Rabu, Jun 13, 2007

NOVEL TERBARU dan SAKIT MATA

i
Ini ujian saya. Lebih tepat lagi, ia sebahagian daripada ujian yang telah Allah tetapkan untuk saya hadapi. Dia mahu melihat sejauh mana saya sabar dan tabah menghadapi kesusahan ujian sebelum menikmati keindahan kejayaan diimpikan. Rupanya Allah masih sayangkan saya meski nikmat sihat dan cergas yang saya nikmati selama ini ditariknya seketika.

Demikian sedikit petikan dari novel terbaru saya.
Kepada Tuhan saya merafakkan kesyukuran. Akhirnya hasrat untuk melihat novel terbaru saya diterbitkan pada tahun ini terkabul juga. Insya-Allah, jika tiada aral yang tiba-tiba muncul melintang, karya terkini itu akan 'meluncur' di pasaran sebelum berakhirnya bulan ini. Kecewa agak lama menanti Salju Sakinah yang belum dapat diramalkan hari kelahirannya, moga novel keempat ini sedikit sebanyak dapat menjadi nurbisa.

Lantaran lahirnya menjadi nurbisa, judulnya juga saya kira agak luar biasa. Usah tergegau kerana ia memang di luar jangka. Barangkali ia sesuai dengan latarnya yang jauh meninggalkan Timur Tengah yang menjadi semacam trademark novel-novel saya sebelum ini. Meskipun terhantar jauh daripada 'wilayah' kebiasaan, tetapi misi dakwah dalam karya tidak sesekali saya abaikan.

ii
Cuti sekolah selama dua minggu baru sahaja berakhir. Namun saya terpaksa menambah satu minggu lagi lantaran diserang sakit mata. Jadi, saya bercuti tiga minggu! Entah bagaimana saya terjangkit dengan penyakit ini. Hanya Dia yang Maha Tahu. Tetapi seperti mana fragmen novel saya tadi: Ini ujian saya. Lebih tepat lagi, ia sebahagian daripada ujian yang telah Allah tetapkan untuk saya hadapi. Dia mahu melihat sejauh mana saya sabar dan tabah menghadapi kesusahan ujian sebelum menikmati keindahan kejayaan yang diimpikan.

Mata saya mulai merah pada pagi Jumaat. Begitu juga puteri sulung saya, Nailofar. Irfan nampaknya kebal. Sementara isteri saya sedang berkursus selama 6 minggu di IPTI, Johor Bahru untuk menyudahkan KPLI KDC j-QAFnya. Justeru, saya dan anak-anak terpaksa berkurung di rumah dan meng'kuarantin'kan diri daripada khalayak. Dan sungguh, saya benar-benar terasa payahnya menguruskan dua anak seorang diri dengan mata yang sakit.

Masa yang berlalu percuma, saya isi dengan membaca buku, mengakses internet, dan menanda kertas jawapan peperiksaan pelajar. Namun, menjelang tengah malam semalam, barangkali kerana terlalu memberi tumpuan pada kertas yang diperiksa, pandangan saya tiba-tiba kabur. Saya kaget. Lekas berkejar ke dapur mendapatkan ubat titis yang dibekalkan pihak klinik. Setelah dititiskan beberapa kali ke mata, deria lihat itu sedikit lega. Namun beberapa minit kemudian, penglihatan terganggu kembali. Urat-uratnya terasa tegang.
Sungguh saya terlupa betapa mata juga punya saraf yang maha sensitif dan memerlukan rehat secukupnya. Nampaknya hak mata yang memang sedang sakit itu telah saya abaikan. Saya tiada pilihan. Apalagi yang wajar saya buat selain berehat dan terbaring tidur?

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP