Khamis, Julai 24, 2008

RUMAH MAK LONG PILIHAN TMJ

MERSING 21 Julai - Seorang peneroka di Kampung Felda Endau, di sini, Yah Mohd. 69, kini begitu teruja dan tidak sabar lagi menanti ketibaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail yang akan menginap di rumahnya sempena program Kembara Mahkota Johor yang bermula Khamis ini.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Mak Yah nyata tidak menyangka rumah peninggalan arwah suaminya, Jaafar Jusoh yang telah didirikan hampir 50 tahun lalu dipilih oleh Tunku Ibrahim dalam kembara selama empat hari tiga malam itu.

Menurut Mak Yah, rumahnya itu masih mengekalkan rekaan asal ketika kawasan Felda berkenaan mula diterokai pada tahun 1959.

"Mak Yah seperti tidak percaya apabila rumah ini dipilih untuk menjadi penginapan Tunku Mahkota Johor dan keluarga. Mak Yah rasa sangat berbangga," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Berpegang pada pesanan arwah suaminya, Mak Yah langsung tidak mengubah suai rekaan asal rumahnya itu, namun dari semasa ke semasa dia memperluaskan lagi dengan membina pelbagai sambungan baru.

"Masa buat sambungan rumah dahulu, anak-anak Mak Yah marah, alih-alih sekarang ini Tunku Mahkota Johor nak duduk," katanya yang merupakan ibu kepada tiga anak.

Nenek kepada 10 cucu dan moyang kepada dua cicit itu kini tinggal bersama cucu saudaranya di rumah berkenaan memandangkan kesemua tiga anaknya telah berhijrah keluar dari Felda Endau.

Memo: Siapa sangka rumah Mak Long (kakak sulung ibu) saya menjadi pilihan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim (TMJ) yang bakal menginap di situ dalam Kembara Mahkota Johor pada 24-27 Julai ini.

Sewaktu rewang kenduri cukur jambul anak saya awal Julai lalu, Mak Long memberitahu khabar gembira itu kepada saya. Memang saya terkesima pada mulanya, tetapi wajah Mak Long yang kadang-kadang gemar berseloroh tidak menunjukkan reaksi mahu berjenaka. Menurut Mak Long, dia didatangi wakil TMJ beberapa kali dan rumahnya akan dibaiki selain halaman rumahnya yang bertanah merah akan ditambak dengan pasir.

Katanya lagi, TMJ akan bermalam di rumah kayu Mak Long pada hari Sabtu malam Ahad ini, insya Allah, dalam siri kembara 4 hari 3 malamnya itu. Dan Mak Long diminta tidak meninggalkan rumah sebaliknya melayan kehadiran tetamu besar yang mahu merasai pengalaman bermalam di rumah-rumah kampung.

Menjunjung kasih, Tuanku!

Sumber asal berita.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP