Isnin, Januari 14, 2008

NOVEL POPULAR BAKAL JADI TEKS KOMSAS?

Tiada karya Sasterawan Negara tersenarai sebagai antara buku yang dicadangkan untuk teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.

Turut tidak tersenarai ialah puisi, cerpen, novel dan drama penerima Anugerah Penulisan Sea dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta baik bertema Islam mahupun kemerdekaan, meskipun diberi perhatian panel pemilih.

Sumber memberitahu Berita Harian, tindakan tidak menyenaraikan karya SN dan penerima serta pemenang anugerah untuk buku teks yang baru kerana Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran, mendapati sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar.

“PPK yang menyelenggara Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas mengatakan karya SN berat dan sarat dengan pemikiran sehingga sukar difahami pelajar. Justeru mereka mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar dalam usaha menarik minat mereka dalam Komsas,” katanya.

Sumber itu berkata, tidak wajar SN yang mendapat pengiktirafan negara, karyanya dinafikan daripada turut disenaraikan dalam cadangan teks baru untuk Komsas kerana masih ada jalan menghormati mereka iaitu dengan memilih karya mudah agar memenuhi selera remaja. Berita Harian difahamkan antara penulis yang karya mereka termasuk dalam senarai cadangan ialah Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Zaid Akhtar.

“Hanya novel Zaid Akhtar pernah memenangi hadiah sastera. Pendekatan baru PPK ini akan merugikan pelajar kerana pemikiran dan penggunaan bahasa penulis karya popular boleh dipersoalkan, di samping tidak menepati matlamat asal Komsas,” kata sumber itu lagi.

Sumber itu turut memberitahu, PPK tidak lagi melantik sarjana sastera dan pengarang sebagai ahli Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas, sebaliknya melantik Guru Pakar Bahasa Melayu dan Guru Pakar Sastera untuk mengeluarkan senarai pendek teks untuk penilaian akhir.

(Sumber: Berita Harian, Sabtu, 12 Januari 2008)

Selain itu, boleh juga baca tulisan
Nisah Haron, Sifu Ainon Mohd dan Dr. Ghazali Lateh berkenaan isu ini.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP