Jumaat, Ogos 01, 2008

TA'ZIYAH

Awal pagi Khamis, kira-kira jam 1.20 pagi, terjaga tiba-tiba dari tidur. Kemudian termanggu seketika apabila telefon bimbit menerima SMS daripada Puan Nisah Haron. Khabarnya, SN S. Othman Kelantan telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

Saya mengetahui kegeringan almarhum lewat blog Tuan Hj Shamsudin Othman sejak dua minggu lalu. Tetapi belum berkesempatan ke ibu kota untuk berkunjung ke Hospital Serdang. Kali terakhir bertemu almarhum adalah pada malam penyampaian HSKU 2006 di Hotel JW Marriot pertengahan tahun lalu.

Dia guru yang baik dan sangat pelucu orangnya. Saya selalu teringatkan kali pertama bertemu almarhum di Wisma Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak pada Ogos 2000. Ketika itu saya menyertai Bengkel Pembinaan Penulis I anjuran DBP-Gapena yang dibimbing oleh almarhum dan Khadijah Hashim. Almarhum sangat sporting. Sanggup bersama kami (saya, Saharil Hasrin, Ashadi Saiman, Dian, dan beberapa teman lain) menyusuri Taman Tasik Permaisuri sambil berbicara tentang sastera hingga jam 2.30 pagi!

Selain itu, sikap dan pendirian almarhum terhadap pelaksanaan PPSMI juga tegas dan tidak pernah berselindung. Siapa dapat menafikan ucapannya yang mempertahankan Bahasa Melayu dalam penganugerahan Anugerah Sastera Negara pada 2003?

Memang ini kehilangan besar bagi dunia bahasa dan sastera negara. Hilangnya seorang Sasterawan Negara adalah kehilangan yang tidak berganti. Matinya sebuah institusi. Sebuah universiti.

Moga Allah merahmati rohnya. Al-Fatihah!

Memo: Ta'ziyah buat Abang Zakir dan keluarga.

0 komentar:

Catat Ulasan

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP