terpinga-pinga dengan arahan yang tidak masuk akal itu. Ini kerja gila!
“Mustahil tuanku!” Dia lekas membantah. Khalil Pasya terdiam. Barangkali cuba memikirkan rasionalnya.

“Kumpulkan kayu-kayu. Susun dan sapukan minyak di atasnya. Insya Allah, Dia akan meluncurkan kapal-kapal kita dan kalian akan tiba di Halic sebelum subuh.”

Lalu pada malam itu juga, tentera Uthmaniyyah dengan semangat dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi tiga batu sebelum dilayarkan semula di perairan Halic!

Subuh esoknya kedengaran laungan takbir yang maha kuat di perairan Halic. Penduduk Constantinople terperanjat besar. Kota Byzantine kini telah dikepung tentera Uthmaniyyah!



(Fragmen novel Rona Bosphorus, UPND, 2003)

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP