Khamis, Ogos 28, 2008

BILA OGOS MAMPIR DAN PERGI

OGOS datang dan hampir berangkat pergi. Selain mengingatinya sebagai bulan merdeka, saya kerap merenung kembali perjalanan diri setiap kali tibanya bulan ini. Tanggal 1 Ogos lalu, bermakna genaplah 7 tahun saya bertugas menabur bakti di sekolah ini.

7 tahun yang terasa sekejap sebetulnya bukanlah perjalanan yang pendek saya kira. Di sinilah saya menikmati bahagia - berumahtangga dan beroleh tiga cahaya mata. Saya kira lebih sepertiga usia, saya habiskan di daerah Segamat ini, lebih tepat lagi di SMKA Segamat.

Saya masih ingat lagi tarikh 26 Disember 1989, hari pertama saya mendaftar di sekolah bertuah ini untuk masuk ke tingkatan satu. Terasa masih baru hari itu. Kali pertama bersua Ustaz Paiman Jemo, pengetua sulung sekolah ini. Kemudiannya bagai tanpa sedar lima tahun berlalu. Itulah fasa pertama saya di sini. Sebagai pelajar.

Sementara fasa keduanya menyusul enam tahun kemudian. Setelah saya meninggalkan daerah ini pada 1995 untuk melanjutkan pengajian ke Jordan, saya sendiri tidak menyangka akan kembali lagi. Lalu bermulalah fasa keduanya dengan saya menjadi tenaga pengajar di sini mulai 1 Ogos 2001.

Kini 7 tahun berlalu. Banyak kenangan tersimpan. Padat pengalaman terhimpun. Malah teman-teman akrab juga sudah ramai yang berangkat pergi. Sama ada berhijrah sekolah mahupun menjawat jawatan di tempat baru. Kadangkala terasa sepi. Suasana sudah tidak sama.

Saya sedari itu. Usia makin bertambah. Zaman sudah berubah. Sampai kapankah saya harus di sini? Serasanya cukuplah khidmat tidak seberapa yang saya taburkan di daerah yang segar amat ini.

Jauh di dasar hati, saya sedar; meskipun sayang, saya perlu berhijrah. Meskipun payah, saya mesti bergerak lagi. Saya harus mencari angin baru. Menghirup iklim baru. Cuma masa dan ketikanya saya tidak pasti. Entah bila.

1 komentar:

Tanpa Nama,  12:03 PTG  

Assalamualaikum ustaz..pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ustaz kerana telah banyak menyumbangkan ilmu dan pengalaman kepada insan yang lemah lagi kerdil ini..dikesempatan ini, seingat saya masih belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak..sekian dari anak didikmu..[muhammad adib]

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP