Selasa, September 11, 2007

TOK MAK DALAM KENANGANAl-Fatihah untuk almarhumah nenda tersayang - Khadijah binti Daud - yang selamat kembali ke Rahmatullah sekitar jam 8 malam, Ahad, 9 September 2007 lalu. Moga Tok Mak ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang beroleh mardhatillah.

Saya masih ingat dan sedar. Semasa kecil, ketika keluarga kami masih tinggal di No.64, Batu 1 1/2 Jalan Mersing semasa arwah ayah masih hidup, saya dibela oleh Tok Mak yang sangat pengasih kepada kami cucu-cucunya. Dan menurut mak, Tok Maklah yang memberi singkatan nama saya. Daripada Yazid kepada Ya. Justeru hingga sekarang, keluarga saya memanggil saya dengan panggilan singkat itu.

(Kerana kasihnya arwah kepada cucu-cucunya, kami walaupun sudah besar panjang akan mendapat tiga empat kucupan di pipi apabila menziarahinya. Itu tabiatnya. Tabiat seorang nenek yang amat penyayang, yang mustahil akan saya lupa.)

Kali terakhir saya menziarahi Tok Mak ialah pada 22 Ogos 2007 yang lalu. Kala itu, Tok Mak terlantar uzur. Tetapi pipinya yang saya kucup masih panas. Semalam, apabila melihat Tok Mak dibaluti pakaian barunya serba putih, saya hilang kata-kata. Pipinya yang saya kucup buat kali terakhir tidak lagi hangat. Sebak menggempur dada. Sukar sesungguhnya untuk mengawal perasaan apabila menyaksikan jenazah berkeadaan demikian.

Setelah lebih setahun kepulangan Tok Bak (31 Mei 2006) ke alam abadi, akhirnya Tok Mak menyusul kepergian suaminya yang tercinta.
Al-Fatihah!

1 komentar:

syamil 3:00 PTG  

Al fatihah...................
Hadiahkn kpd Almarhumah Tok Mah, semoga ditempatkn d kalangan solehah

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP