Ahad, Februari 03, 2008

BELASUNGKAWA - Cintamu Hanya Untuk-Nya

Innalillah wa inna ilaihi raji'uun. Saya menerima berita dukacita hari ini tentang pemergian abadi seorang sahabat jauh. Beliau, Ahmad Zafran Abdul Mutalib, 35 tahun, dikhabarkan telah dijemput Ilahi untuk pulang ke sisi-Nya pada hari ini.

Menurut sumber yang tidak rasmi, beliau mengalami masalah jantung. Untuk melawati blog peninggalan almarhum, sila klik http://www.panaharjuna.blogspot.com/.

Seingat saya, saya hanya bertemu almarhum dua kali. Kali pertama pada 4 Disember 2004. Beliau hadir ke Diskusi Karya Mantan MPR yang mana Sesegar Nailofar didiskusikan dalam majlis itu. Saya sempat mencatatkan pertemuan pertama saya dengan Ahmad Zafran dalam blog ini. (Boleh klik entri tersebut di sini.) Sementara kali kedua saya bertemunya bertempat di Sekolah al-Ikhlas, Taman Permata tatkala saya menghadiri bengkel kelolaan Sifu Ainon Mohd sekitar Januari 2007.

Saya amat meminati cerpen-cerpen almarhum yang tidaklah banyak. Meskipun almarhum tidak prolifik, tetapi karyanya cukup membekas. Bahkan beliau pernah lama 'hilang' dalam dunia penulisan sebelum muncul semula bersama PTS menerusi genre novel dan komik.

Cerpen Cintaku Hanya Untuk-Nya (dalam Antologi HSSBR 1992) dan Nur Sadiq (Antologi MPR 1993) adalah dua karya almarhum yang sangat membekas dan kekal dalam ingatan saya. Ramai juga yang meminati dua cerpennya itu dan tercari-cari Ahmad Zafran sepanjang kehilangan 'sementara'nya. Watak 'Imam Rock' Azlan Alias dan Anum Nirmala tentu sahaja masih terus segar di memori pembaca, begitu juga watak Omar dan Ratih yang berlainan dunia.

Justeru bagi saya, Ahmad Zafran bolehlah dikatakan antara penulis remaja yang menjadi perintis dalam penulisan cerpen-cerpen remaja bernuansa Islami pada awal 90-an. Belum ada penulis remaja yang cuba mengangkat tema cinta remaja yang Islamik dan sangat membataskan pergaulan muda-mudi pada waktu itu.

Hingga kini, dan entah sampai bila, saya akan kekal mengingati ayat "Doakan aku dalam doamu" yang termuat dalam cerpen remaja master-piece almarhum, Cintaku Hanya Untuk-Nya.

Selamat berangkat, kawan. Moga engkau sentiasa dirahmati Tuhan. Sesungguhnya Cintamu Hanya Untuk-Nya!

Al-Fatihah!

1 komentar:

jebatsari,  12:43 PG  

satu kehilangan. a-fatihah buat panaharjuna.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP