Selasa, Julai 08, 2008

KARNIVAL "NAIK MINYAK"

Pelbagai perasaan timbul apabila melihat gambar Alak vokalis sebuah kumpulan underground terbaring di celah-celah kaki pendengarnya yang mengamuk dan naik ke pentas dalam akhbar-akhbar hari ini.

Geram ada. Kasihan ada. Kesal ada. Lucu ada. Macam-macam perasaan berbaur. Harapnya insiden yang dilabelkan 'agak ganas' ini menjadi pengajaran buat semua.

Buat Alak yang over, sekurang-kurangnya tahulah dia sekarang dan haruslah memahami pepatah Melayu yang berbunyi "di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung". Bukannya "di mana pentas digegar, di situ punggung ditayang".

Ada juga pihak yang berang terhadap tindakan pemuda-pemuda berbaju merah menyerbu pentas yang kononnya tidak bercirikan akhlak Islami. Inikah toleransi? Inikah kebebasan bersuara? Inikah keterbukaan Islam, kata mereka.

Namun rasanya tindakan para peserta Protes yang menjadi agresif lalu membaling botol dan "naik angin" begitu, bukanlah kerana mereka bencikan sangat kugiran itu atau muzik rock, metal mahupun segala macam genre underground, tetapi kerana aksi "terlampau" kugiran bawah tanah itu. Kesabaran ada destinasinya. Ditambah pula hati yang hampa dengan perjalanan Protes. Justeru, yang harus dilihat, apa relevannya lirik "jilat, jilat ..." yang keras dan berbisa menghentam dan "menyindir" kerajaan yang dilihat bobrok, tetapi disekalikan dengan "kebodohan" menayang punggung sendiri.

Begitu juga buat penganjur terutamanya harus menilai semula pelaksanaan Protes Turun Minyak yang sudah menjadi Karnival Naik Minyak. Matlamat demo jelas tersasar. Tidak fokus. Malah tidak mencapai matlamat sebagaimana perhimpunan Bersih yang mencecah 100 ribu orang. Pengorbanan para demonstran yang sanggup datang dari seluruh pelosok negara untuk memprotes tidak berbaloi, bahkan membuatkan mereka kecewa (mungkin serik) kerana terlibat "bersubahat" sama menonton aksi "cemar". Lebih malang, Protes kini menjadi bahan ketawa dan cemuhan kawan dan lawan.

Entahlah, akhir-akhir ini kita melihat gabungan Pakatan Rakyat yang menanti-nanti 16 September 2008 semakin lain macam. Makin tolerans, makin pening jadinya. Semacam tidak serasi benar!

3 komentar:

masni qisrine 8:29 PG  

sdr zaid akhtar
terima kasih kerana berkunjung ke blog saya

spt mana yg saya katakan
saya hanya sorg amatur dlm dunia penulisan

sy baru saja oder rona bhosporus dan sesegar nailofar dari ujanailmu
:)

amiza khusyri 11:28 PG  

Tuan,

Moga kita tidak hilang panduan, tidak hilang sempadan. Moga perjuangan kita terus bersemarak kerana Islam dan Tuhan, bukan kerana individu.

Allahu Akbar.

Amiza, ITQAN.

Zaid Akhtar 11:22 PTG  

Salam.

Masni,
terima kasih. Selamat menikmati SN dan RB pula.

Bro.Amiza,
entahlah...
moga kebenaran lekas terserlah.

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP