Rabu, Mac 26, 2008

AL-FATIHAH

Jumaat, 21 Mac 2008 - Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Ismail Ibrahim meninggal dunia di Hospital Pakar Muar akibat serangan jantung. Allahyarham dimasukkan ke Wad CCU jam 4 pagi tadi dan meninggal dunia pada jam 9.30 pagi. Ismail menganggotai Jawatankuasa PAS Pusat selama tiga penggal.

Sepanjang tempoh penglibatannya dalam PAS, Allahyarham pernah memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Johor dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bakri. Sebagai pesara kakitangan kerajaan, Ismail pernah berkhidmat di Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Penjara sebagai ketua kerani. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak. ( Sumber Harakahdaily)


Memo: Saya menerima berita kematian Allahyarham yang saya panggil Uda Mail pada jam 2.30 petang Jumaat lalu menerusi SMS daripada mak. Terdiam sejenak dan terbayang-bayang wajahnya yang hampir sebaya arwah ayah saya. Langsung saya hubungi anak sulungnya Zaiskandar yang masih berada di kuburan sejurus pengkebumian Allahyarham untuk mengucapkan ta'ziah.Opsyen Catatan

Allahyarham adalah bapa sepupu saya melalui pertalian keluarga sebelah mak. Kali terakhir saya menemuinya pada hari raya puasa yang lalu. Itu pun tatkala kami bertembung sewaktu berkunjung ke rumah saudara-mara. Arwah Uda jarang-jarang saya temui. Paling banyak dua kali setahun. Selalunya ketika hari raya atau kenduri-kendara. Namun setiap kali bertemu pastinya perbualan kami akan rancak dengan isu-isu politik tanah air yang sengaja saya jolok. Selain itu, dia tidak lupa memberi dorongan kepada saya agar menjadi penulis yang berjuang untuk Islam. Menurutnya, pada zaman mudanya dulu, dia juga seorang penulis.

Uda Mail pernah bertanding beberapa kali di Bakri dan tewas semuanya. Bagaimanapun, sebelum kematiannya, arwah sempat merasai nikmat kemenangan jemaah yang didukunginya selama ini apabila calon PAS, Dr Sheikh Ibrahim menang di DUN Sungai Abong, Muar.

Al-Fatihah!

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP