Isnin, Julai 07, 2008

CERPEN SELEPAS 4 TAHUN

Sudah cukup lama rasanya tidak menggarap cerpen. Dalam catatan, cerpen terakhir yang saya karang adalah Pendedahan iaitu pada akhir 2004. Namun dalam tempoh yang agak panjang itu, saya sempat menulis dua buah novel - Salju Sakinah dan Justeru Impian di Jaring. Ini adalah cerpen terbaru saya yang siap Februari lalu dan terbiar dalam komputer beberapa bulan. Berdasarkan temanya mengenang jasa guru, saya patut menghantarnya sekitar Mei. Akhirnya tersiar dalam Utusan Melayu Mingguan, 7 Julai 2008.


Rindu Ini, Cikgu
(Versi Rumi)

ENTAH mengapa. Saya sendiri tidak pasti mengapa dada saya tiba-tiba sahaja dihentak debaran sebaik sahaja Mercedes yang saya naiki melepasi pintu pagar sekolah. Bertalu-talu hentakannya. Kata ibu, jika berdebar-debar begini tidak semena-mena tandanya kita akan menemukan sesuatu yang besar. Tuah apakah agaknya yang akan jatuh ke riba saya?

Bagaimanapun pertanyaan demi pertanyaan yang menyerbu benak itu segera pupus apabila kereta berhenti. Debaran merosot sedikit. Saya mengintai sekali imbas keluar. Pintu kereta terkuak kerana dibuka dari luar. Terpacul wajah Haji Mustakim di muka pintu dengan senyuman bergula.

“Selamat datang, Yang Berhormat. Selamat bertandang ke sekolah kami.”

Saya menyahut ucapan selamatnya juga dengan senyuman. Lalu bingkas keluar dari perut kereta. Sebaik sahaja tangan kami berjabat, paluan kompang mula bergema memecah suasana. Beberapa orang guru dan dif-dif kehormat yang mengiringi Haji Mustakim selaku pengetua juga menyambut ketibaan saya dengan jabatan tangan, ukiran senyuman dan ucapan selamat datang.

Sejurus seorang pelajar barangkali ketua pengawas – menyematkan roset di dada kanan saya, lalu saya diarak dari kereta menuju ke pintu masuk dewan besar. Empat orang pelajar memegang bunga manggar menjadi teraju di depan. Di kiri kanan, para pelajar dan ibu bapa berbaris memberi hormat sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Di belakang, satu pasukan kompang perlahan-lahan mengekori.

Lantas saya yang bagaikan menerajui satu rombongan kecil melangkah memasuki dewan. Tidak semena-mena debaran yang sirna tadi mampir semula. Gemuruh pula rasanya hari ini. Meskipun inilah kali pertama saya menjejaki sekolah ini, namun ini bukanlah kali pertama saya menghadiri undangan seumpama majlis yang akan berlangsung sebentar lagi. Seisi dewan bangun tanda hormat sehinggalah saya melabuhkan punggung di atas sofa empuk di atas pentas, diapit oleh pengetua dan Yang Dipertua PIBG.

Pengacara majlis mulai mengujar mukadimahnya mengalu-alukan kedatangan saya untuk merasmikan majlis anugerah pelajar cemerlang dan mesyuarat agung PIBG. Tatkala bacaan doa seorang ustaz muda sedang diaminkan hadirin, pandangan saya menyelinap ke bawah pentas, menyeluruhi barisan hadapan kerusi yang diduduki oleh dif-dif kehormat dan para pelajar yang bakal menerima anugerah. Retina mata saya tiba-tiba lekat menjunam pada sebuah wajah.

Debaran yang bernyawa semula dalam dada saya tadi semakin menjadi-jadi. Mata saya buka luas-luas. Saya pandang tampang yang damai itu tepat-tepat. Seorang lelaki berusia saya jangkakan lebih separuh kurun begitu tenang mengaminkan bacaan doa di sebelah seorang pelajar perempuan.

Siapakah dia? Apakah dia bapa kepada pelajar yang bakal menerima anugerah di sebelahnya? Tetapi dia kelihatannya agak tua untuk bergelar seorang bapa kepada anak berumur belasan tahun. Serasa-rasanya saya seperti pernah melihat wajah tenang itu sebelum ini.

“Silakan, Yang Berhormat.”

Saya terpinga-pinga seketika. Bacaan doa rupanya sudah berakhir. Di hadapan saya, seorang pelajar perempuan bertudung manis menghulurkan sebuah buku program yang bereben di kulitnya kepada saya. Lekas saya sambut hulurannya dengan senyuman. Saya batuk dua tiga kali demi menutup malu.

Buku program berkulit kuning keemasan saya belek sekali imbas. Haji Mustakim berbisik-bisik di telinga saya mengucapkan terima kasih di atas kesudian saya hadir ke sekolah ini. Sejak tahun lepas lagi pihak sekolah dan PIBG mahu mengundang saya, katanya. Saya mengangguk-angguk. Kebetulan hari ini jadual saya tidak padat.

Pengacara majlis yang berkebaya merah mempersilakan Haji Mustakim menyampaikan ucapannya. Lelaki awal 50-an itu bangkit setelah menoleh ke arah saya. Penuh yakin dia melangkah menuju ke rostrum, memberi salam dan mula berucap.

Namun perhatian saya tidak kepada ucapan pengetua sekolah itu, sebaliknya kembali menyorot wajah tenang damai seorang lelaki berjanggut putih yang menyapa intuisi saya sejak tadi. Ya, siapakah dia? Gerak hati saya semacam memberitahu bahawa saya mengenalinya. Wajah itu cukup kuat untuk mengingatkan saya kepada sebuah nama.

“Lim, saya harap kamu takkan hampakan hajat saya.”

“Hajat apa, cikgu?” Saya yang termengah-mengah kerana berlari-lari untuk tiba ke bilik guru menyeka keringat di dahi.

“Saya dah buat keputusan. Kamu saya pilih untuk mewakili sekolah kita ke pertandingan debat bahasa Melayu peringkat daerah bulan depan.”

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP