Selasa, November 13, 2007

JUSTERU IMPIAN DI JARING: PENELITIAN TERHADAP NILAI SAHSIAH DAN MARUAH INSAN
Oleh Dr. Kamariah Kamarudin, UPM


Nilai Sahsiah dalam JIdJ

Menerusi Justeru Impian di Jaring (JIdJ), pengarang menampilkan watak Syahir yang mempunyai akhlak yang baik terhadap ahli keluarganya. Pembentukan ikatan kekeluargaan jelas terpancar dalam diri Syahir sebagai anak muda yang baik, berhemah, bersopan dan menghormati orang yang lebih tua. Dalam hal ini, dikemukakan sikap Syahir yang berhemah tatkala berurusan dengan adik-beradiknya yang terdiri daripada Abang Long Syakir, Kak Ngah Syamilah, Abang Alang Syazali dan Kak Uda Syahrizah.


Novel ini memperlihatkan sifat merendah diri Syahir sebagai adik bongsu dalam sebuah keluarga yang kematian ayah. Pengarang mengenengahkan perilaku Syahir yang tetap menghormati Abang Long dan Kak Ngah walaupun kedua-dua adik-beradiknya itu tidak memberi sokongan terhadap kerjayanya dalam bidang sukan badminton.

Keadaan ini sejajar dengan al-Qur’an, surah al-Baqarah, ayat 83 yang menegaskan peri pentingnya menjaga ikatan adik-beradik: “Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (iaitu): Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.”


Di samping menampilkan hubungan yang baik antara adik-beradik, pengarang turut mengutarakan hubungan yang baik antara anak dengan ibu dan bapa. Dalam hal ini, dikemukakan sikap Syahir yang sangat memuliakan ibunya tanpa mengira had dan batasan. Novel ini memperlihatkan keperibadian Syahir sebagai anak yang soleh lantaran sering mendoakan kesihatan ibunya walaupun sibuk dengan aktiviti dan latihan badminton. Tindakan Syahir yang meletakkan ibu sebagai fokus utama dalam kehidupannya menunjukkan sifat mulia seorang anak yang menepati ciri-ciri anak soleh.


Begitu juga dengan cara Syahir menyanjung nasihat ayahnya tentang agama dalam meniti kedewasaan dan dugaan kehidupan. Pengarang menggambarkan keteguhan hati Syahir memenuhi wasiat ayahnya agar menyempurnakan cara berpakaian yang dituntut syariat ketika bersukan walaupun ayahnya telah meninggal dunia. Ini sejajar dengan ayat al-Qur’an Surah Al Ankabut ayat 8 yang mengagaskan kedudukan ibu dan bapa sebagai orang utama untuk rujukan dan pandangan dalam sesebuah institusi kekeluargaan: “Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibubapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-Ku-lah kembalimu, lalu Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Hubungan yang akrab antara anak dan ibu bapa ini memperkukuhkan kedudukan Syahir sebagai anak muda yang tidak hanya mementingkan kerjayanya dalam lapangan sukan badminton tetapi dalam masa yang sama tetap menyanjung kedua-dua orang tuanya walau di mana berada. Akhlak yang dikemukakan dalam novel ini menunjukkan galur golongan manusia yang mencapai ciri-ciri mukmin sejati. Sifat saling hormat menghormati, saling sayang menyayangi dan saling percaya mempercayai jelas terakam antara Syahir dengan ibunya dan Syahir dengan bapanya. Ini seterusnya membawa perutusan yang berguna kepada pembaca dengan meletakkan ibu dan bapa sebagai tautan kehidupan bagi memperoleh barakah yang diredhai Tuhan.

Hal ini dapat diteliti menerusi kesabaran Syahir berhadapan dengan karenah Pak Engku yang membelakanginya untuk menyertai pertandingan badminton tetapi mendahului Syed Amiri sedangkan kedua-duanya merupakan pemain yang berpotensi. Isu ketidakdilan dan unsur diskriminasi yang ditonjolkan dalam JIdJ ini menerusi watak-watak hitam yang diterajui Pak Engku dan Syed Amiri sesungguhnya juga menawarkan keperibadian luhur seseorang manusia. Hal ini kerana menerusi sifat pemaaf yang dipamerkan Syahir terhadap orang yang mengkhianati dan menzaliminya menggariskan sahsiah istimewa insan yang diamanahkan Tuhan sebagai khalifah di atas muka bumi ini.


Hal ini sejajar dengan al-Qur’an, surah al-Baqarah, ayat 263 yang bermaksud bahawa: “Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.”


Malahan, sifat memaafkan orang lain turut dijelaskan melalui surah Al A’raaf ayat 199 yang bermaksud bahawa: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.” Di samping menjalinkan persahabatan dengan kelompok Melayu-Muslim, watak utama ini turut bersahabat baik dengan Boon Huat, Bernard, Gopinath dan Kam Heng dalam satu kumpulan yang padu. Ikatan persahabatan dalam suasana muhibah ini memperlihatkan Syahir sebagai anak muda yang bukan setakat cemerlang dalam ilmu agama malahan cemerlang dalam urusan bersosial.

Selain memiliki sifat pemaaf, Syahir turut dipaparkan sebagai seorang yang berdedikasi dan berdisiplin dalam melakukan sesuatu kerja khususnya dalam kerjaya badmintonnya. Penelitian ini berdasarkan cara ahli sukan tersebut bekerja keras berlatih mengikut jadual yang diarahkan oleh jurulatihnya. Keadaan ini menunjukkan bahawa kecemerlangan tercapai sekiranya manusia berusaha dengan bersungguh-sungguh yang memperlihatkan Syahir sebagai anak muda yang gigih dan tekun. Sikap tanpa mengenal putus asa telah membawa kejayaan dan kejuaraan Syahir dalam perjuangan sukan badminton yang diceburinya.


Corak kegigihan Syahir ini selaras dengan surah al-Najm ayat 39 yang bermaksud bahawa: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” Malahan diperkukuhkan pula dengan hadis daripada Aisyah r.h.a., bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang.”

Seterusnya penampilan akhlak yang terpuji turut dilakarkan pengarang dalam JIdJ berdasarkan peranan Syahir menjalinkan rangkaian persahabatan dengan kaum selawannya. Penonjolan terhadap etika menerusi batas pergaulan antara wanita dengan lelaki dikemukakan bagi memperlihatkan adab yang dibataskan syariat.

Pengarang mengutarakan keperibadian mulia yang dimiliki oleh Syahir dalam soal berhubungan dengan wanita, iaitu Wan Najlah yang turut merupakan pemain badminton skuad wanita. Pemaparan hubungan Syahir-Wan Najlah yang digambarkan dalam novel hanya terbatas terhadap isu pakaian yang menutup aurat tatkala bermain badminton.

Nilai Maruah dalam JIdJ

Pengarang mengemukakan nilai maruah dalam JIdJ berdasarkan kehormatan dan harga diri yang ditonjolkan Syahir dalam mempertahankan haknya sebagai manusia Melayu-Muslim yang mujahadah tentang agama sama ada untuk diri mahupun masyarakat di sekelilingnya. Gambaran kehormatan dan harga diri dipaparkan pengarang berdasarkan pendirian Syahir dalam melaksanakan sesuatu tindakan yang membabitkan kerjaya sukan badminton.


Hal ini ditelusuri melalui hubungan Syahir dengan kawan-kawan sepasukan dalam badminton khususnya dengan Pak Engku dan Syed Amiri yang sering memandang serong terhadap pencapaian sukannya dan penghayatan Islamnya. Tindakan Syahir mengusahakan prestasi dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya mencapai gelaran juara memperlihatkan nilai maruah yang tinggi yang dapat menolak tohmahan watak-watak hitam yang iri tersebut. Kekebalan diri Syahir dalam mempertahankan maruah dirinya ini sejajar dengan hadis daripada Abu Zar r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud bahawa: “Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada. Dan ikutilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan, nescaya menghapuskannya (kejahatan tadi). Dan berperangai kepada manusia dengan perangai yang baik."

Malahan pendirian jitu Syahir terhadap sebarang keputusan turut mencerminkan kewibawaan dirinya sebagai Muslim yang bermaruah. Hal ini diperhatikan menerusi cara Syahir berhadapan dengan tekanan persekitaran, iaitu ibunya yang sakit dan sikap angkuh Syed Amiri dan Pak Engku sewaktu akan berangkat ke Indonesia untuk menjayakan perlawanan badminton.


Novel ini memperlihatkan keyakinan dan tawakal yang padu kepada Allah S.W.T apabila Syahir menyerahkan permasalahannya menerusi solat hajat dan bacaan al-Qur’an. Sifat Syahir yang demikian tersebut membawa cerminan Muslim yang bermaruah yang selaras dengan hadis daripada Ibn Umar r.a., Rasululullah S.A.W. bersabda yang bermaksud bahawa: “Orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain tidak boleh menzaliminya dan menganiayainya, siapa yang menolong hajat saudaranya nescaya Allah menolong hajatnya dan siapa yang melepas daripada orang Islam kesusahan nescaya Allah melepas daripadanya satu kesusahan dari kesusahan pada hari akhirat dan sesiapa yang menutup aib orang Islam nescaya Allah akan menutup aibnya pada hari Kiamat.”


Manakala sikap tegar Syahir tatkala berhadapan dengan kemelut persekitaran dan menjadikan agama sebagai junjungan sehingga akhirnya membawa kemenangan pada dirinya jelas memperlihatkan harga dirinya yang tinggi sebagai Muslim mualim. Ini sejajar dengan ayat al-Qur’an Surah al-‘Asr ayat 3 yang bermaksud bahawa: “Dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Selain teguh dengan kehormatan dan harga diri, Syahir turut digambarkan sebagai seorang yang berani dalam melakukan sesuatu perkara. Penelitian ini berdasarkan pada ketegasan anak muda tersebut dalam berpakaian yang selaras dengan syariat Islam.

Novel ini mengemukakan kesungguhan Syahir mendaulatkan agama hatta dalam soal berpakaian untuk sukan badminton menunjukkan gambaran maruah Muslim sejati. Melalui pendiriannya yang kejap tentang corak pemakaian, Syahir merupakan anak muda yang bukan sahaja mengagung agama bahkan menggugah jiwa manusia membuka mata.

Khatimah

Pengangkatan bidang sukan, khususnya dalam kalangan remaja tanpa mengenepikan syariat dan agama jelas memperlihatkan pemartabatan nilai sahsiah dan maruah manusia. Hal ini kerana proses pengembangan ketamadunan manusia bukan sekadar diperhati melalui pembangunan materi tetapi peningkatan rohani memperkukuhkan bahawa pembentukan perwatakan manusia amat dititiberatkan. Justeru, penelitian terhadap nilai-nilai luhur menjadi teras dalam kehidupan hari ini bagi menentang terjahan gelombang lagha yang mengasak dunia kini.

Novel Justeru Impian di Jaring telah melakarkan petak-petak kehidupan manusia dalam naungan plot yang mudah, namun tempo bahasa yang terkawal, corak watak dan perwatakan yang beragam dan perutusan agama yang bermanfaat terhadap pembaca. Keterikatan pengarang kepada proses pertandingan (Kumpulan Utusan Novel Remaja) dengan jumlah muka surat yang terhad (174 halaman) sesungguhnya membataskan muatan wacana Islami secara penghuraian yang terperinci dan menyeluruh. Namun begitu, penyertaan pengarang dalam usaha penulisan dakwah begini memperlihatkan iltizam dan integriti yang mengesankan agar pembaca memperoleh maslahat dan muhasabah.

(Kertas Kerja ini ditelah dibentangkan dalam Diskusi Karya Alumni MPR 2007 di DBPKL pada 18 Ogos 2007)

5 komentar:

mustika 5:09 PTG  

very interesting

Sofwah 10:52 PTG  

Keterikatan pengarang kepada proses pertandingan (Kumpulan Utusan Novel Remaja) dengan jumlah muka surat yang terhad (174 halaman) sesungguhnya membataskan muatan wacana Islami secara penghuraian yang terperinci dan menyeluruh.

Ya! Saya juga merasakan demikian di akhir novel. Saya agak puas kerana plot tertutup kemas tetapi saya menginginkan sedikit lagi penghuraian dalam isu-isu yang dibawakan dalam JDJI.

Dan saya sangat setuju dengan,
"Namun begitu, penyertaan pengarang dalam usaha penulisan dakwah begini memperlihatkan iltizam dan integriti yang mengesankan agar pembaca memperoleh maslahat dan muhasabah."

Kalau Ustaz baca ulasan saya di blog pn.Nisah Haron di bawah "Komen Bernas JR", saya meletakkan novel-novel seperti JDJI di pertengahan spektrum novel Islami yang mampu menjadi jambatan untuk para pembaca novel ringan mula melangkah kearah novel berwacana berat. Teruskan usaha murni ini, Ustaz :) Mudah-mudahan berjaya membuat perubahan, insyaAllah :)

Wassalam.

zaidakhtar 12:04 PG  

Sofwah,
novel JIdJ itu begitu seadanya. Memang saya menulisnya dalam keadaan tergesa-gesa mengejar tarikh tutup. Saya akui byk kelemahannya meski ini novel saya yg ke-4.

Namun, menurut editor, jika ditambah dan disaratkan lagi dengan muatan lain akan sendatlah ia dan melimpah-ruah lantas menjadi karya yg longgar pula.

Apapun, pandangan anda di blog Nisah itu dikira baik dan banyak benarnya. Saya belum bersedia dgn 'grand idea'. Setakat ini, saya hanya mahu berwasatiah. Dan selesa di situ.:-)

wardahbiru,  1:38 PTG  

Salam..lama tak dengar cite Ustaz? Teruskan usaha..jaa mata! wassalam..

wardahbiru,  1:38 PTG  

Salam..lama tak dengar cite Ustaz? Teruskan usaha..jaa mata! wassalam..

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP