Selasa, Julai 29, 2008

MAK LONG TERUJA DAPAT GELANG EMAS

MERSING - "Mak Yah terkejut bila Tunku (TMJ) beri gelang emas,". Demikian reaksi Yah Mohd., 69, apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar memakaikan sendiri dua utas gelang kepadanya selepas Maghrib kelmarin.

Menurut Mak Yah, dua utas gelang tangan emas itu merupakan hadiah daripada TMJ dan isteri, Raja Zarith Sofea Almarhum Sultan Idris.

"Masa Tunku panggil dan kami berbual di atas tikar mengkuang, Tunku ada keluarkan gelang tangan dan beri pada Mak Yah.

"Mak Yah memang terkejut dan letak hadiah di atas tikar sebelum Tunku sendiri mengambilnya dan memakaikannya ke tangan Mak Yah," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Felda Endau di sini semalam. Rumah Mak Yah terpilih sebagai salah satu destinasi bermalam rombongan TMJ sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2008 pada hari ketiga di Kampung Felda Endau, di sini.

Bercerita lanjut, Mak Yah berkata, sebagai rakyat biasa, kunjungan keluarga raja itu memang memberi pengalaman baru yang luar biasa kepada Mak Yah sekeluarga. Sejujurnya, Mak Yah memberitahu, sikap ramah dan kemesraan TMJ sendiri semasa berada di rumahnya ternyata telah memecahkan suasana untuk mereka sekeluarga.

"Pada mulanya, anak-anak dan cucu-cicit Mak Yah sendiri rasa takut untuk duduk berbual dan menjamu selera bersama TMJ. Namun, bila melihat baginda sendiri senyum dan gelak besar ketika berbual bersama-sama kami, akhirnya perbualan kami sekeluarga berlanjutan sehingga pukul 2 pagi," ujarnya.

Memo: Teringin juga pulang ke Endau menyaksikan peristiwa bersejarah yang dilalui keluarga Mak Long. Malangnya Sabtu lepas adalah hari persekolahan bagi menggantikan cuti raya puasa. Sebelah petangnya pula, ada event di Plaza Angsana, JB. Harapnya Abang Lee (anak sulung mak long) atau Pak Anjang Yim ada merakamkan detik-detik bersejarah bersama TMJ itu dengan kamera video. Bolehlah ditonton bila pulang bercuti nanti.

Khabarnya juga, krew TV3 ada merakam perjalanan KMJ tahun ini. Termasuk persinggahan semalaman TMJ di rumah Mak Long. Menurut sumber, KMJ dijadualkan tersiar menerusi slot Majalah Tiga pada 9 Ogos nanti.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP