Sabtu, Jun 28, 2008

Apa sebenarnya BAHASA RASMI kita?

(Utusan Malaysia) BUKIT MERTAJAM 27 Jun - Seorang ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Teoh Seang Hooi hari ini mencadangkan supaya semua papan tanda di jalan-jalan utama di negeri ini menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu.

Ketika mengemukakan cadangan itu dalam mesyuarat penuh MPSP di sini hari ini, beliau berkata, perubahan itu perlu dibuat bagi memberi kemudahan kepada para pelancong khususnya dari China yang ramai berkunjung ke negeri ini.

"Papan-papan tanda menggunakan bahasa Mandarin ini juga penting untuk memudahkan penduduk di kawasan-kawasan yang kebanyakannya dihuni oleh masyarakat Cina terutamanya di Bukit Mertajam," katanya.

Yang Dipertua MPSP, Farizan Darus yang mempengerusikan mesyuarat itu kemudiannya menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda adalah selaras dengan peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Artikel 152 Perlembagaan dengan jelas menyatakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, saya fikir dalam konteks (papan tanda) ini adalah selaras dengan peruntukan itu," jelasnya.

Seang Hooi yang juga bekas guru Bahasa Melayu kemudiannya mencelah dengan menegaskan, perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa penggunaan bahasa-bahasa lain juga digalakkan sejajar dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, cadangan itu bukan sesuatu yang ganjil untuk dilaksanakan memandangkan ia sudah dilakukan di sebuah bandar di Sarawak.

Baca lanjut.

Memo:
i
Isu papan tanda begini kadangkala menyakitkan hati. Sudahlah kita sudah sekian lama sakit mata dan panas hati dengan penggunaan perkataan Presint, Boulevard dan pelbagai lagi di 'pusat pentadbiran negara' di Putrajaya (legasi Tun Dr Mahathir yang mencetus PPSMI). Mahu ditambah lagi dengan bahasa Mandarin dan Tamil pula?

Inilah masalahnya kalau suka menterjemahkan Perlembagaan sesuka hati. Artikel 152 itu sudah jelas
(meskipun hampir ditempah kerandanya angkara kebengongan bangsanya sendiri yang mencintai bahasa penjajah). Usahlah dikelirukan lagi. Banyak lagi isu lain yang wajar diperjuangkan oleh para pemegang kuasa.

ii
Suka tonton Euro 2008 dan Tenis Terbuka Perancis yang banyak memperlihatkan betapa penganjur kejohanan sensitif dan sentiasa mengutamakan bahasa kebangsaan mereka. Baik dari segi tulisan mahupun lisan. Contohnya papan tanda Vienna dieja Wien (mengikut ejaan Austria). Malah upacara penyampaian trofi di Roland Garros juga menggunakan bahasa Perancis sebelum dituruti terjemahan ke bahasa Inggeris.

1 komentar:

Tanpa Nama,  12:10 PG  

HIDUP BAHASA MELAYU!!!

Janganlah diragui yang bahasa ini mampu mengikat tiga bangsa setelah sekian lama.

Kak Ani Segamat

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP