Isnin, Mac 03, 2008

SIAPA KATA TAK BOLEH MENGUMPAT?
(petikan novel SALJU SAKINAH)


“Okey ke ceramah Mai tadi, umi?” Dia mahu menilai keberkesanan kuliahnya tadi. Tidak mahu terasa syok sendiri. Teknik pengucapan awam yang dipelajarinya dari semasa ke semasa sebolehnya sentiasa mahu diperbaiki.
“Okey sangat. Seronok pula umi dengar ceramah tadi. Tak tahu pula umi sebelum ni, mengumpat pun ada tempat-tempatnya yang dibolehkan.”
“Kan umi yang minta Mai ceramahkan bab tu?”
“Hmm, cuba ulang balik, umi nak ingat balik satu-satu – bila mengumpat dibolehkan. Ada berapa semuanya tadi?”
“Enam keadaan saja, umi. Yang Mai sebut tadi semuanya berdasarkan kata-kata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin. Pertama, ia dibolehkan apabila seseorang itu dizalimi. Sesiapa yang dizalimi boleh mengadu tentang kezaliman yang menimpa dirinya kepada pihak berkuasa, misalnya sultan atau kadi,”
“Kedua, bila meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran. Contohnya, kalau ada kemungkaran berlaku di tempat kita. Kalau ada orang amal ajaran sesat ke, sumbang mahram ke, kita boleh hubungi atau lapor kepada pihak berkuasa – pejabat agama misalnya – untuk mencegah benda mungkar tu.”
Dua buah motor mat “rempit” tiba-tiba memotong kereta mereka. Sebuah muncul di sebelah kanan, sebuah lagi menyelinap di sebelah kiri. Bunyi desing ekzos kedua-duanya yang telah diubahsuai memijarkan cuping telinga.
“Yang ketiga, apabila meminta fatwa. Semasa meminta hukum atau fatwa, keaiban dan kelemahan orang lain boleh disebutkan. Pada zaman Nabi, isteri Abu Sufyan yang bernama Hindun binti Utbah pernah datang bercerita kepada Nabi tentang suaminya yang agak kedekut. Jadi, perbuatan Hindun menceritakan keburukan suaminya tidak dianggap sebagai umpatan oleh Nabi. Malah Nabi pula bersabda kepada Hindun: Ambillah sesuatu yang mencukupi untuk dirimu dan anakmu secara yang makruf.”
“Lagi tiga tu apa dia?”
Kereta terus bergerak. Minat umi nyata bersemarak.
“Yang keempat, mengumpat diharuskan apabila cuba menyedarkan masyarakat tentang sesuatu kemungkaran. Sebabnya, orang ramai perlu disedarkan dan diberitahu tentang bahaya atau kesesatan yang berlaku di sekeliling mereka. Contohnya, kalau kita tahu seseorang tu memang fasiq, memang jahat. Kita kena beritahu orang lain yang si fulan tu fasiq dan jahat supaya mereka terhindar daripada bahaya kefasiqannya dan kejahatannya.”
Sumayyah menoleh sekilas ke kanan. Kelihatan pintu hadapan kedai Desa Wali masih terbuka. Wajah Muazam dengan janggut pandak datang menerpa. Barangkali lelaki itu masih tekun bekerja. Lalu dia membelok ke kiri, masuk ke simpang Kampung Parit Wali.
“Yang kelima, ulama kata boleh mengumpat apabila kemaksiatan atau kemungkaran berlaku secara terang-terangan. Syariat mengizinkan pendedahan dilakukan kepada masyarakat bagi melahirkan kewaspadaan dan seterusnya pencegahan. Seperti kata Hasan al-Basri: Tiga golongan manusia yang boleh diumpat, iaitu mereka yang menurut hawa nafsu semata-mata, yang melakukan kefasiqan secara terang-terangan, dan pemimpin yang zalim.”

Salju Sakinah akan terbit menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 3-14 April ini di PWTC.

2 komentar:

mohamadkholid 4:51 PTG  

tahniah... novel yg ditunggu-tunggu!

mazafirzie 5:15 PTG  

akhirnya kuar jugak... tak jual kat kedai buku ke???

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP