Khamis, April 05, 2007

SYAFAAKA ALLAH

Sejak Sabtu malam Ahad lalu, ketika berada di SMKA Maahad Muar, hati saya sebetulnya tidak keruan. Ada wajah intim yang terbayang-bayang. Ada suara mesra yang terngiang-ngiang. Cukup mengganggu saya beberapa hari.

Lantas Selasa lalu, sepulang dari sekolah, saya nekad mengambil keputusan untuk bergegas seorang diri ke Johor Bahru (walaupun keesokannya hari bersekolah dan saya akan tiba di Segamat menjelang tengah malam) demi menziarahi seorang teman akrab yang terlantar uzur di Hospital Sultanah Aminah. Dia, Abdul Qadir Abdul Hamid, mantan Pengerusi BKPJJ (Badan Kebajikan Pelajar Johor Jordan) sesi 1998/99 sedang menderitai barah peparu yang telah menjajah sepasang organ pernafasannya. Kini sedikit demi sedikit sedang melarat menjangkiti hatinya pula.

Sejam saya habiskan untuk bersamanya. Entah bila lagi kami akan dapat bersama begini. Banyak kenangan yang kami himpun bersama satu ketika dulu, tetapi kata-kata kali ini lebih kerap tersimpan di peti suara. Tambahan pula, dia bercakap dalam keadaan yang amat sukar, tersemput-semput dalam kesakitan menahan bisa yang menikam dada. Namun hingga saat ini, ayatnya yang kekal saya ingat, "8 haribulan April ni hari lahir aku yang ke-33. Tapi aku redha. Dah begini takdir nasib aku. Agaknya ini bahagian ujian dari Allah untuk aku."

Saya sebak amat. Namun air mata tidak pula keluar. Sesekali memandang ke arah isterinya, Kak Huda. Ibu mertuanya. Masing-masing membalas dengan pandangan sayu. Menurut mereka, semua sesi rawatan kemoterapi sudah selesai. Kini yang tinggal hanyalah ....

Abdul Qadir, moga engkau kuat, sahabat. Menziarahimu mengingatkan aku betapa hidup ini pinjam-pinjaman. Nikmat sihat ini juga sementara. Dan sesungguhnya setiap kita punya bahagian ujian masing-masing.

Memo: Untuk pengetahuan semua yang barangkali masih belum mengetahui. Sahabat saya, Abdul Qadir Abdul Hamid telah kembali ke Rahmatullah pada petang Jumaat, 6 April 2007 - 2 hari sebelum hari lahirnya yang ke-33. Inna lillah wa inna ilaihi raji'uun. Sesungguhnya dia, saya akui, seorang insan yang baik, sangat ringan tulang dan begitu banyak jasa baktinya kepada kami anak-anak Johor di Jordan pada dekad lalu. Moga Allah sentiasa merahmati dan menerima segala amalannya.

Read more...

Ahad, April 01, 2007

GERRARD lebih hebat daripada PELE?


Barangkali Steven Gerrard tidaklah sehebat Pele yang menjaringkan lebih seribu gol sepanjang kariernya, tetapi kapten Liverpool itu ternyata lebih hebat dalam menghasilkan buku autobiografinya.


Baru-baru ini, Gerrard telah menerima anugerah 2007 Galaxy Book Award berdasarkan jualan memberangsangkan buku autobiografinya "Gerrard: My Autobiography" yang dilancarkan sejak September 2006. Jualan buku autobiografi Stevie G itu ternyata jauh mengatasi autobiografi Pele malah menjadi top best-seller dan dicetak berulangkali dalam masa yang amat singkat.


Selain Gerrard, bintang-bintang England yang turut menghasilkan autobiografi masing-masing seperti Wayne Rooney, Ashley Cole, dan Frank Lampard. Namun ketiga-tiganya gagal mengatasi pencapaian Gerrard yang bukunya turut dinobatkan sebagai Buku Sukan Tahun Ini.


Penghasilan buku autobiografi memang menjadi trend bagi bintang-bintang sukan dunia terutama bintang bola sepak. Pelbagai ragam pendedahan 'perkara-perkara di belakang tabir' dan di luar pengetahuan media yang dibuat di dalamnya menjadikan buku-buku sebegini sangat laris di pasaran. Namun kadangkala bintang-bintang sukan gemar berlebih-lebihan, terlalu excited dan kurang bijak dalam membuat pendedahan.


Sebagai contoh, mantan kapten Manchester United, Roy Keane pernah mendedahkan betapa dia pernah berniat mencederakan seorang pemain lawan (dengan sengaja) dalam satu perlawanan yang telah berlangsung beberapa tahun lalu. Terjahan keras Keane dan kecederaan itu memang berlaku. Mendengar pendedahan sebodoh itu (malah pemain lawan itu juga dinyatakan namanya), pihak FA segera menjalankan siasatan dan hampir menghukum Keane yang masih aktif bermain.


Terbaru, sesudah Piala Dunia 2006, pemain Manchester City, Joey Barton yang kecewa tidak terpilih dalam skuad England ke Piala Dunia di Jerman, menyelar Gerrard, Lampard dan beberapa pemain lain dengan kata-kata yang keras dan sukar diterima dalam autobiografinya. Ironinya, pada awal 2007, Barton terpaksa menebalkan muka apabila dia akhirnya dipanggil menyertai skuad England untuk perlawanan kelayakan EURO 2008 dan bermain bersama para pemain yang diselarnya.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP