Rabu, Januari 23, 2008

BILA HAJI DOT DOT TERLUPA TAWAF WIDA'


Tatkala pulang ke kampung hujung minggu lalu, saya sempat menghadiri majlis bacaan Yaasin di rumah seorang saudara. Sesekali dapat menghadiri majlis sebegitu dan bertemu saudara-mara memang seronok. Bukan selalu dapat bertukar khabar dan cerita pada zaman global yang memang dipenuhi dengan kesibukan dan pelbagai.

Namun dalam seronok dapat bersua berkumpul begitu, saya sempat menjeling ke lengan kiri seorang haji @ pesara ustaz. Ada semacam jam tangan atau gelungan di pergelangan tangan kirinya. Tetapi di pergelangan tangan kanannya sudah ada jam tangan jenama terkenal. Masakan pak haji alias pesara ustaz itu 'gila' hingga sanggup memakai jam di kedua-dua belah tangannya? Setelah lama diperhati, ia saya yakini bukan jam tangan kedua, tetapi berupa gelang sejenis logam. Lalu saya berbisik kepada adik saya, untuk menambah kepastian, sebelum kami akhirnya sama-sama tersenyum sumbing.

Sepulang dari majlis itu, saya langsung berkata pada mak.
Saya: Saya nampak Haji Dot Dot pakai gelang, mak. Macam orang pergi haji.
Mak: Entah-entah jam tangan dia kot.
Saya: Tangan kanan dah ada jam. Takkanlah dia buat kerja gila pakai jam kiri kanan.
Mak: Iya ke? (Memandang saya seperti tidak percaya).
Saya: Agaknya Haji Dot Dot tu terlupa tawaf wida' masa mengerjakan haji dulu. Sampai kat Malaysia pun masih nak pakai gelang lagi.

Ya. Ini salah satu fenomena yang sedang melanda umat Islam kita, khasnya yang tahu selok-belok agama. Sebagaimana isu Swiss Cash atau pelbagai lagi skim cepat kaya pelaburan internet yang pernah memperdayakan ribuan Muslimin, trend pemakaian geleng ini juga semakin menjadi-jadi. Mereka pada asalnya tahu dan amat berjaga-jaga dari riba dan hasil yang dikira meragukan, tetapi akhirnya terpesona lalu terpedaya kerana silau dengan labanya yang dijanjikan sekelip mata. Yang lebih menyedihkan apabila ramai ustaz, pegawai pejabat agama, imam, dan bilal terlibat. Malah, saya diberitahu ada kadi di sebuah daerah yang turut 'terlabur' sama dalam skim di internet.

Begitu juga dengan isu gelang ini. Dahulu mereka ini tidak bergelang pun, malah mencemuh orang yang bergelang yang disifatkan menyerupai kaum wanita, tetapi sekarang? Setelah ramai yang memakainya (termasuk dari golongan yang disebutkan tadi), lalu budaya itu semakin menjadi-jadi (dengan pelbagai alasan yang dianggap 'masuk akal' tentunya), dan kini ia menjadi sesuatu yang diterima dan 'biasa' akhirnya!

Untuk bacaan lebih lanjut tentang isu pemakaian gelang ini, boleh klik di sini.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP