Sabtu, Februari 23, 2008

BILA USTAZAH DILANGGAR MAT REMPIT

Apabila diberitahu oleh seorang sahabat tatkala saya dalam perjalanan pulang dari KL tentang kemalangan yang dialami oleh seorang saudara kami di utara tanah air malam kelmarin, saya senyum sendiri. Saya mulanya kurang percaya. Tapi sahabat saya itu berkeras mengiyakannya dan mengatakan betapa saudara kami itu keadaannya cedera parah kerana ditabrak hingga terlentang di tengah jalan. Justeru, perasaan saya turut berbaur. Kasihan ada. Gembira pun ada. Namun dalam hati mengakui, jika benar apa yang saya dengar, jelaslah Tuhan itu Maha Besar!

Mengapa saya kasihan? Saya kasihan kerana saudara kami yang bergelar seorang ustazah itu dilanggar oleh mat rempit. Alangkah kejamnya mat rempit yang melanggar. Tetapi saya tidak pula mahu menyalahkan mat rempit kerana memang pun sudah banyak kali berlaku mat rempit melanggar orang. Malah, baru-baru ini seorang sahabat baik saya yang merupakan penyair muda terkenal negara patah bahu ditabrak mat rempit di depan masjid.

Dalam kes ustazah ini, dialah yang bersalah kerana membiarkan dirinya terdedah kepada ancaman dilanggar oleh mat rempit. Kebetulan jalan yang dipilih oleh ustazah anggun itu memang selalu digunakan oleh mat rempit yang memang langsung tidak berani diusik atau diberi amaran sekalipun oleh polis. Malah beberapa pemimpin juga memberikan lesen kepada mat rempit untuk mengumpulkan mat-mat rempit seluruh negara bermaharajalela di jalanraya bagi menunjukkan kegemilangan generasi muda negara. Kerana jalan yang dipilih oleh ustazah anggun saudara kami itu tadi jalan yang salah, maka dia terpaksalah menanggung akibatnya hinggakan terlentang tanpa ditolong sesiapa di tengah jalan raya.

Mengapa saya gembira? Saya gembira kerana yang ujian fitnah yang melanda ustazah itu nampaknya semacam akan berakhir. Selama ini ustazah anggun saudara kami tadi tak sedar diri bahawa dia sedang diuji oleh dunia. Dia berkeras mengatakan jalan yang selalu dilaluinya itu selamat dan jalan yang benar untuk sampai ke matlamat. walhal dia tidak sedar jalan yang sebatang itu di kiri kanannya longkang yang dipenuhi air kumbahan dan najis yang kadangkala terpercik mengenai tubuhnya juga. Kerana cintakan jalan nan sebatang itu, ustazah sanggup menghina hukum Tuhan. Ustazah pernah kata potong tangan itu zalim dan pencuri patutnya diberikan kerja supaya tidak mencuri!

Lebih menggamamkan kami teman-teman juga, kerna ustazah pernah berpendapat, menjual diri itu harus kalau dah darurat. Malah bagi ustazah juga, dalam hidup ini tak perlulah mencegah kemungkaran, cukuplah dengan berbuat yang makruf sahaja. Paling tidak dilupakan, kerana mahu cepat sampai ke destinasi dengan menggunakan jalan itu jugalah dulu, seorang imam besar terjelepok dan patah kaki di simpang akibat dirempuh kereta besar yang dipandu ustazah.

Akhirnya saudara kami ustazah tadi tertunduk juga ke bumi. Barulah dia tahu tinggi rendahnya langit. Barulah dia sedar (agaknya) bahawa untuk membuang keladak dalam air kolah itu tidak boleh dengan dimasukkan air sebanyak mungkin ke dalam kolah tersebut. Barulah dia tercium betapa busuknya air najis yang terpalit ke busana muslimah dan tudung gaya terbarunya (yang menjadi ikutan pengagumnya) akibat melalui jalan sebatang yang bengkang bengkok dan penuh selekoh maut itu. Barulah dia rasai akibat menjual agama Tuhan dengan harga yang murah - bukan di dunia sahaja dihina, malah di akhirat nanti juga.

Barangkali kini ustazah sedang merawat luka kemalangan tempoh hari. Mungkin ustazah sedang menangis-nangis di tilam sambil bermuhasabah diri. Mungkin juga sedang membasuh bajunya yang cemar dan kohong terpercik najis. Mungkin juga ustazah sedang menghitung insurans yang bakal diterimanya setelah terlibat dalam kemalangan dan berpenat lelah sanggup melalui jalan yang bengkok itu. Mungkin juga ustazah sedang dipujuk oleh para pengikut ustazah yang kebanyakannya tidak ikhlas bahkan turut merasakan ustazah kini ibarat surat khabar lama yang tidak berguna lagi.

Begitulah adanya. Sabarlah ustazah. Moga kembali ke jalan yang betul semula. Sesungguhnya jalan busuk tercemar air najis yang banyak selekoh dan dipenuhi 'perangkap laju' itu tidak sesuai untuk seorang graduan al-Azhar seperti ustazah. Ada jalan yang lebih selamat, bersih, lurus dan malar hijau pula!

Apapun, awas semua pengguna jalan raya. Setelah ustazah anggun sanggup dilanggar, pastinya kini mat rempit yang semakin dipandang mulia sedang menggila dan bermaharajalela!

6 komentar:

Satira + Kacau 11:26 PG  

Sdr Zaid. Cantik sungguh satira saudara mengenai ustazah ini. Sdr memang bijak. Bagaiaman Sdr kalau saya hendak menjadi saudara sesama kelompok satira?

zaidakhtar 2:27 PTG  

Sdrku Satira+Kacau,
Saya ini hanya sesekali bersatira (iaitu kala hati ingin menyumpah-nyumpah melontarkan sesuatu yg kesat bunyinya didengar manusia, maka satiralah alternatifnya).

Tidak tersaing saya dgn saudara yang sangat mahir dan masak malah hari-hari bersarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan satira. Namun utk menjadi saudara, apa salahnya. Bukankah sesama Muslim yg beriman itu bersaudara?

Ibnu Ahmad al-Kurauwi 7:45 PG  

Sekali sekali al-akh kita bersatira, menjadi...

al-kurauwi

zaidakhtar 8:38 PTG  

Ustaz Azman al-Kurauwi,
Sahabat lama anta di Mu'tah, Ustaz Afandi Yusof (calon Parlimen Tumpat) nampaknya dah mengorak langkah ke jalan yg itu juga. Begitu juga Kapten (B) Johari Hussin (DUN Tioman) sahabat kita dr Amman. :-(

Anta tak bercita2 ke bertnading di Batu Kurau?

Ibnu Ahmad al-Kurauwi 10:38 PG  

Apa diharap padi seberang,
Entah kan jadi entah kan tidak;
Apa diharap undinya orang,
Entah kan berbakti entah kan tidak.

Mengapa kalut kuasa ditimbang,
Menongkat gagah tangan terluka;
Jangan diikut pesona orang,
Menjilat ludah jatuh ke muka.

Hang tak tengok kawan hang di Irbid; Wan Iqbal Afza dah tersungkur sebelum bertanding? Heheh.. kit[dep]a mudah lupa

al-Kurauwi

Tanpa Nama,  3:33 PTG  

salam..
saya membaca 'satira' ini berkali-kali dan tahu siapa ustazah itu. seperti satu kemalangan ngeri yang banyak ikhtibar.

mungkin ustazah itu mampu untuk duduk di wad kelas1, dan koleksi anggunnya masih banyak menggantikan yang terobek. tetapi kerusi yang hilang mesti sukar dicari..

jika ustazah ni cekal, dia akan memaafkan mat rempit tu(huhu) dan memberinya kerja seperti melimpahkan air kolah(hehe).

tapi nilai ustazah ni tetap tinggi, ganjarannya tiada siapa yang tahu. Maaf, sekadar memberi komen.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP