Rabu, November 28, 2007

PENGARUH BAHASA ARAB DALAM PEMBUDAYAAN BAHASA MELAYU: SATU ANALISIS BERDASARKAN NOVEL-NOVEL ZAID AKHTAR
Oleh Dr. Kamariah Kamarudin & Dr.Pabiyah Hajimaming
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia


Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah mencorakkan satu dimensi baharu dalam pembentukan bahasa dan pengkayaan budaya Melayu. Perkembangan pengaruh bahasa Arab meresap dalam masyarakat Melayu melalui hubungan secara langsung berdasarkan pergaulan dan pertuturan. Sejajar dengan itu, didapati sejumlah perkataan bahasa Arab yang digunakan dalam komuniti masyarakat Melayu menunjukkan proses pengukuhan dan pemantapan bahasa Melayu itu sendiri. Maka ini memperlihatkan pengaruh bahasa Arab dalam pembudayaan bahasa Melayu yang dapat menyuburkan proses perluasan makna dan pengembangan wacana. Sehubungan itu, terdapat penggunaan bahasa Arab dalam karya-karya sastera yang menggambarkan kesinambungan pembudayaan bahasa Melayu khususnya dalam novel Melayu. Hal ini terakam dalam novel-novel Zaid Akhtar yang memuatkan penggunaan bahasa Arab bagi menunjukkan kesesuaian sebagai sebuah karya Islami menerusi watak, latar dan perutusan. Makalah ini merungkai novel Sesegar Nailofar, Rona Bosphorus dan Justeru Impian di Jaring untuk disejajarkan dengan pengaruh bahasa Arab dalam pembudayaan bahasa Melayu tersebut.

Novel Zaid Akhtar dalam Pembudayaan Bahasa Arab ke dalam Bahasa Melayu
Menerusi ketiga-tiga buah novelnya, pengarang cuba membudayakan perkataan Arab dalam kepengarangannya dengan tiga pendekatan berikut:

Pertama
: Dengan meletakkan terjemahan perkataan Arab dalam kurungan seiring dengan perkataan Arab.
Contoh: Kuliiyah Iktisad di sebelah kanan. Bangunan Syu'un Tholabah (Hal Ehwal Pelajar) di sebelah kiri. (SN, hlm. 46)

Kedua: Dengan menggunakan glosari di hujung setiap novel.
Contoh : "Di hadapan Bab al-Gharbie berdekatan Kulliyah Iktisad agak sesak." (SN, hlm. 45), perkataan ini diterjemahkan di bahagian glosari novel tersebut.

Ketiga: Pemahaman melalui konteks ayat. Kekadang hal ini boleh menimbul sedikit gangguan kepada pembaca apabila didapati ada sesuatu perkataan Arab yang tidak difahaminya.
Contoh:
"Baiklah … aku cuba"
"Aiwah … macam itulah" (SN, hlm. 44)

Melalui tiga pendekatan tersebut, penggunaan perkataan Arab yang diutarakan oleh pengarang boleh dibahagikan kepada dua kategori:

(1) Perkataan Arab yang sebati digunakan dalam masyarakat Melayu

Perkataan-perkataan ini sering digunakan oleh masyarakat tanpa mengira bangsa dan tahap pendidikan mereka. Ianya sudah sebati dengan masyarakat sehinggakan mereka menganggap perkataan–perkataan ini adalah perkataan Melayu tulen, walhal ianya adalah berasal daripada perkataan Arab. Sebagai contohnya:“Aku harap kek ni sebagai mukadimah.” (SN, hlm. 35). Perkataan “mukadimah” membawa maksud “permulaan sesuatu” sudah biasa digunakan dalam kalangan pengarang sastera Melayu. Begitu juga dengan perkataan “muazzin” yang bermaksud “orang yang melaungkan azan” kerap ditemui dalam mana-mana teks sastera Melayu: Selalunya Abu Munzir yang menjadi muazzin pada waktu isyak kerana bilal tinggal agak jauh dari masjid. (SN, hlm. 56)

Begitu juga halnya dengan perkataan “tasawwur” yang bermaksud “gambaran” seringkali digunakan dalam pengarang berbahasa Melayu. Maka dalam hal ini, pengarang menghadirkan perkataan demikian sebagaimana berikut: Weltanschauung atau tasawwur terhadap dunia luar mesti luas. (SN, hlm. 208). Manakala perkataan “sahsiah” juga kerap digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu yang membawa maksud “peribadi” telah digunakan pengarang dalam novel Sesegar Nailofar: Dan dari situlah dia semakin mengenali sahsiah gadis ini. (SN, hlm. 21). Selain itu, perkataan “hatta” begitu sinonim dengan masyarakat Melayu yang membawa pengertian “sehingga” juga telah diungkapkan pengarang sebagaimana berikut:

"Pertama, cerita ini telah tersebar meluas hatta ada yang menuduh kehilangan ini berpunca daripada kawan-kawan serumah Nora yang disifatkan tidak pandai menjaga hati kawan. (SN, hlm. 50)

Hal yang sama dikemukakan pengarang bagi perkataan “walhal” yang membawa maksud “sedangkan” merupakan perkataan yang sebati dalam karya Melayu. Justeru, dalam novel Sesegar Nailofar, pengarang menzahirkan perkataan tersebut:

Dia dan Syahid juga tertekan sebenarnya apabiala dituduh bena tak bena terhadap kes ini. Walhal, mereka berdua mengambil keputsan menangguhkan pengedaran pekeliling melihatkan masalah ini belum benar-benar meruncing. (SN, hlm. 51)

Begitu juga bagi perkataan “daif” (lemah) dan “kalbu” (hati) juga tidak asing dalam kalangan masyarakat Melayu. Jadi, dalam hal ini pengarang menghadirkan kedua-dua perkataan tersebut sebagaimana berikut:

Nadanya agak merendah. Ada waktunya seseorang itu memang perlu akur dengan kelemahan diri sendiri. Aku manusia daif yang serba kekurangan, bisik kalbunya. (SN, hlm. 59)

Selain daripada itu, novel Justeru Impian di Jaring turut menampilkan perkataan Arab. Antaranya ialah perkataan “riyak” (menunjuk-nunjuk), perkataan “takabbur” (sombong) dan perkataan “mazmumah” (tercela) juga merupakan perkataan Arab yang biasa digunakan dalam masyarakat Melayu. Justeru dalam hal ini, pengarang mengemukakan perkataan tersebut sebagaimana petikan berikut:

Justeru sifat ujub dan riyak ialah dua penyakit hati yang sangat besar, selain hasad dan takabbur…bimbang amalan saya bergaul sama dengan sifat-sifat maha mazmumah ini. (JIdJ, hlm. xii-xiii)

Perkataan “mentarbiah” bermaksud “mendidik” kerap dilakukan oleh pengarang dalam karya-karya sastera, maka dalam hal ini novel Justeru Impian di Jaring menawarkan hal yang serupa sebagaimana berikut: Banyak baktinya dalam mentarbiah masyarakat di sekitar daerah ini (JIdJ, hlm. 17).

Manakala dalam novel Rona Bosphorus pula, terdapat perkataan Arab yang sebati dalam masyarakat Melayu turut digunakan pengarang dalam novel tersebut sebagaimana novel Sesegar Nailofar dan Justeru Impian di Jaring. Misalnya perkataan “mahram” yang membawa maksud “orang lelaki atau perempuan yang haram dinikahi” sudah diketahui umum oleh masyarakat Melayu. Maka, pengarang memaparkan perkataan tersebut sebagaimana berikut:

"Ya, Emine tahu, Islam melarang lelaki dan perempun ajnabi berdua-duaan, mesti ada mahram. Fayda kan ikut sekali nanti." (RB, hlm. 141)

Perkataan “hayat” yang bermaksud “hidup” juga merupakan perkataan Arab yang kerap digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu turut dikemukakan pengarang dalam novel Rona Bospharus: Beberapa hari lagi cuti musim panas akan bermula. Apakah beberapa hari juga lagi akan berakhirnya hayat Madrasah Badriyyah ini? (RB, hlm. 94)

Selain itu, perkataan “hijab” yang membawa maksud “tudung” juga merupakan perkataan yang sebati dalam kalangan masyarakat Melayu telah diungkapkan oleh pengarang dalam novel tersebut: Paling menyedihkan tentang isu hijab: Mahasiswa tidak dibenarkan bertudung ke universiti. (RB, hlm. 30)

Berdasarkan perkataan-perkataan yang dipaparkan di atas jelas menunjukkan bahawa ianya merupakan sejumlah perkataan yang sebati dalam kalangan masyarakat Melayu dan juga pengarang Melayu. Hal ini kerana Kamus Dewan juga telah mengiktiraf perkataan-perkataan tersebut dan digunapakai secara meluas dalam penulisan kini.

Selain daripada penggunaan perkatan Arab yang biasa digunakan oleh masyarakat Melayu, terdapat juga penggunaan ganti nama yang biasa digunakan dalam kalangan para ustaz dan mereka yang berpendidikan agama atau mereka yang berlatar belakangkan sekolah Arab. Didapati perkataan seperti “ana”, “anta”, “anti” dan “antum” telah diungkapkan dalam kalangan masyarakat dengan baik.


(2) Perkataan Arab yang digunakan pengarang dalam karya

Didapati bahawa perkataan Arab yang digunakan Zaid Akhtar dalam ketiga-tiga buah karyanya memperlihatkan perkataan yang baharu dalam kalangan khalayak sastera. Justeru menerusi novel Sesegar Nailofar, terdapat banyak perkataan Arab yang digunakan pengarang dalam kalangan watak-watak yang dibina. Memandangkan latar novel ini adalah di Jordan yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi, maka penguasaan bahasa Arab pengarang amat baik untuk dikemukakan dalam karyanya. Didapati pengarang mengemukakan perkataan “takharruj” yang bermaksud “menamatkan pengajian” bagi menunjukkan hubungan antara para pelajar di Jordan dalam persekitaran kampus:

“Ya, mungkin ini tugas terakhir Iqbal bersama PERMAI.” Nada suara Nur Hazwani merendah. “Lepas ni kan nak takharruj.” (SN, hlm. 22)

Sebahagian besar jalinan hubungan antara watak yang dipaparkan dalam SN menggunakan perkataan Arab sebagai perbualan. Penggunaan perkataan “maddah” yang bermaksud “mata pelajaran” menunjukkan penelitian pengarang terhadap hubungan antara watak yang dibina dalam SN:

“Insya-Allah. Doakanlah saya lulus semua maddah.(mata pelajaran) Biar cepat sikit balik. Orang di Malaysia pun sudah lama menunggu.” (SN, hlm. 22)

Secara umumnya, pengutaraan perkataan Arab yang dikemukakan menerusi novel SN dapat dibahagikan kepada dua slot, iaitu pertamanya berdasarkan pengungkapan dialog antara watak dan keduanya berdasarkan pengungkapan penyataan secara langsung dalam karya. Justeru, antara penggunaan perkataan Arab berdasarkan pengungkapan dialog antara watak ialah: Iqbal terkesiap. “alfu mubarak untuk apa pula?” (SN, hlm. 20). Penggunaan perkataan “mubarak” yang bermaksud “tahniah” memperlihatkan hubungan antara watak dalam SN dalam menjalinkan persaudaraan. Perkataan tersebut jarang diungkapkan oleh pengarang-pengarang Melayu dalam karya. Selain itu, penggunaan perkataan “mantiqah” yang bermaksud “kawasan” merupakan perkataan yang agak janggal dalam kalangan pembaca Melayu, namun penyesuaiannya dalam dialog yang disuguhkan pengarang adalah wajar. “Fasal apa? Kita kan sedang tunggu jawapan daripada semua persatuan pelajar kita di setiap mantiqah.” (SN, hlm. 33)

Selain itu, penggunaan perkataan “hayaaka-Allah” yang bermaksud “Allah hidupkan kamu” memperlihatkan jalinan hubungan antara watak yang diredhai Tuhan. Perkataan ini juga janggal terhadap khalayak pembaca Melayu sebagaimana yang dikemukakan pengarang: “Hayaaka-Allah, Bal. Allah berkati umur kau.” (SN, hlm. 35) Sebagaimana perkataan “mantiqah” yang jarang digunakan dalam karya Melayu, begitu juga dengan perkataan “khirrij” yang bermaksud “graduan” yang janggal dalam kalangan pembaca seperti diutarakan pengarang: “Sama. Kenapa tak mutalaah lagi? Kau kan bakal khirrij semester ni.” (SN, hlm. 38). Selain itu, perkataan “tallaqi” yang bermaksud “pengajian secara berguru” turut digunakan pengarang bagi menunjukkan hubungan dua hala antara watak tentang proses pembelajaran para pelajar dalam pengajian agama adalah usaha untuk membudayakan perkataan tersebut: “Kelas tallaqi. Dah lupa atau belum dipromosi?” (SN, hlm. 59).

Manakala berdasarkan pengungkapan dalam ayat-ayat naratif, pengarang mengajukan beberapa perkataan Arab bagi memperlihatkan penggunaannya disesuaikan dengan latar tempat dalam novel tersebut. Misalnya penggunaan perkataan “thiqah” yang bermaksud “kepercayaan atau kredibiliti” dimanfaatkan pengarang untuk menjelaskan watak pemuda Jordan yang ditemuinya di negara tersebut:

Sepanjang empat tahun dia mengenali Aiman, lelaki itu dianggapnya pemuda Arab paling sempurna. Sepanjang empat tahun di Jordan, belum pernah dia menemui seorang pemuda Arab sebayanya yang thiqah, tawaduk, dan tabah seperti Aiman. (SN, hlm. 31)

Selain itu, perkataan “imtihan” yang bermaksud “peperiksaan” diajukan pengarang bagi memperlihatkan penyesuaiannya dengan penerangan tentang latar suasana dan masa yang dihadapi oleh para pelajar di kampus Jordan:

Ya, memang kita akan ikhtiar sedaya upaya mencarinya, meskipun imtihan bertunda-tunda setiap minggu! (SN, hlm. 39)

Begitu halnya dengan perkataan “halaqah” yang bermaksud “kelompok atau bulatan” yang menunjukkan penyesuaian penggunaannya dengan latar suasana pemelajaran agama di kampus Jordan. Pengarang mengajukan perkataan tersebut sebagaimana berikut: Budaya belajar dalam halaqah ni besar fadilatnya. (SN, hlm. 55). Perkataan “thaqafah” yang bermaksud “ilmu atau informasi” turut digunakan pengarang bagi menggambarkan latar suasana pemelajaran merupakan perkataan yang janggal dalam kalangan masyarakat Melayu, iaitu: Tidak hairan mengapa thaqafahnya begitu mantap. (SN, hlm. 57). Begitu juga dengan perkataan “tafaqquh” yang bermaksud “pengajian, pemahaman” yang berkait dengan pembelajaran telah digunakan pengarang dalam novel tersebut: …melainkan jika ada beberapa pensyarah yang sudi melaungkan masa mengadakan kelas tafaqquh untuk pelajar Melayu. (SN, hlm. 57). Dalam hal yang sama perkataan “murajaah” (ulangkaji) juga diungkapkan pengarang bagi menggambarkan suasana pembelajaran di kampus sebagaimana berikut: Kesihatannya mesti stabil untuk murajaah. (SN, hlm. 135).

Manakala dalam konteks kekeluargaan dan perkahwinan, pengarang turut mengungkapkan beberapa perkataan seperti “mutazawwij” yang bermaksud “orang yang telah berkahwin” dan “wasitah” yang membawa pengertian “perantaraan” dikemukakan oleh pengarang dalam novel Sesegar Nailofar tetapi tidak diketahui umum oleh masyarakat Melayu akan maksud perkataannya. Maka dalam hal ini, pengarang cuba mengenengahkan perkataan tersebut seperti di bawah:

Memang menjadi suatu budaya pelajar Malaysia di Timur Tengah akan menemui mutazawwij untuk menyatakan hajat sekiranya mereka ingin merisik seorang gadis. Biasanya pasangan suami isteri ini akan menjadi wasitah di antara siswa dan siswi yang terbabit sehinggalah berlangsungnya pertunangan.

Begitu juga dengan perkataan “khitbah” yang membawa maksud “pertunangan” memang tidak digunakan dalam konteks perbualan Melayu. Namun, dalam hal ini pengarang menyuguhkan perkataan demikian untuk memperkenalkannya kepada pembaca sastera Melayu:

Sebab itulah dalam Islam adanya khitbah atau hukum membolehkan lelaki atau perempuan melihat orang yang dihajatkannya sebelum terjadinya perkahwinan. (SN, hlm. 81)

Dalam suasana ketegangan politik, pengarang berusaha memperkenalkan beberapa perkataan Arab yang berkaitan tentang politik, misalnya perkataan “mukhabarat” yang membawa pengertian “perisik, mata-mata gelap” sebagaimana berikut: Dia…dia ekori aku dari depan kedai. Aku syak mukhabarat.” (SN, hlm. 102).

Suasana yang sama telah diungkapkan pengarang menerusi novel Rona Bhospharus melalui perkataan “naqib” yang ditakrifkan sebagai “pemimpin muzakarah” sebagaimana petikan di bawah:

Fahim selaku naqib merangkap tuan rumah memberi kata alu-aluan atas kehadiran mereka bertiga. (RB, hlm. 22)

Begitu juga halnya dengan perkataan “tajdid” yang didefiniskan sebagai “pembaharuan” turut dikemukakan pengarang bagi menggambarkan suasana politik tersebut: Iman manusia pun turun naik, inikan pula semangat. Tentunya mesti sering ditajdid (RB, hlm. 43). Di samping itu, perkataan “masirah” yang bermaksud “demonstrasi” telah diungkapkan pengarang sebagaimana berikut: Tepatlah seperti ramalan Afham, ada masirah akan berlaku sebentar lagi (RB, hlm. 86-87).

Selain itu, perkataan “tahibul lughah” (mencintai bahasa) dan “ittifak” (persetujuan) yang diajukan pengarang dalam RB juga menunjukkan perkataan yang tidak digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu. Justeru, pengarang cuba membudayakan perkataan-perkataan seperti ini sebagaimana penyataan di bawah:

Dia lekas mendapatkan Ilham petang itu sebaik mendapat ittifak daripada Erfan untuk mengadakan program Tahibul lughah tiga hari lepas (RB, hlm. 67)

Manakala perkataan “ibtila’ullah” yang bermaksud “ujian Allah” juga memperlihatkan usaha pengarang membudayakan perkataan Arab dalam karyanya. Hal ini boleh diperhatikan melalui petikan ini: Sabar menghadapi ibtila’ullah. (RB, hlm. 152).

Selain itu, menerusi novel Justeru Impian di Jaring, pengarang turut memaparkan perkataan Arab yang memperlihatkan kesungguhanya untuk membudayakan perkataan tersebut. Misalnya perkataan “muwafik” diajukan pengarang yang membawa maksud “setuju” jelas menunjukkan penggunaannya dapat memperkayakan kosa kata Melayu:

Barangkali Abang Long Syakir yang mengajar di jabatan yang sama dengan pensyarah tadi di Lembah Pantai turut muwafik (JIdJ, hlm. 16)


Seperti yang dijelaskan sebelum ini, banyak perkataan Arab yang diterapkan oleh pengarang dalam pengarangannya yang merupakan perkataan yang belum diterima pakai oleh masyarakat Melayu setempat. Walau bagaimanapun perkataan-perkataan ini tidak menjadi asing bagi mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan Arab. Hal ini kerana penggunaan pengarang terhadap perkataan Arab adalah melalui tiga pendekatan seperti yang diterangkan sebelum ini. Oleh yang demikian, jelas menunjukkan bahawa melalui tiga pendekatan ini pengarang mampu membudayakan perkataan Arab tanpa sebarang kesulitan. Tambahan pula setiap perkataan Arab yang digunakan oleh pengarang diterjemahkan pula dalam kurungan sejurus selepas perkataan Arab itu.

Selain daripada penggunaan perkataan Arab dalam tulisan pengarang, beliau juga banyak memetik ayat al Quran dan Hadith serta kata-kata pujangga daripada pemikir Islam seperti Hasan al Banna. Fenomena mengemukakan petikan al Quran dan Hadith ini dikenali sebagai seni "Iqtibas" dalam istilah retorik Arab. Secara umumnya, iqtibas ialah cara seseorang pengarang memasukkan ayat al Quran atau Hadith dalam pengarangannya sama ada prosa atau puisi tanpa menyebut secara jelas ianya daripada al-Quran dan Hadith. Justeru, dalam novel-novel ini, didapati kadang-kadang pengarang memasukkan makna ayat Quran atau makna Hadith tanpa menyebut bahawa ianya adalah makna al Quran atau Hadith, manakala kadang-kadang secara jelasnya menyebut bahawa ianya adalah daripada al-Quran atau hadith. Didapati bahawa nas asal dalam bahasa Arab yang dipetik tidak ditulis, hanya terjemahannya sahaja yang disajikan kepada pembaca. Namun begitu terdapat satu petikan yang dipetik daripada kata-kata Hasan al Banna, pengarang mengekalkan kedua-dua bahasa tersebut.

(i) Contoh petikan pengarang daripada makna ayat al Quran:

(a) "Apabila seseorang itu membela agamanya, maka dia sebenarnya menjual dirinya kepada Allah. Sebagai firman-Nya dalam Surah al Baqarah ayat 207 yang bermaksud:
Dan antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah, dan Allah itu Maha Penyantun kepada hamba-hambanya" (SN, hlm. 133)

Terjemahan ayat yang diutarakan pengarang di atas merupakan sumber asal ayat al-Quran sebagaimana di bawah:
"ومن الناس من يشري نفسه ابتغاء مرضات الله، والله رؤوف بالعباد"

(b) "Secepat itu kau dapat penawar?" Syahid masih lagi tidak faham.
"Dan aku akan menjauhkan diri daripadamu, dan daripada apa yang kamu seru selain daripada Allah, dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku." Iqbal mengulang ayat 48 Surah Maryam yang dibacanya tadi." (SN, hlm. 177)


Begitu juga dengan ayat di bawah merupakan teks asal dalam al-Quran yang diterjemahkan oleh pengarang sebagaimana di atas:
"واعتزلكم وما تدعون من دون الله وأدعو ربي عسى ألا أكون بدعاء ربي شقيا"

(ii) Contoh petikan pengarang daripada makna Hadith:

(a) "Hatinya memang hangat, tetapi cepat-cepat dia berselawat. Mudahan-mudahan api amarah yang mahu melarat itu segera surut. Manusia yang kuat ialah siapa yang berjaya mengawal kemarahannya." (RB, hlm 24)

Justeru, penyataan “manusia kuat ialah siapa yang berjaya mengawal kemarahannya” merupakan terjemahan kepada nas hadith berikut:

"ليس الشديد بالصرعة، وإنما الشديد الذي يملك نفسه عند الغضب"
Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.

(b) Spontan terlintas dalam kepala Iqbal hadis nabi yang berbunyi: Dunia itu perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah. (SN, hlm.69)

Penyataan “dunia itu perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah” adalah terjemahan nas hadith di bawah:
"الدنيا متاع، وخير متاعها المرأة الصالحة"

Hadith ini diriwayatkan oleh Sahih Muslim dari Abdullah bin A'mr bin al A'as.


(iii) Contoh petikan pengarang daripada kata-kata Hasan al Banna:

(a) "Alwajibat akthar minal awqat, kata Hasan al Banna. Kewajipan itu lebih banyak daripada waktu. Kita sekarang diuji dengan waktu. (SN, hlm.65)

"الواجبات أكثر من الأوقات"
Dalam hal ini pengarang mengemukakan kedua-dua versi dalam bahasa Arab dan terjemahannya dalam bahasa Melayu.

(iv) Contoh petikan pengarang daripada peribahasa Arab:

(a) "Peperiksaan akhir beberapa hari sahaja lagi. Kesihatannya mesti stabil untuk murajaah. Pepatah Arab ada menyebut: Akal yang sihat pada tubuh yang sihat. Dia ingat itu." (SN, hlm.135)

Penyataan “akal yang sihat pada tubuh yang sihat” adalah terjemahan kepada peribahasa berikut: "العقل السليم في الجسم السليم"

Selain daripada perkara yang tersebut di atas, seperkara perlu disebut juga di sini ialah perkataan Arab yang digunakan oleh pengarang tidak mengikut kaedah transliterasi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagaimana contoh berikut:

“Cakaplah. Apa masyakahnya? Biar ana dengar.” (RB, hlm. 38).

Perkataan “masyakah” yang bermaksud “kesusahan” diutarakan pengarang dalam karya dengan bentuk ejaan sedemikian rupa. Walhal mengikut kaedah transliterasi, perkataan ini perlu ditulis (masyaqqah) dengan menggantikan huruf “k” dengan dua huruf “q”.

Khatimah

Novel Justeru Impian di Jaring memperlihatkan perkataan Arab yang paling sedikit berbanding dengan Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus. Hal ini kerana lakaran latar suasana yang dimuatkan dalam karya bersangkut paut dengan latar tempat yang diajukan oleh pengarang. Novel JIdJ berkisar tentang Malaysia sedangkan novel SN berkisah di Jordan manakala Rona Bosphorus di Turki. Maka, dengan ini jelaslah menunjukkan bahawa penggunaan perkataan Arab dalam dialog dan ayat-ayat naratif turut dipengaruhi oleh latar yang diolah pengarang.

Selain daripada itu, gambaran isu yang dibancuh dalam ketiga-tiga novel tersebut jelas menunjukkan gagasan pemikiran pengarang terhadap penghayatan Islam adalah jitu. Hal-hal yang berkisar tentang perjuangan menegakkan dinul Islam, tumpuan terhadap pemakaian hijab yang mengangkat martabat wanita, fokus kepada pembinaan kekeluargaan Islam, penentangan para pejuang terhadap zionis untuk membebaskan bumi Palestin, dan budaya menuntut ilmu dan pengembangannya telah digarap dengan baik oleh pengarang yang membuktikan peri pentingnya Islam sebagai agama yang syumul.

Berdasarkan isu-isu yang dikemukakan dalam ketiga-tiga novelnya, jelas membuktikan bahawa pengarang mengenengahkan Islam sebagai tunjangnya untuk dihidangkan kepada khalayak sebagai perutusan yang berguna. Memandangkan Islam berkait rapat dengan bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Quran, maka tidak hairanlah usaha pengarang membudayakan perkataan Arab dalam karyanya sama ada melalui dialog dan juga ayat naratif wajar dilakukan.

Sehubungan dengan itu, bolehlah dikatakan bahawa kesungguhan pengarang menyuguh perkataan-perkataan Arab tersebut dapat memperkayakan khazanah budaya bangsa. Sesungguhnya usaha yang dilakukan pengarang muda ini sesuatu yang murni kerana dapat mengembalikan kegemilangan tamadun Melayu-Islam dalam persuratan yang telah dipinggirkan beberapa dekad lamanya ekoran penjajahan.
(Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Seminar Antarabangsa Linguistik dan Bahasa Melayu Ke-3 di UPM pada 13 November lalu. Terima kasih sedalam lautan buat Dr Kamariah dan Dr. Pabiyah yang sudi mengangkat sumbangan saya yang tidak seberapa ini .)

1 komentar:

mardhiah 4:00 PTG  

Bukan saya cemburu atau apa, kenapa pula ye ada yang sanggup mengatakan DBP sebagai mandul, tidak serius menjaga bahasa Melayu bila perkataan bajet, lebih popular dari perkataan anggaran perbelanjaan?

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP