Jumaat, Januari 18, 2008

Seminar Kepengarangan Muda Johor

SEMINAR Kepengarangan Muda Johor yang membicarakan karya sastera serta perkembangan penulis muda negara ini dijadualkan berlangsung di Hotel Traders, Muar, Johor, pada 1 dan 2 Februari ini.

Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Rusdi Abd Rahman, berkata memberi tumpuan kepada kelompok terbabit memandangkan mereka banyak memberi sumbangan karya sehingga berjaya pada peringkat negeri dan kebangsaan. “DBPWS selaku penganjur seminar bersama Persatuan Penulis Johor (PPJ) serta Perkumpulan Penulis dan Peminat Bahasa Muar (PPPBM) sedar bahawa mereka jarang diperkatakan secara khusus pada seminar atau kolokium meskipun sudah mencapai kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, badan berkanun terbabit berharap seminar itu dapat memperkenal dan mengupas karya pengarang muda untuk membolehkan masyarakat mengenali mereka secara dekat serta menghargai sumbangan mereka dalam dunia sastera tanah air dan serantau.

Ucap utama seminar itu disampaikan Ketua 1 PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah, manakala penyair puisi Islam, Shamsudin Othman membincangkan genre puisi; cerpenis, Syed Mohd Zakir Syed Othman (cerpen); novelis, Dzulkarnain Ithnain (novel) dan penggiat teater, Rahimah Muda (teater dan drama). Rusdi berkata, Malam Puisi Citra Muar turut diadakan pada 1 Februari, jam 9 malam bersempena seminar terbabit dan puisi berlatarkan Muar membabitkan tokoh, destinasi dan keistimewaan daerah berkenaan akan dikongsi bersama khalayak.

“Antara deklamator yang terbabit, Amiruddin, Shamsudin, Abd Aziz Mohamed, Mohd Rosli Bakir dan Hamzah Hamdan, selain dimeriahkan dengan persembahan sketsa Majlis Teater Negeri Johor, Dari Teluk Dalam ke Muara yang mengangkat sejarah Muar,” katanya. DBPWS yang berjaya mengumpul 50 puisi yang mengangkat Muar dalam bentuk dokumentasi akan diedarkan kepada khalayak pada malam baca puisi itu manakala maklumat lanjut hubungi Rusdi di talian 07-2358802.

(Sumber: Berita Harian 17 Jan 2008)
Memo:
Insya-Allah, serasa-rasanya ingin menyertai. Sudah lama tidak bersua teman-teman penulis seJohor dalam program-program sastera sebegini. Khabarnya, kali ini novelis Senjakala, Baharuddin Kahar dan novelis Rengsa, Zharulnizam Zainal Abidin akan turut serta bersama mudik Sungai Segamat untuk ke Muar.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP