Rabu, April 16, 2008

Petikan Kata Pengantar
SALJU SAKINAH: MENYUGUH PENGALAMAN, MENGGARAP ILHAM, MENGGUGAH PERASAAN
Oleh Dr. Hajah Kamariah Kamaruddin

Mukadimah
Sesekali bertemu dengan karya sastera, novel khususnya yang meletakkan wanita sebagai teraju utama, meletakkan wanita sebagai fokus istimewa, meletakkan wanita sebagai tunjang agama, tetapi ditangani oleh penulis lelaki, malah muda usianya, lekas sahaja karya tersebut menjadi intim dengan saya. Sementelahan disorot oleh pembaca wanita lain tentunya. Kesan teruja dan terpaku menyinggah diri kerana penulis mengangkat martabat wanita yang mendominasi karya dengan sahsiah mulia, dengan santun bicara, dengan cinta agama yang padu sesungguhnya menawarkan kesan yang luar biasa terhadap proses pembacaan. Malahan dengan inisiatif mahmudah pengarang yang meletakkan nilai kebaikan mengatasi nilai keburukan, memperlihatkan tanggungjawab sebagai penulis Muslim dipikul dengan sebaik mungkin di pundaknya.

Pengarang Menggarap Ilham
Pembinaan watak dan perwatakan, isu dan persoalan, plot dan konflik, klimaks, gayabahasa dan perutusan dirangkum dengan jalinan yang teratur dalam Salju Sakinah. Kesepaduan antara wacana naratif yang bersifat khutbah dan bentuk am biologi sesebuah karya sastera telah dipertalikan pengarang dalam petak-petak yang rapi. Hubungan antara manusia dengan manusia (habl min al-Nas) dan hubungan antara manusia dengan Tuhan (habl min Allah) dianyam dengan rasa sedar, rasa insaf dan rasa iktibar. Tanggungjawab sebagai graduan universiti Timur Tengah, lulusan dalam bidang agama, dan khalifah di atas muka bumi digalas dengan baik oleh pengarang dalam mengarap Salju Sakinah.

Berdasarkan watak Sumayyah, pengarang mengemukakan pendirian yang utuh sebagai gadis Melayu, wanita Muslim, anak solehah, mahasiswa berani, usahawan muda, isteri mithali yang meletakkan Islam sebagai akarnya, peradaban sebagai lingkungannya, keazaman sebagai paksinya, dan ketabahan sebagai puncaknya menghadiahkan bahagia dan bangga sebagai pembaca aktif. Hal ini kerana pengarang membawa nilai-nilai murni di setiap bab, di setiap dialog dan di setiap plot bagi menggambarkan peri pentingnya keindahan hidup beragama, keindahan melaksanakan suruhan Tuhan, keindahan menghayati keagungan-Nya, keindahan menerima qada’ dan qadar, keindahan bersabar menerima cemuhan, dan sebarang keindahan yang dianjurkan dalam kehidupan dengan penuh taslim di bawah naungan Islam. Dengan bantuan watak-watak berperibadi unggul seperti Fatihah, Hakimah, Marianis, Izzati, Nazura, dan lain-lain menunjukkan Salju Sakinah mengikat wanita-wanita Muslim yang sejati di tempat sewajarnya. Di samping penampilan watak-watak lelaki yang dapat menyandang amanah kepimpinan suruhan Tuhan seperti Hakim, Lutfi, Naufal, Muazam, dan sebagainya memperlihatkan anak-anak muda Melayu Muslim yang bijaksana.

Malahan, pembentukan watak-watak pelbagai peringkat usia, status pekerjaan, jenis pendidikan dan jurang pemikiran menjadikan novel ini enak dihadam. Ia seolah-olah senjata ampuh yang mengunggunkan kesejahteraan dan ketenangan dalam apa jua keadaan. Umumnya, bersandarkan kepelbagaian watak yang bertindak secara normal, abnormal, bermoral, immoral dan lain-lain memperlihatkan Salju Sakinah sesuai untuk bacaan semua lapisan masyarakat.

Selain ujaran watak dan perwatakan yang berencam bersandarkan pelbagai isu dan persoalan sejagat, pengarang turut menyediakan pilihan yang berbentuk mengasuh nurani manusia dengan bekalan doa, hadis nabawi, kata-kata pujangga, surah-surah al-Qur’an yang berkaitan seputar kehidupan. Dengan menjadikan saluran ilmu sebagai usaha menyaran amal makruf, nahi mungkar, Salju Sakinah menggagaskan “pencerahan fikir” terhadap pembaca.

Satu hal yang memperlihatkan Salju Sakinah sebagai sebuah novel yang sarat muatan Islami ialah cara pengarang menganjurkan tazkirah dalam banyak plot dan konfliks. Maka, di penghujung klimaksnya, akan ditemui suatu perutusan yang berguna terhadap pembaca dengan rasa aman dan tenang. Hal ini ditemui di setiap pembikinan plot yang menganjur ke arah al-khayr (kebaikan), al-Jamal (keindahan) dan al-Jalal (keagungan) terhadap agama yang seterusnya merangsang pembentukan ummah kamil (sempurna). Dengan menggunakan gayabahasa yang seimbang dari sudut lahiri dan maknawi, Salju Sakinah harmoni tentang perihal duniawi dan ukhrawi.

Novel ini mengajak pembaca sentiasa muhasabah, sentiasa tafakur, sentiasa mawaddah dan sentiasa mahabbah terhadap-Nya dalam setiap langkah dan gerak geri. Sesungguhnya ilham yang dihantar Tuhan kepada pengarang (Zaid Akhtar), kemudian disalurkannya dalam bentuk karya (Salju Sakinah), akhirnya mengajak khalayak (pembaca, pengkaji) mentafsir bukan sekadar dengan mata lahiri tetapi dengan mata batini.

Pengarang dan Pembaca Menggugah Perasaan
Salju Sakinah menyediakan ruang yang luas terhadap pembaca untuk menyaring daya taakulan terhadap proses pembacaannya. Hal ini kerana usaha pengarang menampilkan watak Sumayyah yang berperanan bukan sekadar sebagai gadis, bahkan sebagai mahasiswa, sebagai anak solehah, sebagai srikandi agama, sebagai usahawan, dan sebagai isteri mithali adalah untuk menyuntik semangat dalam pelbagai aspek kehidupan. Pengutaraan nilai-nilai luhur inilah yang membawa kepada kesan emosi yang mengugah rasa, kesan emosi yang meruntun perasaan pembaca.

Pembentukan watak ideal yang diajukan pengarang sesekali menimbulkan tanda tanya, atau sesekali menghadirkan kurang percaya atau sesekali mengirimkan rasa wasangka dalam proses kehidupan biasa manusia, namun sebagai sebuah karya yang bersifat Islami, maka elemen-elemen inilah yang perlu ada dalam pengkaryaannya. Beberapa tafsiran tentang adab manusia diajukan dalam bentuk new dimension yang utuh yang seringkali terabai dalam kemelut modenisme kini, diperhatikan sebagai unsur pengajaran berguna masyarakat sarwajagat. Secara misalnya hubungan antara kaum Hawa dan Adam (pasangan Hakimah-Hakim, pasangan Naufal-Sumayyah) yang mendapat pendidikan dalam bidang agama di Universiti Timur Tengah dilakukan dalam keadaan terkawal, ketat dan kejap menunjukkan peri pentingnya akhlak yang tinggi, sahsiah yang terpuji sebagai role model mahasiswa Muslim yang akur dengan tegahan, yang akur dengan suruhan Tuhan bagi memugar masalah sosial yang membuak hari ini.

Selain itu, binaan plot yang disediakan unsur poetic justice pada setiap watak sebenarnya turut menghantar waham pembaca tentang keberkesanan kebenaran atau keadilan dalam kehidupan. Namun, penonjolan segala nilai kudus sifatnya, perlu dipamerkan dalam menggalur al-khayr, al-Jamal dan al-Jalal bagi sebuah karya Islami motivasi. Sementelah dengan ujaran membekalkan iktibar, menggagaskan islah, merungkaikan istifham, dan memuncakkan isbat telah meletakkan Salju Sakinah dalam bentuk “putih-bersih, aman-damai” terhadap pembaca bagi mengharung gejolak, onak, liku, yang pelbagai kini dalam kehidupan teruji.

Sebenarnya pengarang menghantar bauran emosi terhadap pembaca; sayu, rawan, hiba, pilu, duka, bahagia, sedih, sebu, gundah, geram adalah untuk menggubris naluri yang kesemuanya merengkuh nubari, menjamah nurani. Tugas pengarang mewartakan sesuatu perutusan suci dalam bentuk gumpalan emosi sebegitu memperlihatkan daya usaha pewarnaan wasilah, pelukisan weltanschauung, pewujudan wuwungan manusia dengan manusia, manusia dengan Tuhan, dan manusia dengan persekitaran yang wangi, yang abadi, yang kafi.

Novel ini menghadirkan jambangan mukhlis, muhsin, ihsanat, ittifak yang disatukan dalam hidangan yang nyedar dan nyenyak agar suatu tuntunan imej tauladan suci terbentuk. Dalam konteks ini, pengarang dengan urna agama, dengan urna sarana, dengan urna jiwa menggesa pembaca menjadikan Sumayyah sebagai uswah bagi memungut barakah, tasamuh dan sawab. Justeru, hanya dengan gubahan berwarna, hiasan berserbaneka dapat merealisasikan rentak dan rima emosi manusia, yang akhirnya dapat mengasuh dan mentarbiah diri menjadi insan kamil. Ekoran itu, dengan penuh dorongan besar, rangsangan sedar, pengarang mengungkapkan penyataan berikut: Seorang muslimah, seorang mukminah, seorang mujahidah, seorang muslihah, seorang Sumayyah, dan penyataan seterusnya: Entah mengapa dadanya dihentak sebak tiba-tiba. Dalam menerima cinta sesama manusia, kadangkala cinta kepada Tuhan terabaikan. Tetapi mulai sekarang, dengan kesungguhan dan janji Naufal, dia berharap atmanya akan lebih tenang. Kecintaan kepada Tuhan akan lebih kental, yang dengan jelas mengugah rasa pembaca untuk meletakkan watak utama sebagai ratu dalam kalbu, menginspirasi watak utama sebagai ratna dalam kantung.

Khatimah
Salju Sakinah sebagaimana judul karyanya; mengutarakan pergolakan hidup manusia, menjejerkan pengalaman hidup manusia, memunggahkan kesedihan hidup manusia, menggusurkan kenangan hidup manusia dan mendewasakan rangkaian hidup manusia, membawa “putih-bersih, aman-damai” dalam penikmat pembaca. Novel ini menggambarkan Zaid Akhtar mempunyai individual author, individual-self, individual style, individualistic idealism, individual in design dalam jagat penulisan tanahair hasil daripada kelangsungannya berkarya selama ini.

Didapati bahawa seusai menelaah Salju Sakinah, novel ini menyediakan suatu ruang untuk pembaca mengenali diri, mengenali manusiawi, mengenali Ilahi dalam jalur jujur, dalam jalur luhur. Sesungguhnya Salju Sakinah yang berada dalam tangan anda, yang berada dalam genggaman anda, yang berada dalam dakapan anda mengkehendaki gugusan salju, gugusan sakinah terus melekat dalam ingatan, terus menyubur dalam fikiran. Bukan sekali. Bahkan, untuk berkali-kali. Buat selama hayat manusia izzah di atas muka bumi ini. Bekal menatar zarah-zarah taufah dan debu-debu taufan yang mengasak gerbang jati diri insani dalam arus modenisasi.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP