Ahad, Disember 21, 2008

SEMALAM di JOHOR BAHRU

Semalam saya hadir bersama seorang rakan ke Bicara Karya Sastera Johor 2008 di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru. Sebagaimana maklum novel keempat saya - Justeru Impian di Jaring (JIdJ) dibicarakan oleh Tuan Shahrun Nizal Mohd Nor dari DBPKL.

Nampaknya ini kali kedua JIdJ dikupas. Kali pertama oleh Dr. Kamariah Kamarudin yang sangat mahir dengan Teori Takmilah menerusi kertas kerjanya JIdJ: Penelitian Terhadap Nilai Sahsiah dan Maruah Insan pada Ogos 2007. Kali ini Shahrun Nizal mahu menyorotnya menerusi pendekatan Teori Sastera Pengabdian pula lewat kertas kerjanya yang berjudul JIdJ dari Perspektif Teori Taabudiyah.

Secara peribadi saya sangat gembira dan bertuah tentunya apabila novel ini yang saya kira paling kurang 'menjaring' pembaca tetapi telah 'dilihat' menerusi kaca mata kedua-dua teori sastera Islam tersebut.

Terima kasih kepada Tuan Shahrun Nizal yang turut melihat beberapa aspek kelemahan dan kekurangan novel tersebut. Terima kasih juga kepada Bahagian Teori dan Kritikan DBP, DBPWS, dan PPJ yang menganjurkan program bermanfaat sebegini dan sudi memilih JIdJ sekali lagi.

Dan terima kasih juga kepada pihak tuan rumah iaitu PSI yang mengejutkan saya apabila diminta mencoretkan sepatah dua kata dan tanda tangan pada kad manila untuk dipamerkan di ruang pameran perpustakaan.

Memo: Untuk gambar dan tulisan lanjut sila ke sini.

Read more...

Jumaat, Disember 19, 2008

AMBILlah IJN

Sekiranya jaminan itu dapat diberikan oleh pihak yang nak mengambil alih, mungkin pandangan kita terhadap pengambilalihan ini tidak begitu keras sangat – Perdana Menteri

Syarikat Sime Darby mesti memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh bagi memastikan golongan miskin tidak dipinggirkan –Timbalan Perdana Menteri

Kalau kita perhatikan projek-projek lain yang telah diswastakan, bayarannya terus meningkat – Datuk Dr. Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA (Bekas Menteri Kesihatan)

Sumber: Utusan Malaysia 19 Disember 2008.

Memo: Santainya respon PM dan TPM. Macam boleh diambil alih bila-bila saja. Rasanya respon Dr. CSL lebih 'berjiwa rakyat' berbanding dua orang itu. Hari ini khabarnya ditangguhkan dahulu keputusan pengambilalihan itu. Mungkin tunggu selepas PRK Kuala Terengganu.

Read more...

Khamis, Disember 18, 2008

BICARA NOVEL JIdJ di JB

Insya-ALlah, novel keempat saya, Justeru Impian di Jaring (JIdJ) akan dibicarakan pada Sabtu, 20 Disember 2008 dalam program Bicara Karya Sastera Negeri Johor anjuran Bahagian Teori dan Kritikan DBP dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Program yang bertempat di Perpustakaan Sultan Ismail, Jalan Datin Halimah, Johor Bahru itu akan bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir 12.30 tengah hari. Antara karya yang bakal dibicarakan seperti drama Walinong Sari tulisan penggiat teater terkenal, Khalid Salleh dan antologi cerpen Pengorbanan karya Para Penulis Pelajar Muda Johor.

JIdJ novel remaja yang menampilkan tema sukan menurut perspektif Islam akan dikupas oleh Tuan Shaharunnizal Mohd Nor dari DBP, KL. Para penulis dan penggemar sastera dijemput hadir ke majlis tersebut. Tuan Khalid Salleh khabarnya akan turun ke Johor Bahru bagi memeriahkan program.

Read more...

Isnin, Disember 15, 2008

SEHARI SEBELUM EIDIL ADHA

Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, di Jalan Yahya Awal. Cantik tempatnya, bangunan tiga tingkatnya juga. Banyak betul meja dan kerusi kayu. Ala-ala coffee house. Memang sesuai untuk dijadikan tempat santai ulat-ulat buku. Khabarnya baru tiga bulan beroperasi.


Terima kasih saya ucapkan atas layanan mesra staf PPAJ yang sering tersenyum dan mesra menegur saya. Begitu juga buat dua staf MPH JB City Square yang sangat peramah - Sdr Arif Faizal dan Puan Sherene Faridah. Walaupun PPAJ petang itu agak lengang, tetapi hati saya senang.

Memo: Foto-foto adalah ihsan www.srikandi87.blogspot.com

Read more...

Jumaat, Disember 12, 2008

BERITA PILU BANGSAKU

KL- 11 Disember: ... Sementara itu, diminta mengulas pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, Hishammuddin berkata, kementerian mengekalkannya kerana keputusan itu diambil demi masa depan negara.

Katanya, kementerian sentiasa mengambil berat setiap aduan berkenaan program itu dan mengadakan mesyuarat dengan semua pihak bagi mempertimbang perubahan selain mengkajinya secara terperinci.

‘‘Oleh itu, ugutan membuat demonstrasi terhadap isu itu adalah pelik. Terserah kepada mereka kerana kita menelitinya demi masa depan negara. Bersandarkan akal rasional dan matang kita mendapati ia mekanisme yang tepat,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, buku Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia memperlihatkan bagaimana Raja Melayu di Semenanjung suatu ketika dulu diperdaya untuk menyerahkan kuasa atau menerima masuk penasihat Inggeris ke negeri Melayu.

Sumber asal.

Memo:

1. “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan bukan kepada ahlinya, maka nantikanlah kehancuran” - Hadith riwayat al-Bukhari

2. Berita menjengkelkan ini sewajarnya lebih diberi perhatian daripada berita isu papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang yang dipolitikkan

3. Inilah dosa Tun Mahathir yang mahu dikongsi pemimpin selepasnya!

Klik sini untuk mendengar suara hati rakyat tentang PPSMI

Read more...

Ahad, Disember 07, 2008


Memo:
Salam Eidil Adha untuk semua teman dan pengunjung blog.
Insya-Allah.
Saya akan hadir untuk program penampilan penulis di
MPH Book
Fair yang bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor,
Jalan Yahya Awal, Johor Bahru pada Ahad, 7 Disember 2008,
sekitar jam 2-3 petang.

Read more...

Sabtu, Disember 06, 2008

HAIWAN LONGKAI

Penyamun ada di mana-mana. Hati-hati. Anda boleh disamun secara peras ugut dan kasar mahupun secara licin dan halus. Jika kenderaan anda rosak di lebuh raya, jangan tertipu dengan 'longkai' yang bermaharajalela. Kalau ada agen-agen syarikat yang menawarkan khidmat menunda kenderaan anda ke bengkel mereka, jangan sesekali diterima atau terpedaya dengan kata-kata mereka. Mereka penipu besar. Mereka layak dibakar oleh api neraka!

Hubungi pihak PLUS dan tunggu. Kalau anda mahu mereka menunda juga, tundalah sampai ke tol sahaja. Tiba di tol, berhenti dan pastikan kenderaan tidak ditunda lagi. Segera hubungi teksi dan cari bengkel yang anda yakini. Atau, anda fikirlah cari lain. Hubungi kawan berdekatan atau sesiapa untuk meminta nasihat. Jangan sesekali mempercayai 'haiwan' longkai yang tidak berhati perut itu.

Walaupun ia sukar, lambat, dan memang memenatkan, tetapi ia lebih selamat berbanding anda menurut sahaja saranan longkai-longkai jahanam yang akan mengenakan caj tak masuk akal ke atas anda. Mereka memang mesra, ramah, nampak baik dan boleh sahaja tiba-tiba muncul sukarela datang membantu anda, membawa bekalan air paip untuk menyejukkan radiator anda yang kering dan berasap, tetapi itu semua lakonan.

Jangan sesekali percaya lakonan keji mereka, kerana anda akan rugi besar jika terpedaya walau sekali cuma. Mereka akan menyebut caj yang rendah dan kerosakan yang minima kononnya, tetapi segalanya bertukar ngeri apabila tiba di bengkel nanti. Komponen-komponen enjin anda akan dicabut dengan sekelip mata!

Baru-baru ini, saya ke ibu kota atas urusan pengajian. JPJ tiba-tiba sahaja membuat sekatan di tengah-tengah lebuh raya sebelum masuk ke Tol Senawang. Entah apa yang mahu diperiksa. Kenderaan sesak tunda-menunda tiga empat kilometer panjangnya. Trafik bergerak terlalu perlahan. Setelah setengah jam terperangkap dalam kesesakan yang amat itu, bonet depan Wira saya mulai mengeluarkan asap nipis. Entah mengapa. Temperature kereta stabil, tidak pula naik menunu. Saya cemas, lantas menyalakan lampu isyarat kiri untuk masuk ke lorong kanan, perlahan-lahan menyelit di celah-celah kesesakan, dan akhirnya berhenti di bahu jalan, di tepi lorong kecemasan.

Ah, saya tidak mampu meneruskan catatan pahit ini. Anda boleh meneka plot selanjutnya. Saya tidak mahu mengenangnya lagi kerana akan menyebabkan sakit hati, benci, dan geram berpanjangan. Saya hanya mampu memberi peringatan.

Penyamun ada di mana-mana. Hati-hati!

Klik sini untuk baca tentang angkara longkai!

Read more...

Sabtu, November 29, 2008

BANDAR NOSTALGIA
(KUALA KANGSAR, AKU DATANG!)

Sejurus bersantai dan mandi-manda di Bukit Merah, kami berhajat untuk berhenti solat. Lantas selepas hampir sejam memandu, saya menyusur keluar ke kiri. Masuk ke Tol Kuala Kangsar. Selepas 6 tahun, inilah kali pertama, saya mampir ke Kuala Kangsar. Ya, Kuala Kangsar, aku datang!

Ia bandar nostalgia bagi saya. Arwah ayah pernah bersekolah di MCKK sekitar tahun 50-an (barangkali senior kepada DSAI). Sementara saya menjalani latihan praktikum selama lebih kurang 3 bulan sekitar awal 2001. Di sebuah sekolah yang mewah sejarah. Di Madrasah Idrisiah Bukit Chandan (MIBC), Kuala Kangsar. Entah bagaimana saya tergerak untuk memilih sekolah diraja ini menjadi tempat latihan ilmu perguruan saya, saya tidak tahu. Yang pasti, saya jatuh cinta dengan sekolah ini dan Kuala Kangsar juga. Di sini bagi saya, kedamaian bagaikan melata. Tenang. Setenang air coklat Sungai Perak yang mengalir lesu. Sungguh saya rindu dengan daerah damai-tenang ini.

Lalu, kami singgah di Masjid Ubudiyyah yang indah metah di kaki Bukit Chandan. Dahulu, semasa zaman bujang di sinilah saya kerap bersolat jemaah dan sempat juga mengenali sebahagian ahli jemaahnya. Binaan masjid ini hebat. Kedudukannya strategik. Lanskapnya cantik. Di hadapannya, di seberang jalan, berdiri tegap Madrasah Idrisiah. Nun di atas bukit sana, Istana Iskandariah Bukit Chandan. Di tepi sebelah kiri istana, ada padang bola tempat saya dan para pelajar MIBC bermain bola sepak saban petang.

Sayang sekali, teman baik saya, Ustaz Syaffawi Zainon pulang ke kampungnya di Kampung Gajah. Namun saya tetap singgah ke MIBC. Rindu ini harus saya langsaikan. Memandu masuk ke dataran asrama-sekolahnya, meninjau-ninjau dari dalam kereta, kemudian keluar semula setelah tidak menemui kelibat teman-teman lama. Tiada sesiapa yang mengenali saya kecuali guru-guru lama yang tentunya sedang bercuti. Generasi pelajarnya yang pernah saya mesrai dulu sudah tiada. Sudah tamat sekolah. Malah ramai juga bekas pelajar yang menegur saya bila berlaga bahu di UM atau di mana-mana juga.

Jam 7 malam, kami keluar dari MIBC dan menuju ke selatan. Insya-Allah, panjang umur akan datang lagi. Ah, berat rasanya mahu meninggalkan bandar nostalgia!

Read more...

Khamis, November 27, 2008

RFC

Adik ipar mahu memilih gadis Pulau Pinang sebagai teman hidupnya, lantas kami sekeluarga turut serta dalam rombongan meminang hujung minggu lalu. Saya tidak pernah memandu ke utara sehingga sejauh ini. Inilah kali pertama. Destinasinya di Sungai Dua. Satu fakta menarik yang harus saya akur sepanjang memandu adalah luasnya negeri yang dikuasai pembangkang. Dari Bangi hingga ke Tanjung Malim hingga ke Bukit Merah dan akhirnya tiba di Tol Juru.

Kami menginap di Hotel UiTM Permatang Pauh semalam dua. Majlis pertunangan berjalan lancar. Setelah semua selesai, ahli rombongan yang lain pulang semula ke Johor. Lalu kami tinggal sehari lagi untuk menjelajah daerah-daerah padat di sekitar Seberang Perai ini.

Namun saya lebih teruja untuk ke Sungai Petani. Susur keluar di Tol Sungai Petani Utara, ambil kiri, masuk ke Bandar Lagenda, kami menemukan premis RFC di seberang jalan.

RFC - Radix Fried Chicken. Ia adalah restoran makanan segera pertama bumiputera-Islami di bawah HPA. Halal menjadi keutamaannya. Dan kita tahu reputasi HPA yang memiliki kilang di Jejawi sebagai pengeluar produk Islami yang semakin meningkat naik kini. Motonya, jika tidak silap, 'mencari yang halal itu fardu'. Ia beroperasi dari jam 10-30 pagi hingga 11-00 malam.

Ramainya pelanggan di RFC memaksa saya berbaris selama 25 minit sebelum beroleh juadah yang diidamkan. Ramai juga yang berkopiah dan berjubah di dalamnya. Ketara, ayam herba gorengnya juga lebih ummppphhh daripada KFC!

Memo: Beruntung sekali penduduk Sungai Petani yang berdekatan dengan RFC. Yang jauh-jauh, terpaksalah masuk juga ke KFC atau McD. Kalau ke utara lagi, kami takkan lupa singgah di Sungai Petani!

Read more...

Khamis, November 20, 2008

SIAPA DAPAT MENEKA POTENSINYA?

Lebih seminggu lalu saya menerima satu e-mel mengejutkan daripada seorang editor PTS Millennia. Khabarnya, Salju Sakinah akan masuk kilang untuk cetakan keempat dalam seminggu dua ini. Syukur. Saya tidak terkata apa selain melafaz tahmid. Diulangcetak kali keempat setelah 7 bulan terbit adalah mengejutkan. Ia sesuatu yang luar biasa bagi saya. Benar. Sesuatu yang di luar duga.

Hakikatnya, tiga novel saya sebelum ini, meskipun menawarkan latar yang agak berbeza dengan novel-novel di pasaran, cukup sukar untuk habis di pasaran (walaupun sukar ditemui! - kecuali di Ujana Ilmu). Setakat ini, hanya Sesegar Nailofar yang "berjaya" diulang cetak. Yang lain-lain, untuk menghabiskan 3000 naskhah boleh menelan masa empat lima tahun barangkali.

Namun SS ini jelas berbeza. Barangkali perjalanan panjangnya yang berliku sebelum lahir sebagai sebuah novel dan buku juga membuatkan ia sedikit istimewa. Hanya "kami-kami" yang tahu betapa saya pernah hampir blank ketika menulisnya secara bersiri. Malah dua rumah penerbitan tidak jadi untuk "dijodohkan" dengan novel ini walaupun pernah "bertunang" beberapa bulan lamanya sebelum PTS Millennia datang menyapa mesra.

Ia bukan novel terbaik daripada saya. Namun saya berdoa, moga hayat novel ini akan panjang - lebih panjang daripada usia saya. Bukan setakat mampu berdiri dalam bentuk buku, tetapi dalam medium-medium lain juga. Ya, siapa dapat meneka potensinya?

Memo: Rekod cetakan Salju Sakinah sejak April 2008.

Read more...

Rabu, November 19, 2008

MAU KEKAL MUDA?

Apabila ikon bola sepak, David Beckham mengambil keputusan untuk menyertai AC Milan secara pinjaman selama beberapa bulan demi mengekalkan kecergasannya bagi merebut tempat dan meraih penyertaan ke-108nya dalam pasukan kebangsaan England, banyak pihak yang bersuara memberi komentar.

Ramai yang menyelar Milan yang dikatakan mahu mengambil peluang meraih keuntungan besar hasil jualan jersi merah-hitam Rossoneri bernombor 75 yang akan dipakai Beckham. Tidak kurang yang menganggap permainan Beckham tidak sesuai dengan corak permainan Milan. Malah ada juga yang meramalkan Beckham akan sekadar memanaskan bangku simpanan dan ditugaskan sebagai 'penjual jersi' kelab sahaja.

Namun, berdasarkan pemerhatian pakar kecergasan bola sepak, Beckham dilihat mengambil langkah bijak untuk terus bermain dalam tempoh yang panjang dengan menyertai Milan. Apa lebihnya Milan berbanding kelab-kelab ternama lain?

Khabarnya, kelab gergasi Itali tersebut memiliki sebuah 'makmal ajaib' yang dikenali sebagai Milan Lab yang berkemampuan mengekalkan kecergasan pemain. Pakar-pakar sains sukannya dikatakan menemui 'ramuan rahsia' bagi membolehkan pemain yang hampir menggantung but dan melepasi kemuncak prestasi meneruskan karier mereka, malah cergas seperti pemain muda. Makmal ini juga dikatakan berupaya mengesan kecederaan pemain yang mungkin akan menjadi lebih teruk (jika diturunkan bermain). Selain kajian terperinci terhadap but dan material jersi yang dipakai oleh pemain, ada diet tertentu disediakan untuk pemain bagi membolehkan mereka lekas pulih.

Buktinya, pasukan Milan sekarang purata umur para pemain utamanya sekitar 30 tahun! Sebut sahaja senarai bintangnya seperti Gattuso, Shevchenko, Seedorf, Dida, Inzaghi dan Nesta, semuanya berusia 30-an. Bahkan, kaptennya yang juga dianggap pemain bek kiri terbaik sepanjang zaman, Paolo Maldini masih aktif bermain sehingga kini walaupun hampir berusia 40 tahun. Mengikut rekod-rekod terdahulu juga, bintang-bintang utama Milan mencapai kemuncak tahap prestasi mereka sewaktu berusia pertengahan 30-an seperti Franco Baresi, Roberto Baggio, Cafu, dan George Weah.


Justeru, bagi Beckham yang pendapatan hasil penajaannya sahaja lebih tinggi daripada gajinya sebagai pemain, tahap fizikalnya menjadi keutamaan untuk dikekalkan. Cukup baginya mengekalkan kecergasan menerusi latihan dan diet khusus walaupun tanpa perlu bermain secara kompetitif. Bagaimanapun, jika dia berjaya meraih cap ke-108nya, itu bolehlah dianggap bonus.

Baca lanjut di sini dan di sini tentang Milan Lab.

Read more...

Ahad, November 16, 2008

KENDURI KARAOKE

Cuti bermula. Majlis walimah pun melata. Tengah hari tadi saya dan keluarga menghadiri majlis walimah di sebuah Felda. Jam 1 suku kami tiba di persimpangan lorong rumah yang mengadakan kenduri menyambut menantu. Dari jauh sudah kedengaran bunyi muzik yang kuat. Hati sudah rasa semacam.

Semakin dekat, semakin kuat bunyinya. Anak-anak saya tampak agak ketakutan. Sebaik sampai di halaman rumah pengantin, Irfan yang akan berusia 4 tahun minggu hadapan menangis. Takut dengan bunyi muzik yang begitu kuat. Isteri terpaksa menenangkannya. Di sebelah kanan rumah pengantin, ada bangsal kecil beratap kanopi yang menempatkan deejay jemputan dan alatan karaoke. Seorang lelaki sedang mendendangkan lagu asli di hadapan sebuah mikrofon yang didirikan sambil menghadap sebuah peti televisyen. Seumur hidup saya, tidak pernah saya menghadiri majlis walimah yang memasang pembesar suara sedemikian kuat. Dua buah speaker diletakkan di halaman rumah. Ini bising tahap melampau. Gegendang telinga saya berdengung dan saraf pendengaran saya tentunya terpaksa bekerja keras secara luar biasa.

Lalu saya menghampiri tuan rumah yang menjadi kenalan kami. Dia juga melangkah ke arah saya. Pak R namanya. Saya menjabat tangannya.

"Tahniah, bang, baru dapat menantu." Dia tidak mendengar apa yang saya ucapkan. Dua kali lagi saya mengulang ayat yang sama. Tidak dengar juga. Akhirnya kami sama-sama menganggukkan kepala. Saya pasti dia tidak mendengar apa yang saya ucapkan lantaran muzik yang terlalu bingit.

Kami mengambil makanan yang dihidangkan secara buffet. Nasi beriani yang dijamah memang enak, tetapi selera kami sudah lama pergi. Bunyi bising nyanyian dan karaoke terlalu mengganggu. Stres pula jadinya. Tanpa banyak bicara, kami sedikit tergesa-gesa menelan nasi. Hendak bercakap, suara tidak dengar. Jadi, yang paling afdal, beredar segera meninggalkan kenduri ini. Pencemaran bunyi di sini tidak elok untuk orang dewasa apatah lagi kanak-kanak.

Sempat saya berkata dalam bahasa Arab kepada isteri, "Qawiy jiddan (kuat sangat)."
Kalau kami bercakap dalam bahasa Melayu pun, tetamu di sebelah pasti tidak akan mendengar. Nyanyian seorang lelaki akhir 50-an saya kira cukup 'merosakkan' keadaan. Keseronokan mendendangkan lagu pop yeh-yeh barangkali membuatkan penyanyi bersuara sumbang itu lupa sebentar betapa kubur sudah tidak berapa lama lagi akan memanggilnya datang.

Namun kami hairan, tiada siapa pula yang menegur deejay agar memperlahankan sedikit volume karaokenya. Baik tuan rumah, mahupun jiran tetangga dan penduduk setempat kelihatan mereka biasa saja. Bagai tiada apa-apa. Seolah-olah kebisingan tahap melampau itu tidak mengganggu mereka. Yang nampak resah, hanyalah beberapa kerat orang luar seperti kami yang datang bertandang. Juga beberapa jemaah masjid berketayap putih yang saya lihat baru tiba dari masjid berdekatan sejurus menunaikan fardu Zuhur. Apakah mereka langsung tidak 'terjejas' seperti kami? Apakah telinga kami terlalu sensitif dan menghadapi masalah? Bagaimanapun akhirnya saya berfikir, barangkali mereka sudah biasa. Ya, barangkali.

Mengapa saya fikir sudah biasa? Maafkan saya jika kesimpulan begitu agak kasar bunyinya dan tidak dapat diterima oleh orang Felda. Namun, pengalaman saya masuk ke beberapa Felda di sekitar Segamat ini menyimpulkannya begitu.

Kegilaan terhadap karaoke ini sesuatu yang lumrah di Felda-Felda. Terutama golongan dewasa. Ada Felda yang memiliki enam kedai makan yang menawarkan karaoke sebagai tarikan. Dalam beberapa buah itu, ada kategorinya pula. Ada yang khas untuk golongan muda (sebagai pusat lagu kontemporari), ada yang khas untuk penggemar lagu-lagu retro, dan ada juga untuk yang khusus untuk 40-an ke atas (lagu asli dan pop yeh-yeh). Ada sesetengahnya terletak di betul-betul hadapan masjid dan mulai beroperasi pada jam 6 petang. Apabila maghrib, sama kuat pula bunyi muziknya dengan azan yang berkumandang. Dan jangan terperanjat jika pusat karaoke untuk warga 40-an ke atas biasanya juga dipenuhi oleh makcik-makcik yang sudah bercucu.

Ini realitinya. Nampak pelik tapi benar. Nampak cantik membangun maju dan berjaya tapi pengisian rohani penduduknya membimbangkan dan boleh jadi sifar. Justeru, memang tidak hairan jika kenduri kahwin seperti tadi menjadi hambar dan tidak bermakna bagi mereka jika tidak 'diserikan' dengan muzik yang menggegar!

Read more...

Jumaat, November 14, 2008

Menyorot Sastera.com di Berita Harian Semalam

Novel Dakwah pikul tugas bantu pembaca
oleh: Nazmi Yaakub

BLOG Zaid Akhtar Online di alamat http://www.myzaidakhtar.blogspot.com berkongsi impian penulisnya, Mohamad Yazid Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Zaid Akhtar untuk menjadikan penulisan novel dakwah sebagai usaha pengarang Muslim melaksanakan tuntutan amar makruf nahi mungkar, sekali gus membentuk generasi ulul albab.

Pengarang itu berharap karya dakwah yang dihasilkannya mampu mencapai sasaran menjadikan novel dakwah sebagai model kepada pembaca dengan mewujudkan watak protagonis pelajar Islam yang memiliki cita-cita tinggi dan kuat semangat Islam serta mempunyai sifat baik atau mahmudah, bijak bertindak dan sensitif dengan hal ehwal sekelilingnya.

“Dalam novel dakwah, watak sebegitu yang perlu ditonjolkan sebagai qudwah hasanah atau contoh yang baik agar pembacanya terkesan dengan bahan bacaan terbabit.

“Pembaca kontemporari bukan saja mesti peka dengan isu semasa dan nasib umat Islam di negara lain, bahkan harus prihatin dengan ancaman musuh Islam yang merosakkan umat Islam dengan ghazwul fikri (serangan pemikiran) dan ghazwul tsaqafi (serangan budaya) yang sangat terancang,” laporannya dalam laman terbabit.

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Bahasa Arab) daripada Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan, ini mengakui masyarakat sering dilambakkan dengan karya berbau cinta ‘asyik-masyuk’, hanyut tenggelam dan melalaikan sehingga karya berunsurkan dakwah perlu hadir sebagai alternatif kepada pembaca.

Sungguhpun demikian beliau tidak melarang mereka yang berkecenderungan menghasilkan novel cinta, beliau mengingatkan agar karya tampil dengan kisah cinta yang terkawal dan selari dengan batas Islam seperti tidak bergaul bebas, patuh ibu bapa dan taat memelihara syariat.

Sebagai penulis yang berpengalaman menghasilkan karya berunsur Islam, Zaid Akhtar memberi beberapa panduan yang boleh digunakan bagi menghasilkan teks bermutu dalam genre ini dengan menyelitkan pemikiran dan ilmu yang berupaya membangunkan diri serta rohani pembaca.

“Karya dakwah yang mempunyai jati diri Islam dan Melayu di negara ini mampu bertindak sebagai perisai kepada pembaca genre ini dalam menghadapi serangan budaya dan pemikiran buruk yang bertali arus daripada pelbagai arah,” katanya.

Baca lanjut

Read more...

Khamis, November 13, 2008

HMMM ... DAH AGAK DAH

KOTA BAHARU: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan sejak 2003 tidak gagal dan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini, membuktikannya, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Ini bukti PPSMI ini tidak gagal tetapi saya tidak katakan dasar ini sudah lengkap atau tepat dan ia boleh diperbaiki," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Paloh Pintu Gang di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian mengulas desakan termasuk daripada tokoh akademik yang mahukan subjek Sains dan Matematik kembali diajar dalam Bahasa Malaysia bagi mengelakkan bahasa itu terpinggir.

Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata pada UPSR lalu, 57 peratus calon telah menjawab soalan menggunakan Bahasa Inggeris dan ia membuktikan calon juga selesa untuk menggunakan bahasa tersebut dan ia adalah satu kebanggaan kementerian.
"Jauh sekali untuk kita meminggirkan Bahasa Malaysia ini tetapi pada masa yang sama apa yang Kementerian lakukan adalah mahukan pelajar turut mempraktikkan Bahasa Inggeris demi masa depan mereka," katanya.

Hishammuddin berkata rumusan terhadap keputusan UPSR itu akan dibawa ke persidangan meja bulat yang akan diadakan nanti dan dibentangkan kepada anggota persidangan itu sebelum dibawa ke Kabinet.
"Dasar ini boleh ditukar tetapi saya mahukan semua pihak bersepakat dan tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak selepas ini. Apa pun juga saya minta semua pihak tidak beremosi dalam menyuarakan pendapat," katanya.

Sumber asal Berita Harian.
Rajah hiasan di atas adalah analisis keputusan UPSR di sebuah sekolah.

Memo: Timbul pertanyaan: Apakah graf keputusan peperiksaan tidak boleh dinaikkan atau diturunkan? Ya Allah, selamatkanlah bangsaku dan Bahasa Melayuku dari tangan-tangan manusia berkepentingan duniawi !

Read more...

Selasa, November 11, 2008

ERTI KONVOKESYEN

Seperti watak Sumayyah dalam Salju Sakinah, saya tidak pernah menghadiri majlis konvokesyen. Sungguh. Semasa tamat studi dulu, iaitu sekitar Januari 2000, saya terus pulang ke Malaysia sejurus beroleh transkrip. Majlis konvokesyen universiti pula diadakan pada awal musim panas - sekitar pertengahan Jun. Ijazah saya wakilkan kepada kawan untuk menguruskannya.

Justeru majlis palin
g grand (mungkin tidak bagi sesetengah individu) sepanjang hidup yang pernah saya hadiri hanyalah majlis penyampaian hadiah-hadiah sastera di peringkat kebangsaan mahupun negeri. Meskipun bukan sehebat konvo, namun beberapa hadiah yang saya terima itu tetap mempunyai kenangannya tersendiri. Tetap mendapat ruang yang istimewa dalam memori diri.

Bagaimanapun, baru-baru ini saya cuba menghadiri sebuah majlis konvokesyen. Bukan pada peringkat IPT, tetapi peringkat PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) Kawasan Segamat. Nailofar (Nil) puteri sulung saya, dikhabarkan oleh gurunya, akan menerima hadiah dalam majlis konvo tersebut. Gembiranya hati mendengar pertama kali anak sendiri akan menerima hadiah adalah pengalaman baru bagi saya. Sama sekali berbeza dengan rasa girang apabila diri sendiri diberitakan akan menerima hadiah daripada TPM, PM atau putera raja sekalipun.

Saya lekas terkenang semasa berumur enam tahun dahulu. Ketika itu saya bersekolah tadika di Jalan Bulang (sekarang tapak sekolah itu tiada lagi sebaliknya dijadikan stesen bas dan teksi Endau). Pada penghujung tahun 1983 itu, saya menerima hadiah murid kedua terbaik daripada Allahyarham YB Kadri Sabran. Saya masih ingat, tempat pertama dimiliki Siti Zariah Tahir dan ketiga oleh Aifa Sulaiman. Barangkali mak (yang baru setahun kehilangan ayah) ketika itu tersenyum bangga seperti saya sekarang. Bezanya kali ini, Nil menerima hadiah murid terbaik kategori 5 tahun bagi PASTI seluruh Segamat.


Namun malangnya tetap ada. Saya gagal menghadiri majlis konvokseyen atau disebut juga Ihtifal PASTI itu. Sabtu lalu, saya ada tugasan dari jabatan. Saya terpaksa ke Johor Bahru bagi mempromosi kelas tingkatan enam aliran agama untuk tahun 2009. Tentunya Nil agak hampa dengan ketidakhadiran saya. Hanya ibunya dapat menemani menyaksikan detik paling bersejarah bagi dirinya sepanjang lima tahun usianya itu.

Read more...

Jumaat, November 07, 2008

SEHARI di DADA SINGA

Dengan niat berdakwah dan menyampaikan mesej-mesej Islam, saya tidak pernah mensasarkan sesebuah "destinasi" dalam penulisan saya. Bagi saya, segala kelebihan adalah anugerah Allah. Haaza min fadhli rabbi. Saya terima seadanya. Hadiah atau anugerah duniawi yang datang saya anggap rezeki. Jika ada, adalah. Jika tiada, saya tetap redha dalam syukur.

Namun, kadang-kadang, malah selalunya, apa yang tidak pernah kita hasratkan, menjengah tanpa diduga. Baru-baru ini, ada pembaca karya saya di seberang Tambak menghubungi menerusi e-mel. Tentunya saya terkejut. Karya-karya saya yang tidak seberapa itu mendapat perhatian sebilangan saudara serumpun kita. Mereka mengundang saya ke sana - dengan tujuan mengeratkan silaturahmi pastinya. Tambah terpinga saya. Saya belum pernah ke Singapira. Bagaimanapun, saya akhirnya muwafik meskipun ada bengkel menjawab Bahasa Arab calon-calon STPM yang mesti saya kendalikan di sekolah pada petang Ahad.

Lalu, pagi Sabtu, 1 November lalu, saya berpagi-pagi lagi menaiki bas ke sana. Naik Cepat Ekspres jam 7.40 pagi di Stesen Bas Segamat, tiba di Larkin jam 10 pagi. Tanpa berlengah saya memanjat pula tangga bas Singapore-Johore Express (SJE) dengan tambang RM2.50 sebelum tiba di Queen Street setelah melalui dua rutin imegresen yang pantas.

Saya memang bercadang sekadar menghabiskan sehari suntuk di Bumi Temasek. Dijemput oleh Surya dan Mus'ab - graduan NUS - dengan teksi, langsung makan tengah hari di Wishry Padang Restaurant di Kandahar Street. Sebelum itu sempat saya bergegas ke pusat pengurup wang untuk menukar RM100 yang diganti dengan 41 Dolar Singapura. Mahalnya!

Kemudian kami ke Wardah Bookstore yang dilatari irama tarian sema para sufi berhampiran Masjid Sultan. Bersembang mesra sambil melanjutkan taaruf, kami langsung ke Rumah Seni Singapura di Parliament Lane sejurus dijemput oleh Cikgu Karmin dengan keretanya. Berjalan dengan anak-anak muda pertengahan 20-an tentu sahaja panjang langkahnya. Banyak juga lokasi yang kami lewati, malah sempat juga merasai kesesakan menaiki MRT.

Sejurus bersolat maghrib di rumah Mus'ab, kira-kira jam 8 suku malam saya dihantar semula ke Queen Street oleh Mus'ab dan Surya. Berpisah dan bergegas menaiki SJE. Tiba di Larkin jam 9.45 malam. Saya mengambil bas terakhir Cepat Ekspress ke Segamat iaitu pada jam 10.30 malam. Jam 1.35 pagi saya tiba di rumah!

Gambar atas: Bangunan jam besar yang berwarna putih itu menurut Cikgu Karmin adalah jam yang sama dalam filem Labu-Labi.
Gambar bawah: Di Rumah Seni Singapura bersama Surya dan Cikgu Karmin.

Memo: Terima kasih kepada Surya Darma, Mus'ab, Cikgu Karmin, Azhar, Mukhtar dan SK yang seperti 'sahabat lama yang terpisah jauh tetapi baru bertemu semula'.

Read more...

Rabu, November 05, 2008

MANUSIA PALING BERKUASA di DUNIA?

"Saya yakin presiden AS mempunyai pengaruh besar dan saya berharap Obama akan menggunakan pengaruh positif ini untuk memastikan isu ini (Afghanistan, Iraq, Palestin, dan Iran) diselesaikan secepat mungkin," kata Pak Lah.

"Apa yang diharapkan semoga Obama membawa harapan baru rakyat di seluruh dunia, sesuai dengan imejnya yang merupakan orang kulit hitam pertama yang bakal menjadi Presiden Amerika," ujar MB Kelantan

“Jika Obama menang, beliau akan melawat sekolah kita,” umum Timbalan Pengetua sekolah lama Obama di Menteng, Indonesia.

Baca Profil Obama

Read more...

Jumaat, Oktober 31, 2008

Liqa’ Mahabbah Eidulfitri

LIQA’ Mahabbah Eidulfitri Alumni Jordan akan diadakan pada 1 November 2008 pada hari Sabtu di Dewan al-Marbawi (mudarraj) Institut Perguruan Islam, Bangi jam 4.30pm - Maghrib.

Ikhwah dan akhawat alumni Jordan dijemput hadir. Sahkan kehadiran menerusi sms kepada al-Akh Rahimi Saad 013 2444343 atau al-Akh Fazdi Harun 013 3445268.

Pesan al-Akh Fazdi, "Juadah anda sangat dialu-alukan untuk dibawa ke majlis." Semoga kehadiran dapat menyemarakkan lagi ukhuwah. Mohon dipanjang-panjangkan.

Memo: Laman sesawang Alumni Jordan boleh dilayari di http://alumnijordan.wordpress.com/ masih lagi baru barangkali. Apapun tahniah kepada pengendali.

(Iklan ini dipetik dari blog Ibnu Ahmad Al-Kurauwi )

Read more...

Khamis, Oktober 30, 2008

IMPIAN-IMPIAN dalam PENULISAN NOVEL DAKWAH

Impian kita memang banyak. Namun dengan niat berdakwah seraya melangsungkan tuntutan amar ma’ruf nahi munkar dan pembentukan generasi ulul albab kita berharap karya-karya dakwah yang dihasilkan mampu mencapai tiga sasaran berikut:

Novel Dakwah sebagai Model
Kesemua protagonis dalam novel-novel kita setakat ini ditampilkan sebagai seorang pelajar Islam yang bercita-cita tinggi, kuat semangat Islamnya, memiliki sifat-sifat mahmudah, bijak bertindak dan sangat peka dan sensitif dengan ehwal sekelilingnya.

Bagi kita, dalam sebuah novel dakwah, watak sebegitulah yang perlu ditonjolkan sebagai qudwah hasanah yang kita mahukan tegal pembacanya sedikit sebanyak akan terkesan dengan bahan bacaannya.

Kita kira pembaca kontemporari mesti peka dengan isu-isu semasa, nasib umat Islam di tempat lain, malah harus prihatin dengan ancaman musuh-musuh Islam yang merosakkan umat Islam dengan ghazwul fikri (serangan pemikiran) dan ghazwul tsaqafi (serangan budaya) yang sangat terancang.

Novel Dakwah sebagai Alternatif
Masyarakat kita sudah terlalu banyak dilambakkan dengan karya-karya yang berbau cinta asyik-masyuk, hanyut tenggelam, dan melalaikan, justeru harus ada karya dakwah yang lebih baik yang hadir sebagai alternatif kepada pembaca. Kalau menulis karya berunsur cinta/melankolia sekalipun (baca: cinta sebagai bumbu, bukan sebagai mauduk utama), biarlah kisah cinta yang terkawal dan selari dengan batas-batas Islam – mengutamakan nilai-nilai Islam seperti tidak bergaul bebas, patuh ibu bapa, dan taat memelihara syariat.

Novel Dakwah sebagai Perisai
Bukan sekadar alternatif, karya dakwah harus diisi dengan pemikiran dan ilmu yang berupaya membangunkan diri dan rohani khalayaknya. Karya dakwah yang berjatidiri Islam dan Melayu juga mampu bertindak sebagai perisai kepada masyarakat yang menghadapi serangan budaya dan pemikiran yang bertali arus dari pelbagai jihat.

(Diubahsuai daripada kertas kerja Kolokium Citra Dakwah dalam Novel Popular, 21 Ogos 2008, Puri Pujangga1, UKM)


Read more...

Isnin, Oktober 27, 2008

AKHIRNYA ... tiada yang kekal

Read more...

Jumaat, Oktober 24, 2008

MERDU YANG SEBENAR

Subhan Allah. Memang lemak merdu. Meskipun tergolong orang kurang upaya, tetapi gemersik suaranya memang luar biasa. Memukau. Memikat. Menusuk. Inilah merdu yang sebenarnya, saya kira. Inilah bakat yang sebetulnya. Inilah juara yang selayaknya. Bukan kerana aura. Bukan kerana bijak memainkan simpati audiens. Sungguh, saya menanti-nanti album sulung 'penasyid' berbakat besar dari hujung benua Asia ini.

Namun dalam penantian itu, sempat juga membeli VCD yang diterbitkan oleh beliau sendiri berjudul Azhan Atan: Live in Konsert.

Di dalamnya terdapat beberapa rakaman persembahannya dalam road-shownya sepanjang Ramadhan dan Syawal di beberapa negeri serta sedutan program realiti TV - Akademi Nasyid - yang disertainya di TV9 dulu.

Memo: Suara Azhan malah jauh lebih lunak dan menusuk berbanding ikon bersuara 'jantan' yang kadang-kadang kurang sempurna lenggok 'burdah'nya.

Baca catatan seorang ustaz tentang Azhan di sini.


Read more...

Ahad, Oktober 19, 2008

MENARIK TAPI TAK ELOK UNTUK JANTUNG

Menonton perlawanan bola sepak adalah satu kegemaran. Saya jarang sekali menonton TM Liga Malaysia yang rendah kualiti permainannya. Biasanya saya menonton pada hujung minggu beberapa liga di Eropah, terutama Liga Perdana Inggeris (EPL). Namun tidak semua perlawanan menjadi pilihan, kecuali yang membabitkan pasukan Liverpool.

Liverpool - pasukan yang disokong sejak kecil - sudah 19 tahun tidak menjuarai Liga Inggeris. Sentiasa dibayangi oleh kelab-kelab kaya seperti Manchester United, Chelsea dan Arsenal. Barangkali badi jersinya yang berjenama minuman haram yang menjadi penaja sejak 1991. Namun kebangkitan kelab berjersi serba merah yang merupakan kelab paling berjaya di England ini mulai tercetus sejak kehadiran Rafael Benitez, pengurusnya yang berbangsa Sepanyol. Setelah beberapa tahun menunjukkan peningkatan, nampaknya musim ini The Reds kian terserlah ciri-cirinya untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama hampir dua dekad.

Setelah lapan perlawanan EPL berlangsung musim ini, The Reds belum lagi kalah malah mengiringi Chelsea mengepalai kedudukan liga. Paling menarik apabila kelab ini menunjukkan karekter sebuah pasukan unggul dengan 'bangkit setelah ketinggalan' sebanyak lima kali pada musim ini. The Reds menang setelah ketinggalan kepada Boro, Man Utd, Manchester City dan Wigan. Malah dalam perlawanan di tempat lawan dalam Liga Juara-juara turut mengejar dan menang 2-1 setelah ketinggalan kepada Marseille.

Perlawanan-perlawanan sebegini memang menarik ditonton, tetapi agak mendebarkan dan tidak baik untuk jantung. Begitu kata Benitez setiap kali ditemubual sejurus perlawanan. Awal bulan ini, Pool bangkit untuk menang secara dramatik dengan keputusan 3-2 setelah ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama di Man. City.

Dan semalam, Wigan pula menjadi mangsa kelima. Setelah kelab itu mendahului dua kali, Pool mula mempamerkan aksi hebat selepas rehat untuk menang 3-2. Namun minggu depan menjanjikan perlawanan yang lebih mendebarkan apabila The Reds akan bertemu pendahulu liga, Chelsea yang belum pernah kalah musim ini ( juga belum pernah kalah sebanyak 86 perlawanan liga berturut-turut) di Stamford Bridge.

Read more...

Jumaat, Oktober 17, 2008

SELEPAS 6 BULAN

Alhamdulillah. Selepas 6 bulan Salju Sakinah berada di pasaran, sambutannya cukup memberangsangkan dan semakin menggalakkan. Maklumat yang saya terima bulan lalu, novel ini sudah masuk cetakan yang ketiga.

Terima kasih atas sokongan para pembaca, terutama para pengekor SS sejak disiarkan secara bersiri di Utusan Malaysia sepanjang 2005 dulu.

Berikut adalah senarai Top Seller buku terbitan PTS dan rekod jualan bagi tempoh 12 bulan lalu (1 Oktober 27 - 30 September 2008).

1. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman - RM211,714.88

2. Quran Saintifik - RM168,020.18

3. Motivasi Alihan Pelajar - RM130,123.06

4. Minda Muslim Super - RM120,546.28

5. Tip-Tip Cemerlang daripada Quran - RM112,815.17

6. Bacakan Saya Satu Cerita - RM101,477.60

7. Salju Sakinah - RM95,849.36

8. Dato' Dr. Haron Din: Menjawab Persoalan Fiqah Harian - RM84,334.00

9. Ahmadenejad Singa Islam - RM84,178.69

10. Dear Yayah 4 - RM83,852.15

Memo: RM yang disebut di sini adalah selepas ditolak diskaun 35% kepada agen.

Sumber: Blog Pengerusi PTS


Read more...

Khamis, Oktober 16, 2008

SETELAH SEBULAN, ADAKAH ANDA BERJAYA?

Seorang kawan saya, dulunya perokok aktif yang tegar, kini berjaya menamatkan ketagihannya. Menurutnya satu produk (baca yang di bahagian bawah papan tanda) banyak membantunya. Namun kita percaya, niat dan keazaman yang jitu adalah pemangkin sebetulnya. Tahniah, kawan.

Dan kini, jika kita melalui Lebuhraya Utara-Selatan, selepas susur keluar ke Pagoh menuju ke Yong Peng Utara, kita akan menemukan papan tanda ini di sebelah kiri jalan. Kawan saya ini bukan sahaja berjaya berjimat mengurangkan pembaziran, malah kini mulai terkenal sejurus bergelar model produk yang dikatakan telah membantunya. Moga istiqamah.

Read more...

Sabtu, Oktober 11, 2008

DATUK PAGIL HAI

MELAKA 10 Okt. - Pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan merupakan antara penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob ke-70, esok.

Dengan penganugerahan darjah DMSM itu, Shah Rukh Khan akan bergelar DATUK.- Utusan.

Memo: Memang hamqa'. Harapnya tiada lagi adegan manja 'terlampau' laga-laga pipi dengan isteri pembesar.

Read more...

Rabu, Oktober 08, 2008

AKHIRNYALAH

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada perhimpunan agung parti Mac tahun depan dan kemudiannya akan melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional.

Memo: Memang sedih dan amat pilu apabila mengenangkan PM sebersih dan sealim Pak Lah hanya dapat berkhidmat sebagai kepala negara tercinta selama 5 tahun 5 bulan sahaja. Pak Lah cucu ulama yang benci korupsi, anti ISA, anti Amerika, malah pencetus Islam Hadhari pula. Jauh macam langit dengan bumilah jika nak dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin sebelumnya yang berfikrah sekular, sibuk mengumpul harta untuk anak dan menantu, dan mengayakan kroni sahaja. Inilah satu kehilangan besar dalam negara yang perlu dicatat dalam buku-buku sejarah. Mungkin angka 58 adalah angka yang tidak membawa tuah kepada pemimpin yang sesuci Pak Lah. Inna lillah.


Read more...

Ahad, Oktober 05, 2008

SEBUAH LAGI NOVEL ISLAMI sebagai ALTERNATIF

Sebagai graduan agama, kemampuan Salina Ibrahim menampilkan citra muslimah mujahidah tabah dalam novel-novelnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Dan sewajarnya novel syariah-compliant seperti inilah yang harus dimiliki sebagai alternatif kepada novel-novel pop di pasaran. Bukan yang Pertama pasti berupaya memenuhi citarasa pembaca yang dahagakan motivasi dan inspirasi.

- zaid akhtar



Memo: Novel ini pernah diterbitkan secara bersiri di Ruangan Agama Utusan Malaysia sepanjang 2007

Read more...

Selasa, September 30, 2008

Selamat Hari Raya Eidil Fitri.
Maaf Zahir Batin.
Kullu 'aam wa antum bi alfi khayr
.


Ikhlas dari nurani kami:

Yazid@Zaid Akhtar & Andik Siti Hadijah

Nailofar, Muhammad Irfan, dan Amal Hayati

Read more...

Isnin, September 29, 2008

MINAL A'IDIIN WAL FA'IZIIN

Alhamdulillah, sampai juga niat untuk 'berpuasa' selama sebulan daripada menulis blog. Sempena ketibaan Syawal yang mulia ini, saya ingin membuat sedikit pembetulan atas kesilapan yang sangat berleluasa dalam sebutan kita.

Barangkali kita sangat biasa mendengar sebutan "MINAL AIDIL WAL FAIZIN". Akan tetapi sebutan itu sebenarnya tersasar. Yang setepatnya "MINAL A'IDIIN WAL FA'IZIIN" من العائدين والفائزين.

'A'idin maknanya golongan yang kembali. Mufradnya a'id عائد. 'A'idin menurut nahu Bahasa Arab adalah jamak muzakkar salim yang majrur dengan huruf ya. Fai'zin pula golongan yang berjaya atau menang. Mufradnya fa'iz فائز . Fa'izin juga jamak muzakkar salim yang majrur dengan huruf ya. Jadi, "Minal a'idiin wal fa'iziin" bererti "daripada golongan yang kembali (kepada fitrah) dan berjaya/menang".

Habis bagaimana pula dengan sebutan 'Aidil itu? Kalimat 'Aidil' adalah cantuman "aid" عيد dan "al" ال. Selepas “al” mestilah didatangkan isim bukannya huruf “wau”. Kalimat “aidil” hanya boleh digunakan bila adanya mudhof ilaih seperti kalimat “Fitri” فطر atau “Adha” أضحى. Dari situ, barulah terbit kalimat 'Aidil Fitri عيد الفطر dan 'Aidil Adha عيد الأضحى.

Kerana ia berbentuk doa, maka seeloknya kita menyebutnya dengan betul. Kalau didengar oleh orang Arab, tercengang-cenganglah mereka agaknya mahu memahamkannya. Saya kira, kesilapan ini berpunca daripada lagu-lagu raya yang biasa kita dengar menjelang lebaran. Enak disebut tidak semestinya betul. Justeru, marilah sama-sama kita mengubahnya.

من العائدين والفائزين

Read more...

Isnin, September 01, 2008



Read more...

Sabtu, Ogos 30, 2008

Segalanya PASti

Begitu judul lagu nasyid baru yang didendangkan sebentar tadi oleh juara sulung Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan. Tahniah! Mengejutkan juga apabila melihat Azhan mendakap para VIP di atas pentas termasuk Datuk Zahid Hamidi ketika penyampaian hadiah.

Azhan adalah satu-satunya peserta OKU dan cukup merendah diri. Menurutnya sebelum ini, "Bukan habuan RM100 ribu (hadiah utama Akademi Nasyid) itu yang saya kejar. Sebaliknya, inilah cara terbaik untuk kita mendekati golongan muda untuk menyampaikan mesej. Hendak mengajak mereka ke surau atau masjid, mungkin agak sukar kini. Justeru, menerusi program seperti inilah kita mampu mengajak mereka ke arah kebaikan."

Katanya lagi, "Hiburan itu suatu seni. Paling penting penyampaian kita dalam memberikan hiburan berguna. Setiap persembahan yang dilakukan, biarlah mempunyai mesej di dalamnya. Bukan setakat hubungan mata yang perlu ada di antara penyanyi dengan penonton, bahkan hubungan hati juga penting sekali.

Selain itu, Azhan juga mengetuai para pemuda yang cintakan Islam di Tanjung Piai, Pontian.

Untuk lebih mengenali Azhan, sila layari blog peribadi beliau di sini. Atau untuk menonton persembahannya, boleh juga klik di sini.

Memo: Gambar Azhan bersama sahabat dan peminat.

Read more...

Khamis, Ogos 28, 2008

BILA OGOS MAMPIR DAN PERGI

OGOS datang dan hampir berangkat pergi. Selain mengingatinya sebagai bulan merdeka, saya kerap merenung kembali perjalanan diri setiap kali tibanya bulan ini. Tanggal 1 Ogos lalu, bermakna genaplah 7 tahun saya bertugas menabur bakti di sekolah ini.

7 tahun yang terasa sekejap sebetulnya bukanlah perjalanan yang pendek saya kira. Di sinilah saya menikmati bahagia - berumahtangga dan beroleh tiga cahaya mata. Saya kira lebih sepertiga usia, saya habiskan di daerah Segamat ini, lebih tepat lagi di SMKA Segamat.

Saya masih ingat lagi tarikh 26 Disember 1989, hari pertama saya mendaftar di sekolah bertuah ini untuk masuk ke tingkatan satu. Terasa masih baru hari itu. Kali pertama bersua Ustaz Paiman Jemo, pengetua sulung sekolah ini. Kemudiannya bagai tanpa sedar lima tahun berlalu. Itulah fasa pertama saya di sini. Sebagai pelajar.

Sementara fasa keduanya menyusul enam tahun kemudian. Setelah saya meninggalkan daerah ini pada 1995 untuk melanjutkan pengajian ke Jordan, saya sendiri tidak menyangka akan kembali lagi. Lalu bermulalah fasa keduanya dengan saya menjadi tenaga pengajar di sini mulai 1 Ogos 2001.

Kini 7 tahun berlalu. Banyak kenangan tersimpan. Padat pengalaman terhimpun. Malah teman-teman akrab juga sudah ramai yang berangkat pergi. Sama ada berhijrah sekolah mahupun menjawat jawatan di tempat baru. Kadangkala terasa sepi. Suasana sudah tidak sama.

Saya sedari itu. Usia makin bertambah. Zaman sudah berubah. Sampai kapankah saya harus di sini? Serasanya cukuplah khidmat tidak seberapa yang saya taburkan di daerah yang segar amat ini.

Jauh di dasar hati, saya sedar; meskipun sayang, saya perlu berhijrah. Meskipun payah, saya mesti bergerak lagi. Saya harus mencari angin baru. Menghirup iklim baru. Cuma masa dan ketikanya saya tidak pasti. Entah bila.

Read more...

Rabu, Ogos 27, 2008

SALJU SAKINAH lahir daripada RISIK?

Barangkali kebanyakan pembaca tidak mengesannya, namun beberapa pembaca yang mengekori karya saya sejak dahulu menyedari bahawa kira-kira 10 tahun lalu saya pernah menulis sebuah cerpen berjudul Risik. Cerpen ini ditulis di rumah sewa saya, Darul Ulum di pinggiran kampus Universiti Yarmouk, Irbid. Tersiar dalam majalah Muslimah edisi Ogos 1998.

Risik adalah cerpen pertama saya yang tersiar di media sejak 'bergelandangan' ke Dataran Syam mulai Ogos 1995. Risik juga disiarkan oleh suara kampus pelajar Johor, Tanjung Puteri tidak lama kemudian. Cetusan idea pertama Risik berasal daripada ayat ini:

“Oleh itu hendaklah keluar dari tiap-tiap golongan di kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu agama, supaya memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Tentunya ayat di atas boleh sahaja dikaitkan dengan peranan golongan agamawan Timur Tengah apabila pulang ke tanah air, lantas ia saya lanjutkan dengan lebih jauh ke dalam Salju Sakinah.

Malah beberapa pembaca prihatin yang setia mengikuti siri-sirinya di Utusan Malaysia sepanjang 2005 dahulu pasti menyedari bahawa saya ada menyelitkan fragmen Risik ke dalam Salju Sakinah pada sirinya yang berjudul Mimpi yang Panjang. Namun, semasa mengedit kembali novel bersiri itu sebelum dibukukan, saya terpaksa mengambil keputusan menggugurkan siri tersebut demi mengukuhkan lagi struktur naratifnya.

Untuk membaca cerpen Risik, boleh klik di sini.

Read more...

Ahad, Ogos 24, 2008

MENGAPA IHYA' ULUMUDDIN?

Saya bukanlah pakar bahasa Arab. Tetapi saya melihat penggunaan ini begitu berleluasa dan saya selalu rasa tidak selesa. Serasa-rasanya - oleh saya yang jahil ini - sebutan yang tepat adalah IHYA' ULUMIDDIN. Bukan Ihya' Ulumuddin sepertimana yang kita biasa baca, dengar, dan sebut. Bagaimanapun ia sudah menjadi kesilapan yang berleluasa dan berlarutan. Malah kesilapan yang tidak disengajakan ini juga melarat hingga ke judul-judul buku.

Perkataan ULUM menurut ilmu qawaid nahwiyyah berada dalam kedudukan mudhaf ilayh, maka MIMnya majrur dengan kasrah (baris bawah). AD-DIN pula mudhaf mudhaf ilayh. Juga majrur dengan kasrah.

Mungkin kita boleh sama-sama baiki sebutan nama kitab tersohor Hujjatul Islam itu selepas ini.

Read more...

Sabtu, Ogos 23, 2008

SEPETANG di UKM

Pagi Khamis. Sejurus menghadapi PTK yang entah bila akan ditalqinkan, saya berkejar ke UKM, Bangi untuk memenuhi satu undangan. Sebetulnya, saya tidak pernah diundang berbicara tentang sastera atau penulisan di mana-mana IPT. Saya kira inilah kali pertama diminta berbicara tentang pengalaman, tentang cabaran, tentang harapan dalam penulisan novel dakwah di hadapan para peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan penulis. Terima kasih kepada pihak IKRAB, UKM di bawah pimpinan Prof. Dr. Siti Rugayah Tibek yang sudi mengundang saya ke Kolokium Citra Dakwah dalam Novel Popular.

Mengapa Pengarang Harus Berdakwah?

Sebagai penulis yang terdidik dalam jurusan agama – seboleh mungkin – saya harus menjulang Islam dan berdakwah dalam penulisan saya. Peranan kita sebagai khaira ummah selalu singgah di telinga. Sebagaimana firmannya:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah (Ali Imran : 110).

Justeru, saya melihat amar ma’ruf nahi munkar adalah tuntutan yang utama, yang perlu dilaksanakan oleh setiap dai’e, yang perlu diterjemahkan oleh setiap penulis Islam dalam penulisannya. Inilah yang kerap ‘menganggu’ saya setiap kali berhadapan tugasan menulis ini. Lantaran peranan melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar ini bukan sahaja terpikul di bahu pihak berkuasa atau pemerintah, tetapi setiap yang bergelar khalifah.

Selain itu, saya juga seringkali disedarkan betapa penulis Islam harus menjadi manusia ulul albab - iaitu manusia yang berzikir dan berfikir. Saranan ini sangat jelas dalam ayat 191 surah Ali Imran yang berbunyi:

Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Saya kira dua ‘tuntutan’ itu sudah cukup untuk mewajarkan penulis berdakwah menerusi pena dengan menulis karya-karya yang menuju ke arah pelaksanaan kedua-duanya. Mungkin destinasinya dilihat sangat jauh, tetapi sekurang-kurangnya penulis sudah berusaha berdasarkan kemampuan yang ada.

(Petikan kertas kerja Dari Nailofar ke Impian di Jaring: Pengalaman Dakwah Lewat Novel)

Read more...

Jumaat, Ogos 22, 2008

Kenangan Yarmouk dalam Salju Sakinah

Salju Sakinah membawa saya kembali ke alam universiti sebagai seorang siswa. Lebih tepat lagi, ia menyebabkan saya mengimbau kembali kenangan dan nostalgia sebagai seorang siswa di Universiti Yarmouk, Jordan dulu (1996-2000). Walaupun watak-watak utama dalam novel ini merupakan para siswi (atau boleh dipanggil para ustazah), tetapi kehidupan sebagai seorang siswa di sana banyak persamaannya walaupun berbeza jantina.

Baca lanjut di sini.

Memo: Ada juga teman-teman sekampus di Universiti Yarmouk dulu yang sudi membaca novel saya. Barangkali nostalgia di sana masih basah dan segar, lantas novel ini lekas menyuburkannya semula. Kepada teman-teman seUrdun, terima kasih. Moga ukhuwah dan dakwah kita berterusan.

Read more...

Khamis, Ogos 14, 2008

USAHLAH TERLALU MENGAGUMI

IPOH 14 Ogos - Perwakilan Dewan Pemuda Pas mahu pemimpin dan ahli parti itu berhenti mengagung-agungkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga mengenepi dan menafikan kebolehan serta keupayaan kepimpinan mereka sendiri.

Ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Pemuda, beberapa perwakilan mahukan supaya pemimpin utama Pas lebih ditonjolkan dan diberi peranan dalam pakatan pembangkang termasuk menjadi Perdana Menteri jika impian membentuk kerajaan pada 16 September ini menjadi kenyataan.

Menurut mereka, sikap segelintir pemimpin Pas yang terlalu mengagumi dan mengagungkan Anwar seolah-oleh tidak mengiktiraf keupayaan kepimpinan ulama dalam Pas.

Wakil Dewan Pemuda Pas Selangor, Zulkifli Ahmad berkata, jika pemimpin dari parti lain dalam pakatan pembangkang yang menerajui negara, dibimbangi perjuangan Pas yang berlandaskan Islam akan dipinggirkan.

Memo: Tentunya ahli Pas melihat barisan pimpinan mereka apa kurangnya. Ada yang hebat-hebat dan perlu ditonjolkan. Untuk lebih mengenali, mungkin buku di sebelah ini ada jawapannya. Biografi Tok Guru - buku yang ditunggu-tunggu oleh sekian ramai pengagum Tuan Guru MB Kelantan juga para pendukung gerakan Islam. Khabarnya, ia sedang melalui proses-proses akhir tetapi sudah 5 ribu naskhah ditempah oleh ejen pengedar. Bakal diterbitkan oleh PTS Millennia.

Klik sini untuk mengetahui perkembangan buku ini.

Read more...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP