Jumaat, Mei 16, 2008

SELAMAT HARI GURU


Ya, hingga ke hari ini, saya masih ingat lagi sebahagian bait puisi yang cukup menusuk dan membekas dalam diri saya:

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Usai mendeklamasikannya, saya memandang ke arah barisan guru. Ada dalam kalangan mereka yang menggigit bibir menahan sebak. Barangkali tersentuh dengan larik-larik puisi hebat seorang Sasterawan Negara.

Sekali lagi tepukan gemuruh hadirin memeranjatkan saya. Saya terkebil-kebil. Haji Murtadha yang usai berucap kembali ke tempatnya. Pengacara majlis mengucapkan terima kasih. Bermakna sejenak lagi tibalah giliran saya untuk berucap dan selanjutnya merasmikan mesyuarat agung.

Namun debaran di dada saya tidak pernah usai. Tidak pernah saya berasa begini. Aura lelaki berjanggut putih itu cukup kuat mengganggu saya. Tidak tenteram saya dibuatnya. Gemuruh saya datang tiba-tiba.

Apakah dia guru yang saya rindui selama ini? Kalau benar, sesungguhnya saya tidak akan berucap panjang. Saya malu bercakap banyak di hadapan seorang guru yang membentuk peribadi dan bakat saya satu masa dahulu. Saya tidak layak melantangkan suara sebagai seorang pemimpin di hadapannya.
Tetapi benarkah dia Cikgu Baharom?

Lalu pengacara majlis mempersilakan saya untuk berucap. Tepukan gemuruh mengiringi saya ke rostrum. Sambil berdiri tegak, saya memandang ke bawah sekilas. Menyorot Cikgu Baharom yang turut memandang saya. Serasa-rasa saya ingin meluru ke bawah pentas untuk mengucup tangannya. Saya mengumpul kekuatan untuk berucap. Saya lebih suka berucap spontan, tetapi dengan kejutan dan kegembiraan yang mercup di jiwa, kata-kata bagai pupus niskala dan menjadi tidak bermakna. Mujurlah setiausaha sulit saya sudah menyediakan teks ucapan saya lebih awal.

Justeru, saya membaca teks yang dibekalkan. Sesekali pandangan saya terhantar ke wajah guru saya yang sentiasa tenang mendamaikan. Terasa kekok benar untuk saya berucap di hadapan seorang guru yang berjasa besar dalam hidup saya. Ibarat bapa kedua, dialah yang membentuk sikap dan keperibadian saya sehingga ke hari ini. Barangkali dia tidak mengenali saya lagi. Tidak mengapa. Pepatah Cina kuno ada menyebut: Guru yang baik seringkali tidak mengingati nama muridnya lantaran murid-muridnya terlalu ramai.

Lima minit berucap terasa begitu lama. Barangkali audien juga terasa lama dengan ucapan berdasarkan teks yang agak kurang bermaya daripada saya. Tidak pernah saya berkeadaan begini, berucap bernada mendatar seperti ini. Lantas saya, dengan rasa tidak sabar, memendekkan ucapan dan seterusnya merasmikan mesyuarat agung tahunan sekolah ini. Paluan kompang dan tepukan gemuruh menyusuli penutup ucapan saya.

Saya menghela nafas seketika sejurus usai berucap. Tuhan, saya tidak dapat menanggung lagi rindu dendam ini. Ya, inilah masanya!


Memo: Selamat Hari Guru buat semua guru saya dan setiap yang bergelar pendidik!

3 komentar:

Nisah Haji Haron 7:56 PG  

Selamat Hari Guru, Zaid!

Kamariah Kamarudin 10:04 PG  

salam
Selamat Hari Guru, Zaid.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP